hala tuju bahasa Melayu

GAPENA minta kerajaan nyata hala tuju bahasa Melayu
Oleh Siti Haliza Yusop



KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diminta supaya segera menyatakan pendirian mengenai masa depan bahasa Melayu dan usaha memartabat serta mendaulatkannya sebagai bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan, berkata setakat ini masih belum ada kenyataan konkrit mengenai bahasa Melayu, melainkan kenyataan umum yang disifatkan berbentuk politik.

Beliau berkata, perbincangan mengenai hala tuju bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan pembinaan sesebuah negara bangsa perlu segera dilakukan kerajaan.

"Itu yang mahu kita dengar tetapi setakat ini ia belum dijelaskan lagi oleh kerajaan. Perlu ada penegasan dari kerajaan untuk menegakkan bahasa Melayu dan mendaulatkan pelaksanaannya bermula dengan peringkat sekolah.

"Dalam hal ini, penting sekali untuk kerajaan memastikan penyakit dan gejala 'multilingualism' tidak mempengaruhi dasar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini.

"Fenomena kepelbagaian bahasa itu tidak mengapa tetapi bukan multilingualism kerana ia membabitkan ideologi," katanya kepada BH di sini.

Kenyataan Zainal itu dibuat berikutan keresahan pejuang bahasa di negara ini mengenai nasib bahasa Melayu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Antara yang banyak dibualkan ialah persoalan mengenai kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan yang diterajui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setakat ini hanya Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat membuat kenyataan tegas berkaitan bahasa Melayu termasuk tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba mencabar kedudukan bahasa kebangsaan itu.

Anwar dalam laporan BH 29 Mei lalu berkata, semua acara rasmi sama ada pada peringkat Persekutuan atau negeri ditadbir PH mesti mendaulatkan bahasa kebangsaan.

Bagaimanapun, beliau juga menyatakan perlunya keterbukaan bagi menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan tidak menghalang penguasaan bahasa lain.

Zainal Abidin berkata, GAPENA bersama pergerakan bahasa yang lain akan menyerahkan memorandum kepada kerajaan mengenai pelbagai isu termasuk kenegaraan dan kedaulatan negara yang sudah lama menjadi perjuangannya.

"Kami akan mengadakan pertemuan bersama semua badan bahasa dijangkakan pada 25 Jun ini untuk berbincang terlebih dahulu sebelum memorandum ini dibawa kepada kerajaan.

"Banyak negara mempunyai bahasa kebangsaannya termasuk memiliki peruntukan (undang-undang) tetapi ada yang tidak dilaksanakan termasuk di sekolah dan kita tidak mahu ia berlaku kepada bahasa Melayu," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Organisasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Suhaizan Kayat, berkata usaha mendaulatkan bahasa Melayu menjadi keutamaan tanpa mengetepikan bahasa Inggeris.

Suhaizan yang pernah terbabit dalam Sekretariat Membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) berkata, pandangan dan keresahan pejuang bahasa itu perlu diberi perhatian oleh kerajaan.

"Bagaimanapun saya fikir disebabkan kerajaan ini masih sangat baharu lagi justeru Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik perlu diberi peluang meneliti semua aspek sebelum kerajaan dapat menggubal dasar berkaitan.

"Pada masa sama, manifesto PH sendiri turut menyatakan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa utama tetapi penggunaan bahasa Inggeris juga tidak boleh dinafikan dan kedua-duanya perlu seiring," katanya.

bharian

Comments