cemerlang stpm

Amalan bangun pukul 3 pagi reseoi anak tukang sapu cemerlang STPM


Nur Amiza Azahar berkongsi kegembiraan bersama ibunya Isma Ismail, selepas memperoleh keputusan cemerlang PNGK 4.0 pada pengumuman keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di SMK Jitra hari ini. Nur Amiza, anak kedua daripada empat adik beradik bersekolah di SMK Tunku Putra, Langkawi. - BERNAMA

KUBANG PASU 6 Mac - Amalan bangun seawal 3 pagi untuk mengulang kaji pelajaran membuahkan hasil kepada anak tukang sapu apabila memperoleh keputusan cemerlang 4A dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sekali gus tersenarai antara pelajar terbaik negeri ini.

Nur Amiza Azahari, 20, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putra, Langkawi yang mendapat semua A bagi subjek Pengajian Am, Bahasa Melayu, Geografi dan Ekonomi itu berkata dia mudah mengingati setiap pelajaran yang diulang kajipada waktu berkenaan.


"Pada masa-masa lain, saya banyak luangkan untuk bersama ahli keluarga yang mana selepas pulang dari sekolah saya akan berehat dan bantu ibu buat kerja rumah, manakala pada sebelah malam saya siapkan kerja sekolah dan tidur awal.

Apabila saya bangun jam 3 pagi, saya akan bercakap seorang diri seolah-olah cakap semula apa yang cikgu ajarkan dan di sekolah saya akan beri fokus sepenuhnya," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengumuman keputusan STPM 2017 peringkat negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra dekat sini hari ini.

Pengarah Pendidikan Kedah Datuk Azuyah Hassan membuat pengumuman itu turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 44 pelajar STPM di negeri ini yang memperoleh keputusan cemerlang 4A.

Nur Amiza yang berhasrat menjadi seorang guru dan menyambung pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris itu berkata dia begitu gembira serta bersyukur mendapat keputusan cemerlang itu kerana dapat membalas pengorbanan bapanya yang hanya bekerja sebagai tukang sapu di sebuah syarikat pembersihan di Langkawi.

"Saya tidak mahu jadikan latar belakang keluarga sebagai alasan untuk tidak berjaya, kerana saya percaya untuk berjaya ia bergantung kepada usaha pelajar itu sendiri dan tidak ditentukan oleh taraf kehidupan seseorang," katanya yang merupakan anak kedua daripada empat beradik itu .

Sementara itu, anak peniaga ikan di pelantar ikan di Kampung Sungai Tepa, Langkawi, Nurhayati Yahya, 20, dari sekolah menengah yang sama dengan Nur Amiza itu berkata amalan membaca Surah Al-Waqiah dan Al-Mulk setiap hari merupakan antara faktor kejayaannya hari ini.

Dia yang turut tersenarai sebagai seorang daripada pelajar cemerlang STPM negeri berkata kelebihan surah itu dapat menyegarkan ingatannya serta membuatkannya mudah memahami setiap pelajaran diajar guru sekali gus memudahkannya menjawab peperiksaan dengan tenang.

"Walaupun sibuk menolong bapa saya berniaga, saya juga tidak pernah melupakan tugas sebagai seorang pelajar dengan sentiasa mengulang kaji pelajaran apabila ada masa terluang," katanya.

Nurhayati berkata dia mengimpikan untuk menyambung pengajian di Universiti Malaya dalam jurusan Ekonomi selepas ini. - BERNAMA

utusanonline




Pelajar cemerlang mahu bawa keluarga keluar daripada kemiskinan
06 Mac 2018


SIBU 6 Mac - Bapanya pekerja rencam yang meraih kira-kira RM1,000 sebulan dan ibunya pula suri rumah.
Namun, itu tidak menghalang Roland anak Mecal untuk muncul antara pelajar cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan hari ini.



Roland Anak Mecal menunjukkan keputusan STPM di SMK Sacred Heart Sibu hari ini. - BERNAMA

Dia antara 12 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacred Heart yang mencatatkan keputusan 4A dalam peperiksaan itu.

Bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang sama ada di Universiti Malaya atau Universiti Kebangsaan Malaysia selepas ini, Roland berkata dia ingin mengubah nasib keluarganya.

"Saya datang daripada keluarga miskin. Untuk keluar daripada kemiskinan ini, saya perlu belajar dengan tekun," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima slip keputusan peperiksaan itu di sekolahnya di sini.


Pelajar aliran sastera itu yang mencatat keputusan 4A, 3B dan 1C dalam Sijil Pelajaran Malaysia, berkata hanya menerusi kelayakan akademik yang bagus sahaja seseorang boleh berjaya dalam hidup.

Bagaimanapun, dia tidak mengetepikan keperluan untuk terlibat dalam kegiatan kokurikulum sebagai nilai tambah terhadap pencapaian akademik selain memastikan minda dan badan kekal sihat.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata tip untuk berjaya dalam peperiksaan adalah mudah iaitu memberi tumpuan di dalam kelas, melakukan kerja rumah dan ulang kaji selain sentiasa melakukan latihan tambahan.

Ditanya pandangannya tentang lebih ramai pelajar perempuan yang memperoleh keputusan cemerlang dan memasuki universiti berbanding pelajar lelaki, Roland berkata sesiapapun boleh mencatat kejayaan dalam kehidupan jika bekerja keras.

Sementara itu, Roland berkata dia ingin melihat adik perempuannya yang sedang belajar dalam Tingkatan Satu di SMK St Elizabeth, menuruti langkahnya atau mencatat keputusan lebih baik lagi, demi masa depan keluarga mereka.


"Saya akan lakukan yang terbaik untuk membantunya mencatat keputusan yang baik, atau sekurang-kurangnya sebaik keputusan saya," katanya.

SMK Sacred Heart mencatat Gred Purata Sekolah 3.35 iaitu terbaik dalam kalangan 24 sekolah menengah di Sarawak yang mencatat Purata Nilai Gred Kumulatif tidak lebih 2.80.

Sekolah itu antara 10 terbaik di negara ini yang menerima sijil daripada Majlis Peperiksaan Malaysia di Putrajaya hari ini.

Seramai 135 pelajar sekolah itu menduduki STPM tahun lepas dengan 24 orang daripada mereka mencatatkan keputusan 4A, 23 orang memperoleh 3A dan 21 pelajar mencatat keputusan 2A. - BERNAMA

utusanonline

Comments