bulan kebangsaan

SAMBUTAN PELANCARAN BULAN KEBANGSAAN DAN KIBAR JALUR GEMILANG 2018

YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia hari ini mengumumkan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 akan diadakan pada 3-5 Ogos 2018 bertempat di Padang Kota Lama, Pulau Pinang. Majlis yang akan dirasmikan oleh YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada 4 Ogos 2018 pukul 8.00 malam ini akan turut dihadiri YAB Dato' Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YB Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang, barisan Menteri-menteri kabinet dan Exco-exco Negeri.

Bertemakan 'Sayangi Malaysiaku' untuk merai dan mempertingkatkan semangat cintakan negara selari dengan usaha memupuk semangat patriotsime rakyat melalui pengibaran Jalur Gemilang sebagai tanda kasih sayang kepada Negara, rakyat Malaysia adalah dijemput untuk memeriahkan sambutan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 yang diisi dengan program-program menarik seperti Konsert Sayangi Malaysiaku, pertunjukan bunga api, Kembara Merdeka Jalur Gemilang, persembahan buskers, pentarama, pameran Caring Bridge, karnival food truck, larian merdeka, pameran MyMerdeka, Jualan My Best Buy FAMA dan pelbagai lagi aktiviti menarik dan berinformasi untuk disertai oleh rakyat.

Di dalam menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018, YAB Perdana Menteri sendiri telah memilih logo rasmi ciptaan Encik Nik Zulkifli Nik Hitam yang membawa maksud warganegara Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa hidup dalam kepelbagaian, harmoni, seia-sekata, bersatu-padu dan terpahat perasaan kasih sayang yang kukuh kepada negara Malaysia. Selain itu, lagu tema yang dipilih bertajuk 'Kita Punya Malaysia' ciptaan Sam Bunkface dan dinyanyikan oleh Kumpulan Bunkface ini pula menggambarkan Malaysia sebagai negara milik rakyatnya dengan elemen bersatu-padu dalam kepelbagaian dan mempunyai jati diri yang tinggi serta berganding bahu dalam membangunkan negara yang tercinta.

YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia berucap dalam sesi sidang media Sambutan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 yang diadakan sebentar tadi di Kompleks KKMM, Putrajaya.



Comments