mahathir dan puisi

MAHATHIR -- Seorang pendengar dan penyair
Oleh: AZMAN ISMAIL


``Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad merupakan pemimpin pertama negara ini yang terlibat secara langsung dalam pembacaan dan penulisan puisi.

``Berbeza dengan pemimpin-pemimpin sebelum ini, seingat saya tidak ada Perdana Menteri yang menulis puisi dan membaca karya masing-masing di hadapan khalayak atau majlis-majlis rasmi. Kalau adapun hanya membaca rangkap-rangkap pantun. Itupun dipetik daripada buku-buku.''

Demikian pandangan Sasterawan Negara Datuk Dr. A. Samad Said terhadap bakat semula jadi Perdana Menteri dalam genre puisi serta deklamasi.

Khalayak sastera negara ini atau masyarakat secara umum pasti tidak akan melupakan puisi-puisi sinisme Perdana Menteri itu seperti Melayu Mudah Lupa dan Perjuangan Yang Belum Selesai.

A. Samad mengakui, puisi-puisi Dr. Mahathir tidak `sehebat' karya-karya penyair tempatan tetapi kemampuan beliau mencetuskan perasaan dan idea tentang isu-isu semasa begitu mengagumkan.

Kebolehan beliau menulis puisi panjang yang rata-rata melebihi 50 baris, bagi A. Samad merupakan sesuatu yang agak luar biasa untuk seorang pemimpin yang dibebani pelbagai tugas sepertinya.

Beliau memberitahu, Dr. Mahathir juga dapat dianggap pelopor dalam mengembangkan bidang puisi dan kesusasteraan di kalangan `orang-orang politik'.

``Saya tidak kata orang-orang politik terutama pemimpin-pemimpin tertinggi negara ini tidak minat sastera, khususnya puisi. Tapi mungkin bukan tradisi untuk mereka menulis dan membaca puisi seperti Dr. Mahathir.

``Selepas Dr. Mahathir membaca puisi-puisinya seperti Perjuangan Yang Belum Selesai, tradisi itu menjadi ikutan pemimpin-pemimpin lain seperti Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak,'' katanya.

Sudah tiga kali beliau bersama-sama Dr. Mahathir menjadi `peserta' dalam acara deklamasi. Dan, tiga kali beliau menulis serta mendeklamasi puisi khusus untuk Perdana Menteri itu.

Bagi Dr. Mahathir, undangan untuk mendeklamasi puisi adalah kesempatan untuk bertemu teman-teman daripada kalangan orang-orang sastera dan sebuah peluang keemasan untuk insan-insan seni menemui secara langsung pemimpin mereka.

Kata-kata `Samad, nampaknya kita hanya berjumpa sekali setahun saja, itupun dalam majlis baca puisi, kalau tidak, tak ada' oleh Perdana Menteri mempunyai signifikan tersendiri kepada Sasterawan Negara itu.

Menurut A. Samad, kata-kata tersebut menunjukkan minat beliau yang mendalam terhadap bidang sastera, khasnya puisi tetapi tidak mempunyai masa yang cukup untuk berkarya dan mendampingi orang-orang sastera.

A. Samad berkata, beliau merupakan Sasterawan Negara yang paling kerap berada `di samping' Perdana Menteri sepanjang 22 tahun beliau memegang jawatan tertinggi negara itu.

Paling menarik tentang Dr. Mahathir di majlis-majlis deklamasi puisi bagi A. Samad ialah `disiplin' yang ditunjukkan oleh beliau yang sama sekali tidak akan bercakap ketika pendeklamator membaca puisi.

Disiplin

``Seingat saya selama membaca puisi bersama beliau, Dr. Mahathir sama sekali tidak bercakap, memberi komen atau bertepuk tangan, kecuali pendeklamator habis membaca puisi,'' katanya.

Disiplin yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri itu dalam majlis-majlis puisi turut diakui oleh penyair terkenal, A. Gaffar Ibrahim.

Katanya, dalam majlis-majlis deklamasi puisi Dr. Mahathir seolah-olah menganggap di sebelahnya tidak ada tetamu-tetamu lain ketika pendeklamator membaca puisi.

``Itu disiplin tersendiri yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri, membuktikan beliau tidak hanya serius dalam tugas sebagai pemimpin negara tetapi juga sebagai seorang peminat sastera.

``Beliau juga sangat menggalakkan perkembangan sastera dan sentiasa memberi perangsang kepada insan-insan seni tanah air,'' katanya.

Selama lebih tiga kali `beraksi' di depan Dr. Mahathir, beliau tidak dapat melupakan kata-kata perangsang Perdana Menteri supaya bersungguh-sungguh memajukan sastera tanah air.

``Dr. Mahathir kata kepada saya, kalau nak majukan sastera negara ini, semua penggiat sastera kena buat bersungguh-sungguh. Jangan buat separuh jalan,'' tambahnya.

Sementara itu, Dr. Mahathir juga menunjukkan minat yang mendalam dalam bidang drama pentas. Meskipun tidak pernah berkarya tetapi menjadi peminat setia genre itu jika berkesempatan.

Penulis skrip dan penggiat teater, Siti Jasmina Ibrahim menganggap kehadiran Perdana Menteri menonton beberapa siri pementasan teater yang diterbitkan oleh syarikatnya, SQ Production, sesuatu yang cukup menarik.

``Pernah sewaktu kami mementaskan teater Anugerah yang diarahkan oleh Rosminah Tahir tiga tahun lalu, Dr. Mahathir membisikkan kepada kami, kalau nak teater tempatan maju, kena buat bersungguh dan terbaik.

``Beliau kata, tidak semestinya untuk hasilkan pementasan yang baik, pementasan perlu dibuat di Istana Budaya sahaja, buat di Auditorium DBKL atau MTC juga boleh berjaya jika bersungguh-sungguh.''

Siti Jasmina juga mengakui bahawa Dr. Mahathir seorang penonton yang berdisiplin. Beliau sama sekali tidak bercakap atau ketawa ketika menonton hingga berakhirnya pementasan.

utusanonline



Comments