menora

Pembangunan seni Menora
Oleh GARRET DAWUM


KUMPULAN Menora Sri Timur yang mempersembahkan lakonan Dua Saudara di Auditorium JKKN, baru-baru ini.

JIKA ditanya berkenaan teater tradisional Menora, ramai yang akan menggeleng kepala. Jawapan yang pasti adalah tidak tahu.

Perkembangan dramatari asal Selatan Thailand itu nampaknya tidak dipergiatkan secara menyeluruh. Kalau ada pun, ia dipentaskan sesekali sahaja tidak sama seperti teater moden yang sering mendapat perhatian.

Pelbagai usaha telah dijalankan untuk mengembangkan Menora yang kuat dengan elemen persembahan seperti lakonan, tarian dan nyanyian. Menora yang juga dikenali Nora atau Lakon Chatri dalam bahasa Thai mempunyai ciri-ciri asas dalam persembahan iaitu doa yang panjang. Doa diiringi dengan pergerakan kaki, lengan dan jari mengikut irama secara perlahan. Perkara itu yang perlu diketahui.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) khususnya mempunyai usaha dalam memperluaskan pemahaman masyarakat kini kepada Menora yang sememangnya kaya dengan khazanah seni budaya.

Menggerakkan kegiatan teater seperti itu, JKKN menjadikan ia sebagai usaha konsisten yang perlu dijalankan dalam menguatkan ungkapan budaya tradisi dalam masyarakat Malaysia.

Bukan sahaja menora, JKKN juga berusaha kuat dalam mempromosikan teater tradisional lain seperti Makyong, Mek Mulung dan Jikey. Ini satu perkembangan yang baik kepada teater.

Baru-baru ini, JKKN telah memberi peluang kepada Kumpulan Menora Sri Timur dari Kelantan untuk mempersembahkan Menora di Auditorium JKKN, Kuala Lumpur.

Memilih Menora berjudul Dua Saudara sebagai tatapan, kumpulan ini nyata mempersembahkannya dalam gaya Malaysia dan digabungkan dengan beberapa unsur-unsur Makyong, Jikey dan Mek Mulung.

Biarpun pada asalnya Menora dilakukan untuk pelbagai tujuan, bukan untuk keagamaan sahaja, namun kadangkala dilakukan untuk tujuan ritual, dan perubatan, kini ia menjadi satu persembahan hiburan.

Suntikan watak lucu atau adegan lucu oleh pelakonnya yang dinamakan Peran membuatkan Menora Dua Saudara tidak jemu untuk ditonton.

Dua Saudara berkisar tentang Raja Besar dan Permaisurinya yang memerintah Kota Singa Maling mangkat menyebabkan takhta diwarisi dua orang puteranya, Cahaya Kaca sebagai Raja dan adindanya Cahaya Emas sebagai Raja Muda.

Seperti biasa isu percintaan menjadi konflik utama dalam Menora ini. Cahaya Kaca yang menjalinkan hubungan cinta dengan Puteri Raja yang bernama Puteri Wan Bunga mendapat tentangan daripada Raja Berma (ayahanda puteri). Tentangan itu mencetuskan pergaduhan dan Cahaya Kaca berjaya dikalahkan.

Tidak mahu dirinya terus ditindas, Cahaya Kacatelah meminta pertolongan adindanya (Cahaya Emas) yang mendapat ilmu di pertapaan Maharesi. Kehebatan Cahaya Emas tiada tandingannya dan dia berjaya memperoleh Puteri Wan Bunga daripada tangan ayahandanya.

Kisah itu tidak hanya terhenti di situ kerana Cahaya Emas telah dibunuh oleh kekandanya sendiri akibat satu fitnah yang ditimbulkan.

Cerita itu menjadikan menora ini mendapat perhatian daripada penonton yang hadir. Sememangnya, teater tradisional seperti ini mempunyai potensi untuk dikembangkan.

utusanonline


Menora bukan sekadar seni

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB


AH Tid bersama sebahagian anggota kumpulannya dalam satu persembahan di Tumpat, baru-baru ini. - UTUSAN/ROSNI MASRI

PASIR PUTEH 27 Jan. - Ah Tid a/l Ah Sing, 40, sudah mula terdengar alunan bunyi-bunyian seperti decing simbal, paluan gong, gesekan rebab dan tiupan serunai sejak dia dilahirkan di kampung Bukit Yong.

Malah dia juga sering melihat ayahnya dan anggota keluarga lain menyanyi, menari, berlakon dengan latar bunyi-bunyian itu yang kemudian beransur-ansur menyemai rasa seni dan akhirnya tertanam kejap dalam jiwanya.

Dia sentiasa dibawa bersama ibunya semasa menemani ayah atau datuknya mengadakan persembahan menora atau juga dikenali dengan sebutan 'Noro'di negeri ini pada majlis-majlis keramaian, selain yang berkait dengan upacara keagamaan Buddha.

Makin dia membesar di kampung kelahirannya, makin bertambah pengalaman seni itu pada dirinya, sedangkan mereka yang sebaya mula merasa ia cuma bunyi-bunyian yang sekadar mengganggu.

''Saya masih sempat melalui pengalaman ini dan berharap anak saya juga dapat menghayati rasa seni lagi sebagaimana saya, ayah dan datuk mereka dahulu, walaupun bukan mewarisinya'' ujar Ah Tid.

Drama tari tradisional itu kian meniti era senja dan lebih kerap diperkatakan apabila mengimbau nostalgia berkaitan suasana kehidupan silam atau suatu bahan tesis akademik yang panjang.

Ketika menora hampir lenyap di Kelantan dan cuma masih diberi nafas oleh Eh Chom, 65, dengan kumpulan Cahaya Bulan di Jong Bakar Tumpat, Ah Tid mula dikenali tahun lalu dengan Kumpulan Cit Manis sempena nama pentasnya, Cit.

Kemunculannya di kawasan penempatan 30 keluarga masyarakat Siam di Bukit Yong itu sekurang-kurangnya menjadi penyendal sekiranya Eh Chom tidak lagi mahu menjadi peneraju kumpulan dan memainkan peranan Tok Menora di Kelantan.

Menurut Ah Tid yang juga seorang peniaga, dia sebenarnya turut terdedah dengan muzik moden dan merupakan salah seorang anggota band di Kota Bharu, namun warisan menora begitu menebal dalam jiwanya.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kamil itu menceritakan datuknya, Cha Biu dan ayahnya, Eh Chan juga merupakan pemain menora dan mereka di luar sedar mengasuhnya mencintai kesenian itu.

''Namun saya belajar dengan seorang anggota keluarga, Eler atau gelaran Melayunya Tok Mamat dari Bukit Yong dan kemudiannya dengan Cha Nim di Bukit Panau, Tanah Merah.

''Masa remaja saya turut kumpulan Tok Mamat dengan bermain alat muzik. Dia ajar saya kuasai semua jenis alat yang digunakan, lepas itu dia mengajar tari di rumah," ujarnya.

Katanya, selepas melihat keupayaannya, Cha Nim pula mula memberi kepercayaan dan menawarkannya peranan Tok Menora atau Pak Situng ketika berusia 36 tahun.

''Bersama Cha Nim, kami bermain di kampung-kampung atau majlis tertentu tetapi tidaklah begitu kerap, hanya sekali sekala," ujarnya.

Selepas kematian Cha Nim dua tahun lalu, dia tidak mahu menora lenyap dengan ketiadaan gurunya, lalu mewujudkan kumpulan Cit Manis dengan 16 anggota.

Kumpulannya mula menjadi perhatian apabila muncul dalam satu majlis rasmi di Tumpat baru-baru ini dengan persembahan yang segar dan menarik selama 30 minit.

''Persembahan pada masa lalu biasanya bermula pukul 8.30 malam hingga 12 malam. Masanya cukup panjang dan susah untuk mengajak orang menonton berterusan.

''Jadi kita kena singkatkan dan lebih banyak unsur yang menarik perlu diselitkan," ujarnya sambil memberitahu dia menerima bayaran RM2,000 untuk kumpulannya.

Menurut Ah Tid, beliau akan terus mengadakan persembahan selagi ada permintaan dan berharap masih ada masa depan buat menora ketika minatnya masih membara.

''Menora seperti persembahan seni tradisional Kelantan yang lain cukup menarik perhatian pelancong. Mereka amat menghargai nilainya.

''Bagi saya menora bukan sekadar seni yang dikaitkan dengan tradisi keagamaan masyarakat Siam tetapi ia sebenarnya menambahkan keunikan dan kekayaan kesenian tradisional Kelantan," ujarnya.

utusanonline



Kongkru dalam seni menora bukan jampi serapah
Oleh Siti Haliza Yusop


 
PENGGIAT menora, Khun Eh Tik. - Foto Shiraz Ali

KEKELIRUAN rutin kongkru yang menjadi persembahan permulaan dalam seni menora atau juga dipanggil sebagai manora menyebabkan masyarakat khususnya, yang beragama Islam menganggapnya sebagai seni berunsurkan khurafat dan tahyul.

Seni itu juga pernah diharamkan di Kelantan meskipun peranan masyarakat Melayu dalam persembahan menora hanya terhad sebagai pemuzik dan penari sahaja.

Kaitan sejarah Kelantan, Pattani


SENI menora pernah diharamkan di Kelantan meskipun peranan masyarakat Melayu dalam persembahan menora hanya terhad sebagai pemuzik dan penari sahaja. - Foto Shiraz Ali

Bagaimanapun, pembabitan masyarakat Siam dan Melayu dalam seni tradisi yang dipercayai berasal dari Songkhla itu, dapat dikaitkan dengan sejarah Kelantan sendiri yang pernah menjadi sebahagian daripada Pattani.

Tidak hairanlah bagi penggiat menora, Md Gel Mat Dali, seni tradisi masyarakat Thai itu bukan sahaja diperjuangkan masyarakat Siam, bahkan turut disertai masyarakat Melayu di Kelantan selepas dimulakan nenek moyang mereka ratusan tahun lalu.

"Dalam menora, watak utama iaitu Pak Sitong yang banyak menyebabkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam, terutamanya apabila permulaan persembahan dimulakan dengan rutin kongkru.

"Sebenarnya tiada jampi serapah atau mempunyai kaitan spiritual dalam kongkru sebaliknya ia sekadar ingatan kepada guru yang banyak mencurahkan ilmu kepada pemegang peranan Pak Sitong," katanya kepada Sastera&Budaya selepas Bual Bicara bersama PUSAKA, di sini.

Sesi kendalian Pengarah Urusan PUSAKA, Pauline Fan itu turut disertai dua lagi penggiat menora, Khun Eh Tik dan Nuai Bute.

Menora berasal daripada kisah dalam tradisi Buddha mengenai seorang puteri kayangan yang jatuh hati kepada Putera Phra Suthon, manakala gerak tari yang dipersembahkan dalam seni itu menggambarkan gerak tangan lincah yang digunakan oleh putera itu bagi memikat Menora.

Cabaran penggunaan, pemahaman bahasa


PERSEMBAHAN Menora di Black Box Publika Solaris. - Foto Shiraz Ali

Menurut Md Gel yang juga anggota Kumpulan Manora Cik Manis Bukit Yong, meskipun gigih menghidupkan seni tradisi itu, pihaknya turut berdepan cabaran, termasuk penggunaan bahasa Siam yang sebahagian besarnya tidak difahami pemuzik.

"Bagaimanapun, selepas sekian lama bergiat dengan menora, pemuzik yang dari kalangan masyarakat Melayu berupaya membina koordinasi bersama pelakon dan penari dalam setiap persembahan dijayakan.

"Persefahaman yang dijalin antara masyarakat Melayu dan Siam dalam memperjuangkan Manora juga membolehkan seni tradisi ini mencapai lebih ramai ahli masyarakat di luar sana," katanya.

Sementara itu, Eh Tik yang sering membawa watak Pak Sitong dalam pementasan Manora berkata, beliau sudah mengenali seni tradisi itu ketika masih berusia belasan tahun.

"Saya bermula dari bawah ketika mula menggiatkan diri dengan seni ini.

"Paling utama, seseorang itu perlu memiliki ketahanan dan bersedia berusaha memahirkan diri kerana untuk membawa watak Pak Sitong memerlukan kita melalui proses pembelajaran yang gigih.

"Satu persembahan penuh Manora boleh berlangsung selama berjam-jam sehingga bukan mudah menghafaz lagu dan dialog tetapi apa yang penting, saya mahu apa persembahan yang diberi dapat dinikmati penonton," katanya

bharian


Comments