sayangi malaysiaku












‘Sayangi Malaysiaku’ tema Hari Kebangsaan 2018

Sambutan kemerdekaan 31 Ogos disambut di Putrajaya: Gobind Singh



PUTRAJAYA, 14 Zulkaedah 1439H, Jumaat – ‘Sayangi Malaysiaku’ dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, bagi merai dan mempertingkatkan semangat cintakan negara di kalangan rakyat Malaysia.

Sambutan Hari Kebangsaan 2018 akan diadakan di Putrajaya pada 31 Ogos ini, manakala Hari Malaysia iaitu 16 September bakal diraikan di Kota Kinabalu, Sabah.

Perkara itu diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dalam sidang media sempena Hari Kebangsaan 2018 ‘Sayangi Malaysiaku’ di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua rakyat Malaysia disaran membuktikan manifestasi rasa sayang kepada negara dengan mengibarkan jalur gemilang sepanjang Ogos sehingga Hari Malaysia pada 16 September.

“Sukacita saya maklumkan, logo rasmi Hari Kebangsaan yang dipilih pada tahun ini adalah hasil ciptaan Nik Zulkifli Nik Zulkifli bin Nik Hitam.

“Sementara lagu tema kali yang dipilih kali ini bertajuk ‘Kita Punya Malaysia’ ciptaan Sam Bunkface dan dinyanyikan oleh kumpulan Bunkface,” katanya.

Gobind turut mengumumkan majlis pelancaran bulan Kebangsaan dan kibar jalur gemilang 2018 akan diadakan pada 3 Ogos hingga 5 Ogos ini di Padang Kota Lama, Pulau Pinang.

Katanya, majlis berkenaan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 4 Ogos ini, dan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Menteri Pulau Pinang, menteri Kabinet dan Exco daripada peringkat negeri.

“Bagi pihak kerajaan Persekutuan, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri Pulau Pinang yang sudi menjadi tuan rumah bagi sambutan bulan kebangsaan tahun ini,” katanya.

ismaweb

Comments