tabung haji pak ungku

Tabung Haji Pak Ungku



MESYUARAT pertama Ahli Lembaga Urusan Tabung Haji di Bilik Gerakan Negara yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein pada 29 Disember 1963.

MOHD. SAIFUL SAHAK
05 Ogos 2019 12:00 PM


PROFESOR Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid bukanlah satu nama asing yang perlu diperke­nalkan kerana hampir semua rakyat mengetahui jasa tokoh akademik ini kepada negara.

Beliau yang mesra dengan panggilan Pak Ungku juga sa­ngat sinonim dengan usaha membantu orang Melayu terutama dalam membasmi kemiskinan.

Antaranya melontarkan idea penubuhan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) pada 1963 menerusi kertas kerja­nya yang bertajuk Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal-bakal Haji pada 30 September 1959 kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.


UNGKU AZIZ

Intipati kertas cadangan yang dibentangkan itu melibatkan keselamatan simpanan bakal haji agar lebih terjamin dan bebas daripada unsur riba dalam memastikan jemaah haji menunaikan Rukun Islam itu dengan sempurna. Keduanya pula ialah memastikan simpanan bakal jemaah haji tiada meraih bonus atau dividen.
Idea Pak Ungku itu akhirnya diterima Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang bersetuju menubuhkan LUTH pada 1969 melalui gabungan antara Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji (PWSBH) di bawah Undang-undang No. 34, 1962 dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji.

Gabungan berkenaan dina­ma­kan sebagai LUTH sebelum ditukar nama kepada Lembaga Tabung Haji atau lebih dikenali Tabung Haji pada 1995.

Pada 30 September 1963, PWSBH yang diperbadankan itu melakar sejarah negara apabila kaunter pertamanya berjaya menerima deposit daripada 1,281 bakal haji yang berjumlah RM46,610.

Tertubuhnya Tabung Haji, urusan ibadat haji umat Islam negara ini menjadi lebih mudah dan teratur.

Urusan pasport, visa haji, pengang­kutan, penginapan di Mekah, Madinah, Mina dan Arafah serta penjagaan kesihatan dan bimbingan ibadat haji diuruskan sepenuhnya Tabung Haji.

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 14 Oktober 2005 me­­muatkan berita “Hayati falsafah penubuhan Tabung Haji” melaporkan, Pak Ungku me­nyu­arakan pendapatnya su­paya pengurusan Tabung Haji harus kembali menghayati penubuhan tabung itu.

Pak Ungku menggesa pengurusan Tabung Haji perlu menjadikan falsafah penubuhan Tabung Haji sebagai pedoman dalam membuat keputusan berhubung pembangunan dan pelaburannya pada masa depan.

Katanya,jika pengurusan Ta­bung Haji mematuhi falsafah yang terkandung dalam Akta 8. Akta Lembaga Urusan dan Tabung Haji 1969, yang menjadi asas penubuhan Tabung Haji tidak akan berlaku sebarang masalah seperti hari ini.

Akta itu antara lain bertujuan:

  • Membolehkan orang Islam menyimpan secara beransur-ansur bagi memenuhi perbelanjaan menunaikan fardu haji atau lain-lain perbelanjaan bermanfaat.
  • Membolehkan orang Islam melalui wang simpanan mereka mengambil bahagian yang lebih berkesan dalam bidang penanaman modal melalui cara yang halal di sisi Islam.
  • Memberi perlindungan pengawalan dan kebajikan kepada jemaah haji yang menunaikan fardu haji dengan me­nga­dakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan
Kejayaan Tabung Haji yang berlandaskan kepada falsafah penubuhannya terbukti apabila mempunyai lebih daripada 10 juta pendeposit dan 125 cawangan dengan hampir 10,000 ‘touch-points’ di seluruh negara.

Tabung Haji berjaya mele­barkan sayapnya operasinya dengan menubuhkan Tabung Haji di Jeddah, Arab Saudi di bawah bidang kuasa Konsulat Malaysia.

Kejayaan demi kejayaan Ta­bung Haji akhirnya tertubuh­nya Yayasan Tabung Haji (YTH) pada 2016 untuk melaksanakan misi dan peranan kemanusiaan dalam membantu golo­ngan kurang berkemampu­an, miskin dan memerlukan.'

utusan

Comments