awang batil

Awang Batil: Seni Unik Negeri Perlis
Oleh NURDIANA MOHD KAMAL


Batil digunakan sebagai alat muzik dalam persembahan Awang Batil.

PERLIS mungkin negeri yang terkecil di Malaysia, tetapi negeri ini mempunyai keindahan alam, kebudayaan dan sejarah yang unik. Awang Batil merupakan teater penglipur lara yang terdapat di Perlis. Pada mulanya, Awang Batil dikenali dengan nama “Awang Belanga” kerana menggunakan belanga sebagai alat muzik ketika melakukan penceritaan daripada satu babak kepada babak yang lain.

Pak Ramli Mahmud, pewaris akhir persembahan Awang Batil.

Menurut pewaris akhir persembahan Awang Batil, Encik Ramli Mahmud, Awang Batil berperanan untuk menghiburkan dan mendidik masyarakat melalui kisah klasik. Awang Batil akan mengembara dari kampung ke kampung dan dari rumah ke rumah untuk menceritakan kisah seperti Raja Dewa Lok, Raja Berdarah Putih, Anak Lang Pak Lang, Cerita Angan-angan, Jabat Jabit, Abu Nawas dan Awang Ada Duit Semua Jadi. Kini, persembahan Awang Batil dapat ditonton semasa pesta, majlis perkahwinan dan kenduri kesyukuran.

Mantera, asap kemenyan dan menurun, menjadi unsur amalan ritual dalam penyampaian cerita rakyat masa lalu. Ritual dan fungsi yang berbeza memaparkan kebijaksanaan pemain warisan ini. Amalan ritual kadang-kadang memberikan imej yang menyeramkan dan mampu memberikan tarikan istimewa pada setiap cerita yang disampaikan.

Yang berikut contoh mantera yang digunakan oleh Awang Batil sebelum memulakan persembahannya:

Bismillahirrahmanirrahim
Hei tongkat besi,
Tongkat Baginda Rasulullah,
Bapa aku di kanan,
Ibu aku di kiri,
Muhamad di belakang,
Allah di hadapan,
Berkat doa, Lailahaillallah…



Topeng Wak Nujum.

Semasa persembahan, Awang Batil menggunakan dua topeng, iaitu topeng Hulubalang dan topeng Wak Nujum. Topeng ini merupakan warisan yang diperturunkan daripada generasi kepada generasi, iaitu daripada Tuk Mat Belanga Kampung Panggau kepada Pak Ramli Kampung Pokok Sena, Chuping, yang mewarisinya.




Topeng Hulubalang.

Kedua-dua topeng ini diperbuat daripada kayu tui dan keunikannya ialah topeng Hulubalang mempunyai gigi, iaitu siput gewang. Kulit siput mewakili satu unit ukuran yang ditebuk dengan satu lubang bagi menjadikannya lebih mudah untuk mengikat sebanyak mungkin untuk nilai pertukarannya.

Menurut kepercayaan masyarakat Cina, siput gewang digunakan sebagai barang kemas untuk meningkatkan kesuburan dan menentukan kelahiran dengan selamat. Kayu tui dipotong, diukir dan dicat dengan warna merah dan putih secara tradisional. Permukaan topeng keras dan licin agar debu, kotoran dan peluh tangan Awang Batil tidak mudah dipindahkan ke permukaan topeng.

Persembahan Awang Batil harus dihargai oleh masyarakat sebagai salah satu bentuk budaya warisan yang harus diwarisi daripada satu generasi kepada satu generasi. Oleh itu, usaha yang berkesan perlu dilakukan oleh pihak yang terlibat untuk memelihara kesenian tradisional ini.

dbp klik web

Comments