10 Mar 2018

membaca

Membaca kewajiban abadi
Husaini Ghazali


MENGHADAM penulisan yang pelbagai dan sebanyak mungkin membantu memahami apa itu penulisan yang berkualiti dan yang mana tidak berkualiti, selain menambah ilmu. - Gambar hiasan
Husaini Ghazali

25 Februari 2018

Kita boleh kenal suatu hasil penulisan itu baik atau buruk, jika kita pembaca yang sudah membaca sekian banyak tulisan; kreatif ataupun tidak kreatif.

Tetapi sukar untuk kita menentukan sama ada seorang penulis yang karyanya tidak bagus itu telah membaca banyak buku ataupun tidak.


Ramai penulis yang mengaku terinspirasi dengan sekian-sekian penulis hebat, baik dari dalam negara atau luar negara.

Tetapi apabila kita membaca karyanya, tidak sampai perasaan tulisan itu dan terasa janggal. Malah mungkin kita juga akan berkata ‘ada juga penulis semacam ini, ya?’.

Pada zaman ledakan maklumat dan bertaburannya karya-karya yang diletakkan di dalam media sosial, sesiapa sahaja boleh menulis, menerbitkan buku sendiri dan kemudian mendakwa hasil mereka merupakan satu karya yang baik.

Dibumbui pula dengan ulasan dan promosi serta ulasan kawan-kawan mereka tentang kebagusan karya itu, akhirnya tulisan mereka itu laris dan tular.

Ini belum dicampur dengan penulisan palsu, memasukkan fakta-fakta dari riwayat sejarah yang diragui, disertakan tajuk-tajuk clickbait dan akhirnya semacam menimbulkan kultus pengikut terhadap penulis itu.

Segala yang ditulis dibenarkan sahaja oleh pengikutnya tanpa penolakan. Suatu senario neo-autokrasi yang seram untuk dibayangkan.

Masalah sebegini semakin bertambah. Ada juga penulis-penulis yang mengaku mereka tidak membaca buku atau membaca hanya beberapa buah buku sahaja dalam setahun, kemudian menulis buku.

Apabila kita membaca karya mereka, kita berasa kecewa. Penulisannya sangat teruk.

Dari segi tata bahasanya, susunan ayat, pemilihan perkataan yang canggung dan terlalu berpura-pura dalam menjual nilai dan moral.

Tidak malukah penulis sebegini? Membiarkan karya mereka terjual dan menyedapkan hati dengan berkata ‘bagus itu subjektif,’ atau lebih teruk, tidak menyedari yang mereka telah menghasilkan karya yang buruk.

Jika anda seorang Muslim pasti anda sudah biasa dengan perkataan Iqra’ yang merupakan ayat pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.

Agama Islam sendiri telah menekankan kita tentang budaya membaca.

Malah dengan budaya membaca karya-karya tamadun luarlah yang telah melahirkan sekian banyak pakar dari zaman kekhalifahan seperti Ibnu Sina, Ibnu Hazmi dan Al Khawarizmi.

Kata Sasterawan Negara A. Samad Said apabila ditanya tentang penulisan, jawab beliau, "baca, baca, baca!".

Beliau memiliki koleksi buku yang sangat banyak di rumahnya. Begitu juga dengan sasterawan-sasterawan yang lain.

Mereka membaca karya-karya yang baik dari dalam dan luar negara. Jadi tidak hairanlah karya-karya mereka ini mempunyai mutu dan bernilai.

Kekal dalam pembacaan rakyat yang tahu membaca dan mengerti apa itu penulisan yang berkualiti dan yang mana tidak berkualiti.

Penelitian

Pramoedya Ananta Toer pernah mengatakan “menulis adalah kerja-kerja keabadian”. Apabila seseorang penulis meninggal dunia, maka dia meninggalkan hasil penulisannya kepada umum.

Jika bukunya mempunyai daftar ISBN maka ada salinannya di Perpustakaan Negara Malaysia.

Namun, erti abadi itu tidak akan menjadi sesuatu yang bermakna jika karya itu tidak diingati atau dibaca orang lain.

Tetapi adakah penulis yang menulis untuk karyanya diingati, sekadar mahu diterbitkan dalam bentuk buku, memberi manfaat kepada pembacanya.

Atau, dia tidak peduli pun itu semua asalkan segala yang terbuku di hatinya dilepaskan begitu sahaja? Tepuk dada, tanyalah selera.

Hari ini orang masih membaca dan mencari karya-karya William Faulkner, Ernest Hemingway, Usman Awang dan Shahnon Ahmad. Ini kerana karya-karya mereka telah mencapai taraf keabadian.

Hal ini berlaku juga kerana penulisan-penulisan mereka yang teliti dan sudah tentu, hasil pembacaan yang meluas telah membantu mereka dalam kerja-kerja penulisan itu.

Pembacaan akan menambahkan pengetahuan dalam diri seorang penulis. Amat wajar bagi seseorang penulis (yang menulis sajak, cerpen atau novel) untuk membaca pelbagai jenis buku.

Daripada aneka bidang seperti falsafah, agama, teknologi serta karya-karya kreatif penulis terdahulu.

Tidak ada penulis yang betul-betul mendapat inspirasi atau idea bulat-bulat lalu menerjemahkannya ke atas kertas begitu saja.

Dia perlu menjalinkannya dengan susunan perkataan, pembinaan ayat-ayat dan pemerengganan.

Dari mana hendak mendapatkan ayat dan perkataan terbaik? Dari tepi lorong Chow Kit atau pusat pelupusan sampah?

Tentulah juga daripada penelitiannya terhadap karya-karya yang dibaca dan pemilikan perbendaharaan kata dalam kepalanya.

Jikalau tidak hasilnya pasti terasa tawar, kosong dan menjemukan. Dengan membaca seseorang penulis itu akan dapat menambahkan perbendaharaan katanya.

Kalaulah seorang penulis sajak misal kata, kali pertama dia menulis sajaknya, adakah dia telah benar-benar berjaya mencapai satu penulisan yang sempurna, atau paling tidak, memenuhi ciri suatu sajak?

Atau dia melambakkan sahaja perkataan-perkataan bombastik dan arkaik? Ia harus belajar lagi, setapak demi setapak.

Yang kurang membaca, karyanya kita tahu tidak sedap bak kata-kata yang tidak mempunyai roh dan jiwa.

Penulisan yang tidak mempunyai roh dan jiwa adalah penulisan kosong yang berpura-pura. Ia menyangka dirinya hidup segar-bugar tetapi tidak mampu melihat cermin bagi merenung wajahnya yang kusam.

Kata Margaret Atwood, ‘menulis dan membaca adalah seperti dua perkara berlainan, dan ia akan hanya bertambah baik melalui latihan.’

Latihan membaca ialah meluangkan masa, membeli buku dan duduk bersandar atau berbaring dan menikmati patah perkataan yang dipaparkan.

Proses ini akan berkembang. Sama ada kita kekal membaca karya yang sudah kita terbiasa atau mencabar diri kita dengan beralih kepada sesuatu karya yang lebih ‘berat’.

Terkadang, ia berkembang sendiri seiring dengan perkembangan usia. Jika sejak kecil penulis itu sudah terbiasa membaca, apabila membesar pasti dia bersikap selektif dan tahu mana satu karya yang baik.

Proses ini akan banyak mempengaruhi gaya penulisan seorang penulis. Tidak sedikit penulis yang terpengaruh dengan karya yang mereka baca lalu bertekad ingin menulis seperti mana penulis-penulis kegemaran mereka.

Yang sukar dielak juga apabila seorang penulis itu sekadar menyalin gaya penulis kegemarannya itu secara bulat-bulat.

Sebab itulah juga membaca merupakan kewajiban yang abadi. Kita akan sentiasa menemui perkara baharu dan untuk penulis, membaca adalah guru mereka sepanjang hayat


utusanonline

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena