kasut sekolah berwarna hitam

Kasut hitam di sekolah mulai tahun depan
Oleh Norzamira Che Noh


SHAH ALAM: Pelajar di seluruh negara tidak lagi memakai kasut berwarna putih mulai sesi persekolahan tahun depan, sebaliknya mereka akan mengenakan kasut berwarna hitam.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, keputusan membenarkan pelajar memakai kasut sekolah itu dibuat selepas mengambil kira pandangan ibu bapa yang diterima Kementerian Pendidikan sejak beliau menjadi menteri.

"Saya akan menyaksikan pelajar sekolah tidak memakai kasut putih lagi... mereka akan memakai kasut hitam.

"Itu harapan daripada ibu bapa. Bermula tahun depan, kita (murid) akan pakai kasut hitam di sekolah,"

katanya dalam program Bicara Minda Bersama Menteri Pendidikan di Kompleks Media Kumpulan Karangkraf di sini, petang tadi.

Beliau berkata, kebenaran itu adalah antara pembaharuan yang akan dilakukan bagi menarik minat ibu bapa untuk memilih sekolah kebangsaan ketika menghantar anak masing-masing menuntut ilmu.

Pada masa sama, pihaknya mahu memastikan pelajar sekolah di negara ini menguasai lebih daripada dua bahasa melalui sistem pendidikan negara.

Katanya, hasil pertemuannya dengan Duta Finland baru-baru ini, beliau dimaklumkan pelajar di negara itu menguasai sekurang-kurangnya empat bahasa.

"Justeru, saya berhasrat dan komited untuk pelajar Malaysia menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa dalam lima tahun ini," katanya.


Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan moderator, Tan Sri Johan Jaaffar di Majlis Bicara Minda Malaysia Baharu dan Pendidikan Negara di Dewan Karangkraf, Kumpulan Media Karangkraf, Sekesyen 15. - Foto Roslin Mat Tahir

bharian

Comments