terima kasih





Sambutan luar biasa di rumah terbuka Dr Mahathir
15 Jun 2018



Ribuan rakyat daripada pelbagai lapisan hari ini mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri dihoskan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan menteri kabinet di Seri Perdana, kediaman rasmi perdana menteri di Putrajaya.

Ini merupakan majlis rumah terbuka Aidilfitri pertama Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Dr Mahathir setelah memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Tetamu mula berkumpul seawal 8.30 pagi di pintu masuk Seri Perdana untuk menghadiri majlis yang dijadual berlangsung dari 10 pagi hingga 4.30 petang itu.



Sambutan kali ini agak berbeza kerana ia diadakan di Laman Sari di perkarangan Seri Perdana berbanding tahun lepas yang mana hos-hos akan bersalamanan di dalam kediaman rasmi itu.

Cuaca panas tidak menjejaskan keterujaan orang ramai yang berbaris panjang dengan penuh sabar untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada Mahathir dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, yang memakai baju Melayu dan baju kurung warna ungu.

Ketibaan Mahathir disambut dengan sorakan gemuruh dari pengunjung.

Orang ramai turut diraikan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Pertahanan Mohamamd Sabu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Turut menjadi tuan rumah ialah Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun,, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub dan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Perkarangan Seri Perdana umpama lautan manusia yang mengambil peluang untuk saling memberikan ucap selamat kepada Mahathir serta para tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah seperti sate, rendang, lemang, ketupat, nasi himpit dan nasi biryani.



Ketika melangkah pulang, hadirin diberi bungkusan cenderamata.

'Buggy' digunakan untuk membawa warga emas dan golongan kurang upaya ke khemah-khemah yang menghidangkan pelbagai jenis makanan dan minuman.

Disebabkan sambutan luar biasa, pintu pagar dibuka awal satu jam (9 pagi) agar pengunjung tidak perlu beratur di luar dan menikmati juadah disediakan di 10 khemah makanan.

Setakat pukul 11 pagi, lebih 10,000 pengunjung telah hadir dan dijangka 70,000 orang akan menghadiri rumah terbuka itu. Ia melebihi jangkaan awal iaitu seramai 50,000 akan hadir ke majlis tersebut.

Bagi kemudahan orang ramai untuk menghadiri majlis tersebut, perkhidmatan bas percuma disediakan oleh Bas Putrajaya dari tiga lokasi iaitu di Putrajaya Sentral, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra ke Seri Perdana, kata JPM.

Orang ramai boleh meninggalkan kenderaan masing-masing di tiga lokasi tersebut untuk menaiki bas yang disediakan dan dinasihatkan agar menggunakan hentian bas yang sama untuk pergi dan balik.

- Bernama

malaysiakini



Comments