karya luar biasa

Karya luar biasa sultan nazrin shah


SULTAN PERAK, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menunjukkan buku tulisan baginda yang bertajuk Striving for inclusive development: From Pangkor to A Modern Malaysian State pada majlis pelancarannya di Hotel St. Regis Kuala Lumpur, 14 Julai lalu.

DR. FIRDAUS ABDULLAH
21 Julai 2019

“Saya percaya saya telah menemui ‘sudut pandangan baharu’ tentang sejarah Malaysia (I believe I have found new perspective on Malaysia’s history).”

Petikan ayat tersebut terkandung dalam titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam majlis pelancaran satu buku luar biasa di sebuah hotel erkemuka di Kuala Lumpur pagi Ahad lalu.

Buku luar biasa setebal 531 halaman itu dalam bahasa Inggeris berjudul Striving for inclusive development: From Pangkor to A Modern Malaysian State. Jika judul itu diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, saya mencadangkan “Menongkah Pembangunan Terangkum: Dari Pangkor Kepada Malaysia Yang Moden.”

Buku ini saya anggap ‘luar biasa’ kerana beberapa sebab. Tebalnya lebih 500 halaman, penulisannya (termasuk penyelidikan dan pengeditan ) memakan masa lebih kurang 20 tahun, kandungan dan narasinya meliputi pelbagai aspek yang berkaitan langsung dengan kehidupan manusia daripada pelbagai penjuru dunia yang semenjak hampir 200 tahun lalu bertumpu ke Semenanjung Tanah Melayu.Lebih luar biasa lagi kerana yang menghasilkan buku itu ialah Sultan Nazrin yang berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Ekonomi Politik dan Pemerintahan (Political Economy and Government) dari Harvard University, Amerika Syarikat.

Seperti dapat diduga, upacara pelancaran buku luar biasa itu padat dihadiri oleh para cendekiawan dan tokoh-tokoh kenamaan yang datang bukan sahaja dari sekitar ibu kota Kuala Lumpur malah ada yang datang khas dari universiti–universiti utama dunia seperti pakar ekonomi pembangunan yang terkenal, Profesor Han Joon Chang dari Cambridge University dan Profesor Emeritus Peter Drake, pakar ekonomi kolonial dari Australia. Turut hadir Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar, bekas Ketua Setiausaha Negara Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Peguam Negara, Tommy Thomas serta duta-duta kanan beberapa negara Asia dan Eropah.

Keinginan saya untuk mengulas buku yang luar biasa ini berkobar-kobar apabila mengingat petikan titah Sultan Nazin di awal rencana ini. Sudah sekian lama, lebih-lebih lagi sejak akhir-akhir ini saya memperhatikan kerenah dan niat jahat sesetengah pihak untuk ‘menulis kembali’ sejarah negara ini dengan tujuan memperlekeh dan meminggirkan ‘kedudukan Melayu’ (jika tidak mahu menggunakan ungkapan ‘ketuanan Melayu’). Sehubungan itu, ketika Sultan Nazrin menyatakan bahawa baginda telah ‘menemui sudut pandangan baharu tentang sejarah Malaysia’, keinginan saya berkobar-kobar untuk membaca dan menelaah buku yang luar biasa ini. 
Dan keinginan yang berkobar-kobar itu semakin bertambah bila merenung judul buku seperti saya 
rujuk di atas, terutama ungkapan inclusive development (pembangunan terangkum).

Tetapi terlebih dahulu saya mesti mengaku bahawa buku yang begini lengkap tidak mungkin disorot atau diulas secara tuntas dalam satu artikel pendek. Namun begitu untuk sekadar mendapat sedikit gambaran ringkas mengenai mutu dan keistimewaan karya agung ini, kita boleh merujuk pandangan Profesor Peter Drake dalam ucapan ringkasnya semasa majlis pelancaran tersebut: “This new book confirms his rare ability to collect substantial detail, and assemble it coherently, master it completely and write a most readable account.” (Buku baharu ini mengesahkan keupayaan istimewa baginda mengumpulkan butir-butir terperinci, menyusun butir-butir tersebut dengan jelas dan teratur, memperlihatkan kefahaman yang menyeluruh dan menuliskannya dalam huraian yang mudah difahami.)

Sultan Nazrin sendiri dalam titah ringkas baginda memberitahu betapa dalam proses mengumpulkan bahan-bahan untuk menulis buku itu baginda berbincang dengan ramai ahli-ahli sejarah dan ekonomi serta merujuk pakar-pakar daripada pelbagai bidang ilmu. Mereka mempunyai pelbagai wawasan dan pandangan yang dengan sendirinya mendorong baginda melakukan perbandingan untuk mengambil kesimpulan setelah berulang-ulang melakukan semakan.

Dalam titah ringkas itu juga baginda mengenang kembali pahit manis pengalaman sebagai ‘penyelidik’ yang kadang-kadang mengganggu rutin aktiviti keluarga atau terpaksa lebih awal memakai cermin mata kerana daya pandang mata mulai merosot. Saya percaya ‘pengalaman pahit manis’ sebagai penyelidik seperti yang baginda ceritakan telah mengingatkan kembali ramai para hadirin di majlis pelancaran itu terhadap pengalaman masing-masing semasa mereka menjadi mahasiswa dan mengunci diri di ceruk-ceruk perpustakaan untuk menyiapkan kertas projek atau tesis Sarjana (Masters) atau disertasi Kedoktoran (PhD). Tetapi mereka tidak menyesal sama sekali sebaliknya menjadikan ‘pengalaman pahit manis’ tersebut sebagai kenangan manis dan pengalaman ‘yang berbaloi’.

Saya percaya perkara yang sama turut dirasakan oleh Sultan Nazrin. Dengan penuh kelegaan dan rasa syukur, 
di penghujung titah ringkas itu, Baginda menegaskan: “Saya percaya saya telah menemui sudut pandangan baharu tentang sejarah Malaysia.”

Pada hemat saya, antara kandungan ‘sudut pandangan baharu’ baginda itu wajarlah dirumuskan atau ditanggapi dalam bentuk dua lapis tafsiran. Pertama tersurat, kedua tersirat. Pertama, yang tersurat patut dianggap sebagai kenyataan yang tidak dapat dibantah: Pencapaian Malaysia sekarang adalah hasil bersama semua masyarakat (komuniti/kaum). Kalau hendak meminjam jargon ilmu sosial, ini adalah kenyataan ‘empirikal’ yang tidak dapat dibantah. Rumusan kedua adalah seruan yang tersirat dalam judul buku, Menongkah Pembangunan Terangkum. Seruan ini sekali gus juga dapat menimbulkan soalan; Setakat ini adakah pembangunan yang telah dan yang hendak dicapai itu dapat dinikmati secara menyeluruh oleh seluruh kaum?

Jawapan yang bernas dan tuntas terhadap soalan terakhir ini wajib diberi perhatian oleh pemimpin-pemimpin setiap parti politik, terutama parti-parti politik Melayu. Tidak syak lagi, buku luar biasa karangan Sultan Nazrin ini akan memberi pemimpin-pemimpin setiap parti politik itu panduan dan pedoman untuk berfikir serta bertindak. Profesor Peter Drake menganggap buku itu sebagai magnificent book (buku yang mengagumkan dan anggun) yang paling padat dan lengkap, bernas dan berwibawa untuk memahami sejarah ekonomi Malaysia. Iqra’

utusan

Comments