kiswah kaabah

120kg emas untuk sulaman ayat al-Quran kelambu kaabah
22 OGOS 2016




WAKTU sejurus selepas Subuh setiap 9 Zulhijah merupakan saat-saat yang dinanti-nantikan oleh umat Islam terutama di kota penuh sejarah ini untuk menyaksikan upacara menukar Kiswah atau kelambu Kaabah baharu.

Menurut catatan sejarah upacara pemasangan Kiswah telah berlaku sejak sebelum kelahiran junjungan mulia Nabi Muhammad SAW lagi.

Namun ramai yang tidak mengetahui bagaimana Kiswah dihasilkan.

Petugas media Lembaga Tabung Haji (TH) yang berkesempatan melawat Kilang Kiswah Kaabah yang dibina pada 1977 oleh Bapa Pembangunan Arab Saudi, Al Malek Abdul Aziz bin Abdul Rahman, dimaklumkan pekerja memerlukan masa hingga enam bulan untuk menyiapkan sebuah Kiswah.

Jelas sekali, keindahan dan kehalusan seni sulaman Kiswah dengan ayat-ayat suci al-Quran tiada tandingan.

Ia dihasilkan dengan menggunakan benang emas dan perak menerusi sentuhan kira-kira hampir 100 penyulam pakar.

Pengurus Besar kilang berkenaan, Muhammad Abdullah Bajawda dalam taklimatnya memaklumkan bagi menghasilkan sulaman berkenaan, pihaknya menggunakan emas seberat 120 kilogram dan 120 kilogram perak yang disadur pada benang khas yang kesemuanya diimport dari Jerman.

"Seberat 670 kilogram benang sutera yang diimport dari Itali pula digunakan

dalam menghasilkan pemidang Kiswah ini," katanya menerusi penterjemah.

Muhammad berkata tinggi Kiswah yang dihasilkan adalah lebih kurang 14 meter, ukuran lebar kain Kiswah daripada bahagian dua rukun (sudut) ialah 10.78 meter, ukuran lebar daripada bahagian Multazam ialah 12.50 meter.

"Manakala ukuran lebar kain Kiswah daripada bahagian Hajar Aswad ialah 10.50 meter manakala ukuran lebar kain Kiswah daripada bahagian Bab Ibrahim ialah 13 meter," katanya.

Penghasilan setiap Kiswah membabitkan kos kira-kira RM24 juta.

Beliau berkata proses penghasilan Kiswah bermula ketika mencelup warna dan dimasukkan ke dalam makmal bagi proses penegangan benang, daya tahan dan pergeseran benang-benang sutera bagi memastikan ia mengikut spesifikasi.

"Kemudian mesin berteknologi tinggi digunakan untuk menghasilkan pemidang kain Kiswah.

"Setelah siap, kain berkenaan akan dicop ayat-ayat al-Quran dengan menggunakan 'silk screen' dengan dakwat warna putih dan kuning termasuk lambang-lambang dan syiar yang berlainan ukuran," katanya.

Proses berikutnya paling penting, iaitu menyulam benang emas dan perak pada huruf-huruf yang sudah dibentuk.

Seterusnya petugas akan menjahit kepingan-kepingan kain untuk dijadikan Kiswah lengkap.

Kiswah yang telah siap dengan sempurna akan diserahkan kepada pihak pengurusan Masjidil Haram kira-kira sembilan hari sebelum dipasang menggantikan yang lama pada binaan Kaabah. - Bernama

sinarharian




Kehebatan kelambu Kaabah


SUASANA dalam kilang kiswah di Mekah. 

Oleh Zulkiflee Bakar
02 September 2016 6:00 PM

PADA 9 Zulhijah setiap tahun, ketika seluruh umat Islam yang menunaikan ibadah haji berwuquf di padang Arafah, di kota Mekah atau lebih tepat Masjidilharam, selepas solat subuh akan berlangsung satu acara paling ditunggu-tunggu iaitu penggantian kelambu Kaabah atau kiswah.

Mengikut sejarah, kain atau kelambu itu untuk melindungi dinding Kaabah daripada rosak akibat kekotoran, debu dan panas. Kiswah dikatakan dipasang sejak zaman Nabi Ismail a.s., bagaimanapun tidak dinyatakan diperbuat daripada apa?

Meneliti satu demi satu sejarah kiswah adalah jelas, bangunan yang dibina oleh Nabi Ibrahim a.s. itu melalui pelbagai proses bentuk kelambu yang ‘membaluti’ tempat suci tersebut.

Bermula daripada kain tenunan kemudiannya kain benang kapas, kiswah juga difahamkan satu ketika dahulu tidaklah semestinya berwarna hitam pekat.

Kiswah pertama dikatakan diperbuat daripada kain tenunan berjalur Yemen berwarna merah. Selepas itu, kain tersebut juga pernah dikatakan berwarna putih, hijau dan kuning. Bagaimanapun, akhirnya kelambu itu ditetapkan berwarna hitam ketika Dinasti Abasiyyah.

Ketika zaman keagungan Islam, setiap khalifah bertanggungjawab melaksanakan pembuatan kiswah. Dahulu kiswah dikatakan diperbuat daripada sutera hitam dari Mesir dan bermula pada zaman Sultan Sulaiman yang memerintah Mesir pada sekitar tahun 950-an hingga pemerintahan Muhammad Ali Pasya sekitar akhir tahun 1920-an.

Mengikut catatan setiap tahun, kiswah itu dihantar ke Mekah melalui jalan darat menggunakan tandu indah yang disebut mahmal.

Bagaimanapun atas sebab-sebab tertentu khususnya kelewatan kiswah tiba di Mekah pada bulan Zulhijjah, pengasas kerajaan Arab Saudi, Raja Ibnu Saud membuat keputusan untuk menghasilkannya sendiri melalui langkah mendirikan kilang di Kampung Jiyad, Mekah.

Dari semasa ke semasa pembuatan kiswah sentiasa menjadi perhatian. Ketika melawat kilang tersebut baru-baru ini bersama rombongan wartawan Malaysia, kami diberitahu sebanyak 120 kilogram (kg) benang emas tulen, 120 kg benang perak dan 670 kg sutera digunakan untuk menghasilkan kiswah.

Setiap tahun kilang itu hanya mengeluarkan sebuah kiswah yang kebanyakan kerja sulaman ayat suci al-Quran dan tenunan dilakukan secara manual oleh pekerja warga tempatan.

Hanya sebahagian kecil penghasilan kain menggunakan mesin moden.

Kos bagi menyiapkan sebuah kiswah mencecah RS22 juta (RM23.7 juta) menggunakan kain sutera berkualiti tinggi dari Itali dan benang emas serta perak tulen dari Jerman. Ia mengambil masa antara lapan hingga sembilan bulan untuk disiapkan.

Antara kalimah atau ayat yang tertera dalam pintalan emas kiswah ialah syahadah, surah Ali Imran ayat 96, al-Baqarah ayat 144, surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas.

utusanonline



Pertukaran Kiswah Kaabah Peristiwa Penting Musim Haji
 Isnin, 12 September 2016


MAKKAH: Tradisi sejak sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW diteruskan apabila kelambu atau kiswah Kaabah yang baru bernilai RM23.7 juta ditukar sejurus selepas Subuh pada Ahad.

Kiswah Kaabah menggunakan kain sutera berkualiti tinggi yang diimport dari Itali, 120 kilogram benang emas dan 120 kilogram benang perak tulen yang dihasilkan di Jerman.

Untuk menyiapkannya pula, pekerja di kilang di Jiyad mengambil masa antara lapan hingga sembilan bulan.

Antara kalimah atau ayat yang tertera pada kiswah itu ialah kalimah syahadah, surah Ali Imran ayat 96, al-Baqarah ayat 144, surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas.

Pertukaran kelambu Kaabah adalah antara peristiwa penting setiap kali musim haji, bagi mengelak dinding Kaabah rosak kerana debu atau panas.

Kerja-kerja pertukaran kiswah Kaabah yang menjadi qiblat umat Islam seluruh dunia ketika menunaikan solat itu dilakukan kira-kira 90 pekerja dan juruteknik ketika lebih 1.3 juta jemaah haji berkumpul di padang Arafah untuk berwukuf.

Sejak bangunan itu didirikan Nabi Ibrahim (AS), ia dibaluti dengan pelbagai jenis kain. Ada juga riwayat yang menyatakan Kaabah itu pernah diselubungi dengan kain yang bukan berwarna hitam pekat.

Kelambu pertama dikatakan berwarna merah, kemudian putih, hijau dan kuning. Bagaimanapun, ketika zaman pemerintahan Abbasiyah, kiswah itu ditetapkan berwarna hitam.

Sebelum 1920-an, kiswah dibuat di sebuah kilang di Mesir, sebelum bapa permodenan Saudi, Raja Abdulaziz Abdul Rahman Al-Saudi membina kilang Kiswah Kaabah di Jiyad pada 1927.

mstar


Comments