11 Feb 2018

tiada lagi gps

GPS bukan lagi asas penilaian KPI sekolah rendah
Oleh Suhaila Shahrul Annuar


KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin bersama Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Datuk Abibullah Samsudin, Pengarah Kanan Pembangunan Sosioekonomi dan Kumunikasi Korporat YaPEIM, Mohammad Zamri Zakaria dan guru-guru semasa bergambar selepas merasmikan Bengkel Pembangunan Modul Inspirasi YaPEIM bersama Guru Cemerlang di Hotel Everly, Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor


PUTRAJAYA: Mulai tahun ini, Kementerian Pendidikan tidak lagi menjadikan Gred Purata Sekolah (GPS) sebagai asas penilaian petunjuk prestasi utama (KPI) sekolah rendah kerana ia tidak menjurus kepada pembangunan murid secara keseluruhan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, berkata ia juga bagi memastikan pelaksanaan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) diberikan penekanan sepatutnya untuk menentukan kemenjadian murid secara holistik.

Katanya, GPS yang dijadikan amalan sejak dulu, tidak boleh dijadikan kayu pengukur kecemerlangan sekolah atau muridnya.

"Apa yang berlaku bila adanya GPS ini, menyebabkan (gred purata) di negeri, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau sekolah dibanding-bandingkan, sehingga kita akhirnya terlupa bahawa setiap murid adalah unik dan ada kebolehan tersendiri.

"Kita lihat GPS ini tidak membawa impak positif seperti mana yang kita kehendaki, bagaimanapun ini tidak bermakna, asasnya tidak bagus untuk menentukan kualiti, tetapi pada akhirnya kualiti itu menjurus kepada berapa 'A' bukan kepada kemenjadian murid.

"GPS tidak boleh digunakan untuk bandingkan murid dan sekolah. Bukan itu caranya, itu tidak betul. Sebab itu, saya minta supaya di sekolah rendah, GPS ini tidak digunakan kerana penumpuannya bukan untuk peperiksaan, tetapi asasnya adalah untuk penekanan kepada pembentukan adab, sahsiah dan karekter yang menentukan kemenjadian murid.

"Bagaimanapun, di peringkat sekolah menengah khususnya untuk peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sesuai digunakan kerana penjurusan sudah berlaku," katanya pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Pembangunan Modul Inspirasi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, pihaknya mahu murid terutama sekolah rendah dididik secara holistik dan tidak mementingkan pencapaian akademik semata-mata kerana mereka perlu dinilai secara menyeluruh di bawah empat komponen dalam PPSR yang mula dilaksanakan tahun lalu.

"Sekolah rendah tidak lagi perlu mengejar GPS kerana penilaian murid sekarang membabitkan akademik, Pentaksiran Psikometrik (PPsi), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD)," katanya.

Dalam pada itu, katanya, pelaksanaan program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) di bawah Kementerian Pendidikan berjaya meningkatkan tahap penguasaan murid yang mempunyai kekangan dalam kemahiran asas seperti membaca dan mengira.

Sementara itu, Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif YaPEIM, Datuk Abibullah Samsudin berkata yayasan itu memperuntukkan sebanyak RM12 juta tahun ini bagi pelaksanaan program kecemerlangan pelajar iaitu Program Inspirasi Ramadan, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan SPM.

bharian


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena