9 Jul 2018

muzik melayu


Alat Muzik Masyarakat Melayu

Oleh NORSUHAILA IBRAHIM

AHLI falsafah berpendapat bahawa manusia secara semula jadi mempunyai tarikan terhadap muzik. Hal ini benar kerana muzik menjadi kegemaran manusia sejak mereka dilahirkan lagi.

Muzik bukan sahaja dapat dinikmati melalui pancaindera, malahan dapat dirasai melalui hati dan perasaan. Muzik dapat memberikan kesan dalam kehidupan orang ramai melalui seni, irama dan lagu. Muzik juga dapat ditonton dan dipersembahkan melalui pelbagai cara, sama ada secara terus ataupun melalui media.

Persembahan muzik bukan sahaja dapat dilakukan dengan pelbagai cara, malahan dapat dipersembahkan oleh kaum lelaki mahupun wanita. Menurut Kamus Dewan pula, seni muzik merupakan gubahan bunyi yang menghasilkan hiburan dalam bentuk lagu dan irama yang indah dan menyenangkan.

 Alat muzik tradisi dimainkan dalam pelbagai acara.

Di Malaysia, seni muzik tradisional merupakan seni yang tidak lapuk dalam kalangan pelbagai etnik. Seni muzik tradisional merupakan warisan turun-temurun sesuatu kaum dan mempunyai keunikan tersendiri.

Pada zaman dahulu, muzik hanya dimainkan oleh golongan bangsawan atau untuk hiburan diraja sahaja. Namun begitu, terdapat juga muzik yang dimainkan untuk rakyat. Jelas di sini bahawa seni muzik pada zaman dahulu mempunyai hierarki tersendiri. Selaras dengan peredaran zaman, hari ini masyarakat bebas menikmati seni muzik.

Alat muzik juga merupakan lambang estetika dalam masyarakat kita. Alat muzik bukan sahaja dijadikan sebagai hiburan, malahan menjadi alat untuk penyebaran maklumat dan pembentukan sahsiah. Sesetengah alat muzik juga mempunyai unsur magis yang boleh menaikkan semangat dan digunakan dalam upacara tertentu.

Di Melaka, terdapat kesenian dondang sayang, nazam, dabus dan rebana keras. Di Kelantan pula, terdapat seni persembahan wayang kulit, makyung, menora, tari asyik, dikir barat dan rebana kercing. Di Negeri Sembilan, terdapat randai dan caklempong.

Di Johor, terdapat kuda kepang, zapin dan ghazal. Di Kedah pula terdapat jikey, wayang kulit gedek dan makyung laut. Di Perak, terdapat dabus dan hadrah. Di Pahang pula terdapat muzik gamelan, joget gamelan dan lagu rakyat.


Gong


Gong ialah alat muzik yang digunakan dalam muzik tradisional Melayu. Gong diperbuat daripada logam seperti tembaga dan besi. Gong dimainkan dengan mengetuknya secara berselang seli dan lazimnya dimainkan bersama-sama bonang, gendang dan serunai. Alat muzik ini dimainkan dalam muzik gendang silat, gendang keling dan gamelan.


Bonang


Bonang juga menghasilkan bunyi seperti gong tetapi bunyinya lebih halus dan pelbagai. Bonang mempunyai 10 buah canang yang dibuat daripada peranggu. Canang berwarna keemasan dan disusun kemas dalam dua baris dan diapungkan di atas dua ingkar. Bonang lazimnya dimainkan dalam persembahan gamelan.



Gendang

Gendang pula terbahagi kepada dua jenis, iaitu gendang ibu dan gendang penganak. Gendang dihasilkan dengan menebuk sebatang kayu. Kayu yang lazimnya digunakan untuk membuat gendang ialah kayu nangka. Setiap gendang mempunyai dua muka yang diperbuat daripada kulit kambing dan kulit lembu yang diikat pada gendang tersebut dengan menggunakan rotan atau tali.

Gendang boleh dimainkan bersama-sama serunai, gong dan alat muzik yang lain kerana bunyi gendang boleh dimanipulasikan mengikut keadaan. Gendang penting bagi memainkan muzik wayang kulit, gendang keling, silat dan muzik tradisional yang lain.


Serunai

Serunai merupakan alat muzik yang dimainkan secara tiupan. Terdapat pelbagai jenis bentuk serunai. Serunai yang paling terkenal di Malaysia ialah serunai Kedah dan serunai Kelantan.

Serunai dihasilkan dengan menggunakan pelbagai jenis kayu yang mudah ditebuk seperti pokok cili. Serunai mempunyai lapan lubang di bahagian atas dan satu lubang di bahagian bawah. Serunai dimainkan dalam muzik gendang keling, gendang silat, dan wayang kulit.



Kompang

Kompang ialah alat muzik yang berbentuk seperti tamborin tanpa kepingan besi di sekeliling. Terdapat juga kompang yang mempunyai kepingan besi di sekeliling yang menghasilkan bunyi yang lebih sedap didengar. Kompang merupakan antara alat muzik yang paling popular di Malaysia.

Kompang dimainkan dengan paluan tangan dan jari. Kompang digunakan dalam pelbagai majlis, seperti kenduri dan perarakan Hari Kebangsaan. Kini kompang digunakan bagi menyambut tetamu kehormat dalam sesuatu majlis.



Rebana

Rebana ialah alat muzik yang dipalu untuk menyampaikan pelbagai jenis pesanan pada zaman dahulu. Bunyi yang dihasilkan mempunyai makna tertentu, seperti serangan musuh, pengumuman diraja, pengumuman majlis dan kematian.

Kini rebana digunakan untuk persembahan acara kemasyarakatan dan persembahan lain. Rebana lazimnya dipalu pada Hari Kebangsaan dan dimainkan bersama-sama alat muzik yang lain. Pemukul atau pemalu rebana perlu mempunyai kekuatan dan stamina yang kuat bagi menghasilkan bunyi.



Gambus

Gambus berasal dari Timur Tengah yang dimainkan dalam pelbagai gaya muzik tradisional Melayu. Dalam sejarah, alat muzik ini dikatakan dibawa ke Malaysia oleh pedagang dari Parsi serta negara Timur Tengah yang lain. Alat muzik ini direka dengan seni yang amat halus dan diukir dengan teliti. Uniknya gambus dihasilkan hasil campuran pelbagai jenis kayu.

Gambus menghasilkan bunyi seakan-akan bunyi kecapi hasil petikan talinya. Gambus merupakan alat muzik utama dalam persembahan ghazal. Jika dilihat daripada corak yang diukir pada gambus, terdapat banyak unsur kesenian Timur Tengah yang ditonjolkan.

klikweb


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena