Hassan Azhari

ALLAHYARHAM Hassan Azhari. - Foto NSTP

Hassan Azhari, perginya tokoh agamawan negara disegani

KUALA LUMPUR: Negara hari ini kehilangan permata dalam bidang keagamaan apabila tokoh terkenal Tan Sri Hassan Azhari meninggal dunia akibat kanser limfoma kira-kira 5 petang tadi.

Hassan, 90, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur setelah menerima rawatan di hospital berkenaan sejak dua minggu lepas.

Pemergian Hassan, yang dilahirkan di perkampungan Syi'ab Amir di Makkah, Arab Saudi, pada 18 Ogos 1928 tentunya amat dirasai bukan sahaja dalam kalangan anggota keluarga malah seluruh umat Islam memandangkan jasanya yang besar dalam bidang tilawah Al-Quran di negara ini.

Allahyarham Hassan adalah individu yang diberi penghormatan untuk melaungkan azan semasa kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

Bapa kepada 22 anak daripada tiga isteri itu bukan asing di kaca televisyen apabila menjadi pengajar rancangan Muqaddam selama lapan tahun di saluran televisyen RTM pada 1970-an.

Tiga isterinya ialah Allahyarhamah Puan Sri Sahara Abdul Samad, Maimunah Abdul Ghani dan Khadijah Yusuf.

Tiga anak lelakinya amat dikenali ramai iaitu bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, bekas Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Khas (JASA), Allahyarham Datuk Fuad Hassan dan pelakon terkenal, Datuk Jalaluddin Hassan.

ALLAHYARHAM Hassan Azhari terima Anugerah Khas Maal Hijrah 1434 Peringkat Wilayah Persekutuan pada 2012. - Arkib NSTP



PELAKON, Datuk Jalaluddin Hassan bersama ibu bapa, Tan Sri Hassan Azhari dan Sahara Abdul Samad (dua kiri) pada majlis pernikahan Jalaluddin Hassan bersama pasangan, Rapidah Abd Ghani pada 12 November 2017. - Arkib NSTP


Allahyarham berguru dengan beberapa murabbi (guru agama) ternama daripada Makkah dan Mesir seperti Syeikh-ul-Maqari, Syed Arif Mahmud al-Bukhari, Syed Amir Luthfi dan Al-Muqri' Tobob Mohd Nuainak.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham dikurniakan beberapa anugerah dan penghormatan termasuk dipilih sebagai Tokoh Ma’al Hijrah 2002, yang merupakan penghormatan tertinggi bagi individu yang memberikan banyak sumbangan terhadap kemajuan Islam di dalam negara dan Anugerah Tokoh Melayu Terbilang pada 2014.

Allahyarham mengajar al-Quran dalam Radio Malaya dari 1960 hinggalah 2000.

Pada 1997, Allahyarham mendapat Anugerah Khas Seri Angkasa kerana penglibatannya selama 40 tahun bersama RTM.

Kerjayanya termasuk 40 tahun mengajar membaca al-Quran yang ke udara di RTM, dengan Allahyarham sendiri merekodkan 442 siri program membaca al-Quran, kuliahnya menekankan sebutan dan makhraj yang betul dalam kalangan para pelajarnya.

Allahyarham Hassan juga merupakan hakim pertandingan Tilawah al-Quran yang paling lama berkhidmat dalam negara dan di peringkat antarabangsa dengan turut menjadi hakim di Arab Saudi, Mesir, Iran, Dubai dan Brunei.

Menurut anak Allahyarham yang dihubungi media, jenazah Allahyarham bapanya akan dikebumikan esok di Makam Diraja Shah Alam, di Persiaran Kayangan, Seksyen 5, Shah Alam, Selangor, atas titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. - BERNAMA


ALLAHYARHAM Tan Sri Hassan Azhari bersama ahli keluarga yang turut hadir ke majlis sambutan Maal Hijrah 1434 Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan pada 27 November 2012. - Arkib NSTP




Hassan Azhari meninggal dunia
NURUL RIDUAN NOR ASHAHA & MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
6 OKTOBER 2018


Anggota keluarga Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari,90, membaca yassin di kediamannya di Persiaran Keramat Hujung, Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR - Tokoh agama dan penerima anugerah Tokoh Ma’al Hijrah 2002, Tan Sri Hassan Azhari dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur, petang tadi.

Allahyarham yang berusia 90 tahun menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 5.07 petang tadi.

Allahyarham yang merupakan bapa kepada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan pelakon popular, Datuk Jalaluddin Hassan dimasukkan ke HKL Ahad lepas selepas disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat.

Latar Belakang:

Tan Sri Hassan Azhari yang lahir 18 Ogos 1928 adalah seorang rakyat Malaysia berketurunan Melayu dan merupakan seorang pendidik terkenal dengan rancangan Muqaddam pada awal 1970-an di saluran RTM.

Beliau merupakan orang yang melaungkan azan semasa kemerdekaan negara Malaysia pada 31 Ogos 1957.

Kehidupan peribadi:

Beliau dilahirkan di kampung Syu’ib Amir di Mekah pada 18 Ogos 1928. Ayahnya bernama Azhari Abdul Khaliq, tokoh agama terkenal di Selangor manakala ibunya ialah Fatmah Abdul Hakim, berketurunan Arab Mesir al-Shanani dan Padang, Indonesia.

Keluarga:

Beliau mempunyai 22 orang anak dari tiga orang isteri. 13 orang anak yang pertama hasil perkahwinan beliau dengan isteri pertama, Sahara Abdul Samad, yang meninggal pada April 2004.

Tiga orang anak lelaki yang pertama amat dikenali ramai iaitu Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, bekas Adun Hulu Klang, Datuk Fuad Hassan dan pelakon terkenal Datuk Jalaluddin Hassan.

Seorang lagi anaknya dengan isterinya Maimunah Abd Ghani, Mohammad Izzat Hassan megikuti jejak langkah abangnya Musa di dalam bidang kepolisan.

Beliau dikhabarkan sangat tegas dalam agama tetapi masih seorang bapa yang penyayang.

Pendidikan:

Beliau dibesarkan dalam persekitaran keluarga dan masyarakat yang berilmu dan beragama. Beliau mempelajari al-Quran sejak kecil di Mekah. Di peringkat rendah, mempelajari secara formal di Madrasah Dar al-Ulum, Mekah.

Antara guru beliau di sini ialah Sheikh Yasin al-Fadani dan di Masjidil Haram, gurunya ialah Sheikh Ismail Tamim (salah seorang imam masjid di Mekah)

Ketika berusia lapan tahun, berhijrah ke Malaya (Malaysia) bersama abangnya, Abdul Hakim dengan menaiki kapal laut selama beberapa bulan. Di Malaya, beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Marta al-‘Ulum al-Diniyah di Kuala Langat, Selangor seterusnya ke Sekolah Arab al-Hayat al-Mardiyyah di Kampung Jawa, Selangor.

Beliau menyambung pelajaran ke Sekolah al-Junaid, Singapura selama dua tahun untuk meningkatkan penguasaan bahasa Arab. Antara gurunya ialah Sayyid Abu Bakar al-Saqqaf dan Sheikh Abdullah al-Faqih.

Kemudian, beliau menyambung pengajian ke Maahad al-Ulum (kini Sekolah Agama Menengah Hishamuddin, Kelang) dan memperoleh sijil Rabi’ Thanawi. Bagi mendalami pengajian al-Quran, beliau kembali ke Mekah dan menyambung pengajian dengan Sheikh Ismail Tamim.

Beliau kemudiannya mempelajari bidang tarannum dengan beberapa ulama terkenal antaranya Syed Mahmud Lutfi Amir. Guru-guru al-Quran yang lain ialah Sheikh Mahmud al-Bukhari (riwayat Hafs), Sheikh Muhammad Abdul Samad, Dr. Ahmad Nuaina dan Syed Mahmud Amin Tantawi (riwayat Warsy Imam Nafi’).

Pencapaian:

Beliau telah memberi sumbangan besar kepada negara dengan melaungkan azan semasa menyambut kemerdekaan negara di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957.

Beliau turut melaungkan azan pada perasmian Masjid Negara pada tahun 1967, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang dan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, Bandar Seri Begawan, Brunei.

Beliau juga merupakan penerima Tokoh Ma’al Hijrah 2002, yang merupakan penghormatan tertinggi bagi individu yang memberikan banyak sumbangan terhadap kemajuan Islam di dalam negara.

Beliau juga telah mengajar al-Quran dalam Radio Malaya dari 1960 hinggalah 2000. Beliau juga turut mengacarakan rancangan agama selama lapan tahun di TV1 yang bertajuk Muqaddam pada 1970-an. Rancangan ini memberi pendedahan yang mudah untuk membaca al-Quran daripada permulaan.

Pada 1997, beliau mendapat Anugerah Khas Seri Angkasa kerana penglibatannya selama 40 tahun bersama RTM.

Hassan juga merupakan hakim Pertandingan Tilawan al-Quran yang paling lama berkhidmat dalam negara. Hampir 46 tahun berkhidmat sebagai hakim, beliau juga menjadi hakim di Arab Saudi, Mesir, Iran, Dubai, Brunei dan Thailand.

Hassan juga pemenang tempat pertama Pertandingan Tilawan al-Quran yang diadakan di Malaya pada 1947, anjuran Umno ketika itu.

sinar harian


Hajat Hassan Azhari tak tertunai


“ARWAH ada suarakan hasrat untuk pulang di tempat kelahirannya di Makkah tetapi faktor kesihatan tidak mengizinkan arwah ke sana,” kata anak Tan Sri Hassan Azhari, Tan Sri Musa.

Musa berkata, arwah sememangnya berhasrat meninggal dunia dan dikebumikan di tempat kelahirannya di perkampungan Syi’ab Amir di Makkah.

“Hajat itu (pulang ke Makkah) tidak kesampaian. Arwah ramai juga kenalan dan saudara mara di Makkah.

“Namun, arwah tetap bersyukur kerana diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk melakukan sujud syukur dan itu (sujud syukur) juga antara hajat arwah sebelum meninggal dunia,” katanya ditemui di Makam Diraja Selangor, Shah Alam, hari ini.

Musa berkata, antara pesanan terakhir arwah kepada semua anak ialah sentiasa baca al-Quran, bersedekah dan tidak meninggalkan solat.

“Arwah tiada tinggalkan apa-apa kepada anaknya, cuma pesanan untuk mengamalkan tiga perkara ini sebagai jaminan untuk diredai Allah SWT,” katanya.

Jenazah Hassan, 90, selamat dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam, jam 9.40 pagi.

Allahyarham yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak Ahad lalu kerana menghidap kanser linfoma, meninggal dunia petang semalam.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah berkenan berangkat ke pengebumian itu.

Hadir sama Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Ahli Parlimen Shah Alam yang juga Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad dan Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor.

Allahyarham ialah pendidik terkenal melalui rancangan Muqaddam pada awal 1970-an di saluran RTM, selain menjadi individu yang melaungkan azan ketika kemerdekaan negara Malaysia pada 31 Ogos 1957.

Allahyarham turut melaungkan azan pada perasmian Masjid Negara pada 1967; Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam; Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang dan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, Bandar Seri Begawan, Brunei.

Hassan juga adalah hakim Pertandingan Tilawah al-Quran yang paling lama berkhidmat dalam negara iaitu hampir 46 tahun.

Allahyarham mempunyai 22 anak hasil perkahwinannya dengan tiga isteri iaitu Allahyarhamah Puan Sri Sahara Abdul Samad, Maimunah Abdul Ghani dan Khadijah Yusuf

Tiga anak lelakinya dikenali ramai iaitu Musa yang juga bekas Ketua Polis Negara, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang Datuk Fuad Hassan dan pelakon terkenal, Datuk Jalaluddin Hassan.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

mymetro


Comments