7 Aug 2018

10 Buku Kegemaran Anda



APAKAH 10 BUKU KEGEMARAN ANDA?
Dr Mazlee Malik

Saya berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara membaca tahun 2030. Bererti, rakyat Malaysia rakyat paling banyak membaca pada tahun 2030. Kayu ukur kepada pendidikan yang berjaya ialah budaya membaca yang tinggi. Membaca ialah seruan pertama dalam Islam (al-Alaq:1).

Saya mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk berkongsi 10 buku kegemaran mereka daripada pelbagai genre dengan tagar (hashtag) #MalaysiaMembaca. Saya mulakan dahulu dengan diri saya.

1. "The Alchemist" karya Paulo Coelho.

Perjumpaan pertama saya dengan penyelia PhD saya di University of Durham, beliau minta saya pulang dan membaca buku ini. Saya tidak faham kaitan buku dengan tesis saya. Perjumpaan seterusnya beliau minta pandangan saya tentang buku ini. Benar, buku ini tak ada kaitan dengan tesis saya, tapi ia memberikan saya semangat yang kuat untuk terus belajar dan menyiapkan PhD saya. Antara kata-kata dari novel ini yang sangat bermakna bagi saya ialah "You will never be able to escape from your heart. So it’s better to listen to what it has to say."

2. "Trust: The Social Virtue and the Creation of Prosperity" karya Francis Fukuyama

Banyak yang dihuraikan oleh Fukuyama terutama sekali tentang kesalinghubungan antara sosial dan ekonomi. Kepentingan untuk tidak bersikap individualis yang bakal merosakkan keseimbangan ekonomi negara sangat cemerlang dihuraikan oleh Fukuyama. Kata Fukuyama, “To truly esteem oneself means that one must be capable of feeling shame or self-disgust when one does not live up to a certain standard.”

3. "Manuklon" karya Rahmat Haron

Sebuah novel futuristik yang penuh dengan peristiwa kembara, dijiwai oleh manusia biasa dan klon yang saling bertentangan demi untuk mendapatkan kuasa. Golongan manusia yang ditindas oleh bangsa manuklon berjuang bermati-matian untuk membebaskan tanahair mereka manakala pemerintah manuklon pula berusaha sedaya upaya mereka untuk mempertahankan kuasa mereka. Ya, sangat banyak yang boleh kita lihat hari ini begitu real seperti yang diimajinasikan Rahmat Haron.

4. "Intelektual Masyarakat Membangun" karya Syed Hussein Alattas.

Untuk seorang ahli akademik, Syed Hussein Alattas sangat menekankan keperluan untuk ahli akademik menjadi sarjana yang bukan hanya di dalam dewan kuliah, sebaliknya di jalanan dan di tempat-tempat awam demi membangunkan pemikiran masyarakat.

5. "Rasuah" karya Syed Hussein Alattas

Syed Hussein Alattas juga sudah lama mengkritik budaya rasuah yang begitu kronik dengan memberikan sebab musabbab yang jelas bahawa budaya ini benar-benar akan merosakkan negara.

6. "Sejarah Umat Islam" karya HAMKA.

Saya sentiasa sarankan buku ini kepada pelajar saya apabila mereka mahu bermula membaca sejarah khususnya sejarah Islam. HAMKA berjaya melukiskan dengan sangat jelas tentang garis masa dan peristiwa-peristiwa penting termasuklah sedikit analisa yang menarik di dalam sepanjang sejarah Islam. Di akhirnya, HAMKA juga menceritakan bagaimana Islam sampai ke Kepulauan Melayu.

7. "Al Tawhid: Its Implications for Thought and Life" karya Ismail Raji al-Faruqi.

Di dalam buku saya Risalah Buat Pemuda Muslim terbitan Telaga Biru, saya menghuraikan kepentingan tauhid dalam kehidupan seorang 'homo-Islamicus'. Tauhid syarahan Ismail Raji al-Faruqi begitu real, praktikal dan sangat besar peranannya dalam kehidupan harian kita.

8. "Al-Munqidh min al-dalal" atau diterjemahkan sebagai "Guide for The Perplexed" karya Al-Ghazali.

Ini antara buku autobiografi yang saya suka. Penuh dengan ilmu dan hikmah. Siapa yang tidak kenal Al-Ghazali? Dan siapa yang jatuh cinta terhadap buah fikirannya tetapi tidak membaca buku ini?

9. "Al-Kimiyya al-Sa'adah" karya Al-Ghazali.

Salah satu daripada elemen pendidikan yang akan diterapkan ialah kebahagiaan. Pendidikan yang menjadikan semua manusia bahagia. Konsep kebahagiaan yang begitu mendalam dihuraikan oleh al-Ghazali dalam buku ini. Hakikatnya, kata al-Ghazali, kita semua manusia yang inginkan kebahagiaan. Kebahagiaan yang paling tertinggi ialah kebahagiaan bertemu denganNya.

10. "Hikmah Hati" karya Maszlee Malik

Bukan kegemaran pada membacanya, tetapi pada menulisnya. Saya sangat terpengaruh dengan banyak karya arwah Azizi Hj. Abdullah sehingga di situlah minat saya terhadap sastera muncul dan cubaan untuk menulis karya kreatif telah saya mulakan. Buku ini masih ada di pasaran.

Dr Maszlee Malik
Menteri Pendidikan Malaysia

fb maszlee malik

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena