bahasa dalam karya sastera


Bahasa dalam Karya Sastera
Oleh RAHMAN SHAARI

KETIKA kita dilahirkan, kita tidak tahu berbahasa. Tangisan pertama bayi bukanlah “bahasa” seperti yang difahami oleh masyarakat, kecuali jika kita mahu mengatakannya bahasa dalam erti yang tertentu. Kita belajar berbahasa sejajar dengan perkembangan fizikal kita. Ketika kita kecil, keluarga mengajarkan kata-kata dan ayat-ayat mudah. Apabila kita bersekolah, kata-kata pun bertambah-tambah, dan ayat-ayat pun semakin kompleks.

Kita berbahasa seumur hidup. Bahasa yang kita gunakan ialah bahasa yang dipersetujui oleh masyarakat. Dengan kata lain, bahasa kita adalah mengikut konvensi masyarakat. Apa-apa yang kita katakan, sentiasa difahami oleh orang yang kita ajak berbual-bual. Jika kita menulis sesuatu, kita menujukan tulisan itu kepada orang yang tahu berbahasa, khususnya yang memahami bahasa yang kita gunakan. Seterusnya, kita membaca tulisan-tulisan dalam bahasa yang kita fahami juga.

Apabila kita mengarang, karangan kita adalah bertahap-tahap. Kita mungkin mengarang untuk pembaca pada tahap biasa. Maksud pembaca pada tahap biasa ialah pembaca yang membaca karangan kita untuk mendapatkan maklumat atau berita. Penulis berita untuk akhbar sentiasa menggunakan bahasa untuk pembaca tahap ini.



Kita mungkin juga menulis karangan untuk pembaca pada tahap intelektual dan akademik. Makalah-makalah yang tersiar dalam jurnal sentiasa menggunakan bahasa akademik. Isinya pula tebal dengan pemikiran. Karangan pada tahap ini banyak menggunakan istilah-istilah yang hanya difahami oleh pembaca yang mempelajari ilmu tertentu. Tidaklah mudah untuk kita memahami karangan akademik tentang undang-undang jika kita tidak pernah mempelajari bidang tersebut.

Oleh itu, di manakah letaknya karya sastera?

Karya sastera ialah karya yang memuatkan nilai seni. Telah disebutkan tadi bahawa karya sastera berasaskan bahasa. Kita mengatakan karangan tentang undang-undang, perubatan, ekonomi, politik dan lain-lain semuanya menggunakan bahasa, dan kita bertanya apakah perbezaan antara bahasa dalam karya sastera dengan bahasa dalam bidang-bidang tersebut?

Tanpa karya sastera, bahasa hanyalah alat untuk anggota masyarakat berhubung antara antara satu dengan yang lain, dan juga bertujuan mendapatkan ilmu. Memang peranan yang sedemikian dapat dilaksanakan oleh bahasa tanpa karya sastera. Namun, untuk keberkesanan mesej dalam kehidupan, karya sastera amat dituntut. Karya sastera berupaya untuk memperkukuh kesan yang diharapkan oleh penutur dan penulis. Bahasa dalam karya sastera berbeza daripada yang lain apabila aspek tersebut diperhatikan.

Bahasa amat penting dalam menghidupkan dan menyegarkan karya sastera. Untuk menilai kebagusan bahasa, kajian hendaklah ditumpukan pada aspek gaya bahasa. Bagi menghidupkan karya sastera, gaya bahasa seperti metafora, simile, personifikasi dan lain-lain akan ditekankan.

Bahasa dalam karya puisi

Dalam perbualan harian, kita menemukan karya sastera dalam bentuk yang sederhana dan rendah. Apabila kita mahu menyarankan bahawa sesuatu itu boleh dipercayai, maka kita katakan “Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata”. Berita yang tidak dapat dibuktikan disebut “khabar angin”. Perhatikan bahawa “khabar angin” ialah simpulan bahasa, dan “tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata” ialah pepatah. Simpulan bahasa dan pepatah ialah karya sastera.

Karya sastera dari genre peribahasa (termasuk simpulan bahasa dan pepatah) adalah banyak. Demikian juga karya sastera yang berupa ungkapan-ungkapan. Kita sering membaca karya sastera sedemikian di akhbar, majalah dan buku. Kita juga sering mendengar syarahan dan juga percakapan harian yang memuatkan karya sastera sedemikian. Karya sastera yang sedemikian ialah puisi.

Pantun, syair, gurindam dan seloka, ialah puisi yang dianggap berada pada tahap yang lebih tinggi daripada peribahasa. Walau bagaimanapun, kesemua karya sastera yang disebut puisi tradisional itu membawa maksud yang mendalam dan maksud itu tersimpul dalam bahasa yang indah dan menarik. Jika bahasanya tidak menarik dan keseluruhan penyampaiannya tidak berkesan, pasti kita tidak menganggapnya karya sastera.

Marilah kita tuturkan serangkap pantun. Pantun ini membawa maksud bahawa seseorang akan mengingati orang yang jauh, jika dia merasakan orang dekat tidak memberikan perhatian terhadapnya.

Ada penyengat di dahan pauh,
Di dahan langsat semut melata;
Mana tak ingat orang yang jauh,
Orang yang dekat tak dengar kata.

Jika isi pantun di atas disebutkan dalam bentuk prosa biasa, bunyinya ialah, “Saya asyik mengenang kawan saya yang jauh, kerana kawan yang dekat dengan saya tidak sefahaman dengan saya.” Kata-kata dalam bentuk prosa itu tidak berkesan. Pantun yang diutarakan itu lebih berkesan kerana bahasa yang digunakan ialah bahasa yang berentak dan berirama. Kata-kata “Mana tak ingat orang yang jauh” adalah padat, dan berentak, manakala kata-kata yang berbentuk bukan sastera adalah biasa sahaja. Oleh sebab kata-kata dalam pantun itu berkesan, kita menganggapnya aforime, iaitu bahan yang dapat dijadikan pedoman hidup. Pedoman hidup ini berbunyi: “Jika kita mahu diri kita disayangi, janganlah kita mengetepikan cakap-cakap orang yang kita sayangi. “

Sekarang, jelaslah bahasa dalam karya sastera ialah bahasa yang berkesan. Bahasa dalam sajak sentiasa padat dan puitis, oleh itu mesejnya akan diingati, tidak segera dilupakan. Perhatikan kata-kata daripada sajak “Mengintai Ruang Insaf” karya Shukri Abdullah.

Semakin berat kejahilan
terpikul di bahu
semakin jauh perjalanan
memburu nur-Mu.

Rangkap di atas menimbulkan keinsafan, bahawa manusia yang berdosa akan kian jauh daripada nikmat Tuhan. Bahasa sastera yang digunakan oleh Shukri Abdullah kuat dan berkesan, berbanding dengan bahasa bukan sastera untuk menyampaikan mesej yang sama. Sebagai karya puisi moden, karya ini memuatkan metafora seperti “padang hidup” dan “tunjang makna”.


Bahasa dalam karya prosa

Prosa tradisional “Pelayaran yang Penuh Peristiwa” ditulis semula oleh Matlob daripada karya asal. Oleh sebab yang demikian, sifat klasiknya agak terhakis. Perhatikan ayat ini: Setelah beberapa lama berlabuh barulah orang-orang yang mabuk tadi tersedar. Ayat tersebut menyamai ayat bahasa Melayu moden. Bahasa Melayu dalam prosa Melayu tradisonal yang tulen berbunyi seperi ini: Syahadan maka tersebutlah perkatannya Indera Nata berjalan itu. Ayat tersebut terdapat dalam “Hikayat Indera Nata”.

Karya sastera yang berbentuk prosa juga memiliki unsur-unsur yang menentukan keberkesanan. Selalunya karya prosa memuatkan cerita. Dalam cerita itu terselit pesanan dan pengajaran.

Pesanan dan pengajaran yang disampaikan melalui cerita sentiasa berkesan. Khalayak karya prosa, baik prosa tradisional mahupun prosa modern, akan tiba pada kesimpulan bahawa kebaikan mesti mengatasi kejahatan. Selain itu karya prosa yang baik pasti memuatkan pemikiran. Nilai kebaikan dan pemikiran adalah penting dalam kehidupan masyarakat. Dalam karya yang berbentuk prosa, bahasa yang berkesan digunakan untuk melukiskan peristiwa dan juga untuk menghasilkan dialog.

Bentuk dan susuk bahasa Melayu tradisional tidak menyamai bentuk dan susuk bahasa Melayu moden. Untuk memahami hal ini, ambil sahaja mana-mana ayat daripada “Hikayat Indera Nata” dan bandingkan dengan mana-mana ayat dalam cerpen “Mellisa” karya Abdullah Hussain.

Selain bentuk dan susuk ayat, dalam karya prosa tradisional terdapat beberapa perkataan yang sudah tidak digunakan dalam zaman moden. Kata-kata itu antara lain ialah “syahadan”, “sebermula”, “hatta”, dan lain-lain. Perhatikan juga bahawa dalam prosa tradisional terdapat agak banyak kata yang digunakan untuk melukiskan corak komunikasi antara pihak raja dengan rakyat. Kata-kata yang dimaksudkan ialah “patik”, “tuanku”, “beta”, “baginda” dan lain-lain.

Bahasa dalam karya prosa tradisional selalunya tidak memaparkan keperibadian khusus pengarang. Perhatikan ayat ini: Alkisah inilah suatu ceritera orang dahulukala, amatlah indah bunyinya, supaya memberi asyik hati perempuan yang hendak berbuat bakti kepada suaminya, dari dunia datang ke akhirat. (Daripada “Hikayat Khoja Maimun”). Kita katakan ayat tersebut tidak memaparkan keperibadian khusus pengarangnya kerana bentuk itu ialah bentuk umum bahasa Melayu klasik. Yang dapat kita pelajari daripada ayat di atas ialah adanya kata lama, iaitu “alkisah” dan “ceritera”. Kita juga dapat memerhatikan bentuk dan susuk ayat dalam bahasa Melayu klasik.

Bahasa dalam karya prosa moden memuatkan identiti pengarang. Perhatikan ayat daripada cerpen “Ibu dan Ceper” karya Shahnon Ahmad: Ceper pun serupa. Ia memancutkan airnya begitu deras bagaikan anak panah yang baru saja lepas dari busurnya. Gaya bahasa Shahnon tidak sama dengan gaya bahasa Erda Roslan Khairi. Perhatikan ayat-ayat daripada cerpen “Israk”: Pagi nirmala. Camar menyanyi mesra bersaing dengan cengkerik menunjuk ketangguhan.

Perbezaan antara pengarang dapat dilihat pada pemilihan kata, pembinaan ayat dan beberapa aspek lagi. Selain gaya pengarang, prosa moden juga selalu kaya dengan metafora, personifikasi dan lain-lain. Dalam cerpen “Israk” terdapat metafora “kolam mata”, manakala dalam cerpen “Mellisa” terdapat “arus masyarakat” dan lain-lain. Bahasa figuratif tidak hanya terdapat dalam puisi, tetapi juga dalam prosa.

Sebagai kesimpulan, aspek bahasa ialah aspek penting dalam karya sastera. Bahasa ialah penentu utama yang menyebabkan karya sastera menjadi indah dan istimewa.

klikweb


Comments