28 Jan 2018

Realiti Pok Ya : Wira Yang Dinanti

Realiti Pok Ya : Wira Yang Dinanti

Tiba-tiba muncul Pok Ya Cong Codei. Ia mengejutkan dan mempesona khalayak terutama dalam kalangan pengguna media sosial.  Cepat menjadi tular dan cepat menyambar jiwa dan sanubari khalayak untuk lebih tahu siapa Pok Ya?

Dalam loghat Kelantan yang pekat drama ini menemui audien. Rata-rata ia amat memikat terutama bagi mereka yang memahami loghat Kelantan. Dari Kota Bahru ke Shah Alam Pok Ya Cong Codei jadi sebutan. Ku Seman memulakan tulisan dalam blognya memberi ikhtisar dan ulasan tentang Pok Ya Cong Codei. Melihat sisi lain Pok Ya sebagai teledrama yang tidak lagi berpegang kepada artifisal isu dan warna warna manusianya. Ia bukan berkasta golongan elit mewah dan berfoya-foya. Tetapi menjejak ke alam realiti - Mileu Melayu. Rumah sederhana, hidup di Kuala Lumpur, gedeber, kepayahan hidup, pengaruh wang dan ia berdiri di depan khalayak hari ini.

Ia menjadi kejutan dan tular. Begitu lama masyatakat dihidang dengan klise drama teklevisyen dan bila mereka bertemu Pok Ya mereka mula melihat realiti dan diri mereka. Audiens boleh membuat kolerasi bahawa Pok Yar ada di mana-mana di taman mereka atau kampung mereka tinggal. Masalah anak muda hidup di kota mereka faham. Mereka lagi faham dengan Datuk Sahak yang sememangnya mengidolakan duit dan kekayaan. Mereka tahu tentang tulus dan jujur kerana mereka melihat sendiri bagaimana ia tidak berlaku sepatutnya dalam masyarakat. Pok Ya gedeber tetapi jujur. Pok Ya garang tetapi lucu dan mereka menerima ini sebagai hiburan yang mengendurkan stress hidup.

Pok Ya Wira yang ditunggu khalayak. Mereka mahu wira begini muncul dalam masyarakat. Bukan wira plastik yang muncul  mengikut musim dan tujuan tertentu. Masyarakat sudah bosan dengan kepalsuan wira dan mereka ingin melihat acuan wira yang autentik dan menyelamat. Kita bukan mahu yang gedeber tetapi yang suci jiwa dan tulus hati.  Masyarakat mahu sang penyelamat dan sang wira yang dapat mengendurkan segala kepayahan yang bukan setakat anak hilang Datuk Sahak. Mereka mahu segala benturan dan krisis serta pergolakan yang dialami dari sudut sosial , ekonomi, politik , dan sebagainya segera selesai.

Sabri Yunus berjaya melahirkan Pok Ya tepat pada masa dan ketikanya.
Fenomena salah sebut ini sebenarnya menarik untuk diterjemah ke dalam realiti masyarakat dan dapat menjadi sempadan dan teladan yang berguna. Cong Codei adalah kesilapan sebutan dari seorang yang gedeber, dan dianggap tahu semua. Tapi orang yang berhati mulia tidak diukur dari silap kecilnya tetapi dipegang pada kata dikotanya, kekebalan emosinya  dan kesanggupannya mempertahankan apa yang dilafazkan. Inilah wira yang diharap muncul selain hanya Pok Ya. Wira yang berprinsip, komited, baik hati dan menginsafi  diri.  Gedebernya bersebab dan bukan gedeber sekadar pongah dan berani serta merasa hebat. Tak ada kehebatan bagi Pok Ya. Yang diharap dapat selesai tugas Datuk Sahak dan pulang menemui isteri mudanya. Tetapi Pok Ya pula terpalit dengan kehidupan Rashdan yang mengharap kesembuhan penyakit ibunya. Pok Ya menyerahkan upahnya. Inilah yang menggoncang hati audiens tentang wira yang membela ...

Ramai akan bercermin dari Pok Ya untuk mencari idola dan wiran sanjung mereka
Kita pun mula terkenang akan karya-karya Tan Sri P Ramlee. Yang diangkatnya adalah realiti dan denyut nadi sosial semasa. Sabri berjaya mencontohi melalui telefilem ini
Rakyat menunggu lagi
menanti wira ....

Di bawah ini pautan menarik tentang Pok Ya Cong Codei untuk sama kita renungkan dan membacanya dengan penuh kesedaran.


Ramai orang macam Pok Ya Cong Codei - Sabri Yunus
Hans Yusoff, Astro Awani
27 Januari 2018 



Sabri Yunus tekad untuk terus menghasilkan karya seperti Pok Ya Cong Codei yang menerapkan nilai-nilai budaya tempatan di samping mengetengahkan unsur komedi - Gambar Facebook

KUALA LUMPUR: Ketika ramai penonton terhibur dengan telefilem Pok Ya Cong Codei yang ditayangkan menerusi saluran Astro Citra Exclusive dan Mustika HD, tanpa disedari terdapat pelbagai mesej diketengahkan membabitkan isu masyarakat masa kini.

Pengarah dan watak utamanya, Sabri Yunus mengakui unsur komedi di dalam telefilem tersebut menerusi watak-watak yang diketengahkan, bukan sahaja berjaya menarik minat penonton malah secara tidak langsung menerap nilai-nilai tempatan serta teladan kepada masyarakat.

“Setiap cerita harus ada nilai teladan namun menerusi telefilem ini saya sulamkan dalam bentuk yang lebih santai agar mudah diterima penonton,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Telefilem yang turut mengetengahkan dialek Kelantan ini tular di media sosial terutama membabitkan Watak Pok Ya yang digambarkan sebagai seorang samseng.

Jelas Sabri Yunus lagi, watak Pok Ya bukan sekadar ciptaan semata-mata namun sememangnya wujud dalam senario kehidupan masyarakat masa kini.

“Bukanlah saya mereka-reka tetapi sebenarnya ada ramai orang macam Pok Ya dalam masyarakat kita.

"Pok Ya ini memang nampak samsengnya namun sebenarnya dia ada sisi lucu lain yang ramai tak tahu jika tidak betul-betul mengenalinya,” katanya lagi.

Sementara itu, Sabri Yunus menjelaskan akan terus berkarya dengan membawa mesej membabitkan budaya, nilai tempatan dan kesenian namun pada masa sama diselitkan unsur-unsur komedi agar lebih mudah diterima serta difahami masyarakat.

astroawani




Ada apa dengan Pok Ya Cong Codei
Irwan Muhammad Zain, Astro Awani
26 Januari 2018 


TAHUN 2018 bermula dengan sangat baik buat pengarah dan pelakon Sabri Yunus apabila drama Pok Ya Cong Codei trending dan tular selepas ditayangkan di Astro CITRA pada 20 Januari lalu.

Semuanya kerana satu watak yang dibawakan oleh Sabri, Pok Ya Cong Codei, seorang gedebe dari Kelantan yang datang ke Kuala Lumpur untuk melaksanakan tugas mencari anak seorang Datuk yang kononnya dilarikan lelaki.

Di Kelantan, watak seperti Pok Ya itu memang wujud malah perkataan 'Cong Codei' pernah menjadi bualan masyarakat di negeri Cik Siti Wan Kembang satu masa dahulu.

Pok Ya Cong Codei bukan samseng atau gengster walaupun dia seorang yang berani, mempunyai ramai pengikut dan sangat dihormati serta disegani, tetapi Pok Ya Cong Codei memberi makna sebenar 'gedebe' yang sekian lama disalah erti oleh ramai pihak.
Gedebe satu istilah yang berasal dari Selatan Thai merujuk kepada Tok Nebe atau Tok Penghulu, satu sosok yang sangat dihormati dan disegani serta mampu menyelesaikan banyak masalah antaranya pergaduhan melibatkan kumpulan samseng dan hal lain di kawasan sekitarnya. Mengikut kata Sabri, istilah gedebe hanya muncul di Kelantan sekitar era 70-an.

Dalam drama yang disiarkan di Astro CITRA itu pun, watak Pok Ya Cong Codei bukanlah kaki gaduh yang hanya tahu mahu mengamuk dan marah-marah, sebaliknya Pok Ya Cong Codei menyelesaikan masalah Datuk Sahak dengan caranya dan membantu Rashdan (lakonan Fikry Ibrahim) menyelesaikan masalah mendapatkan wang untuk merawat ibunya serta mendamaikan Halim Kampung Pasir (Saidi Sabri) dan Nasir Badak atau Nasir Chow Kit (Ku Hanafi Ku Harun).

Itulah watak gedebe sebenar, bukan samseng atau gangster yang hanya tahu bergaduh semata-mata atau memukul orang lain yang tidak setuju dengannya. Pok Ya Cong Codei sanggup meminta maaf bila dia sedar bersikap kurang ajar ketika cuba meminta bantuan seorang lelaki berkaki palsu.

Pok Ya Cong Codei juga mempunyai sikap mulia, memberikan wang berjumlah RM40,000 yang sepatutnya menjadi upah untuk dia kepada Rashdan supaya mengubati ibunya yang berdepan masalah jantung.

Dalam drama itu, Sabri juga memberitahu penonton, sehebat mana pun seseorang, dia tetap memerlukan orang lain untuk membantu dalam banyak perkara, contohnya Pok Ya perlu menunggu Halim dan Sero tiba untuk memesan makanan kerana dia tidak tahu menggunakan khidmat pesanan dari bilik hotel.

Menerusi sisi naif Pok Ya inilah penonton akan ketawa biarpun tidak memahami dialog dalam loghat Kelantan.

Pok Ya juga digambarkan sebagai satu sosok yang mempunyai prinsip dan sangat komited dengan tugas yang telah dipersetujui.

Drama Pok Ya Cong Codei juga membuktikan watak utama tidak semestinya perlu diserahkan kepada pelakon muda dan kacak semata-mata. Malah dua pelakon yang mempunyai wajah 'boleh jual', Uqasha Senrose yang memegang watak Aina dan Fikri Ibrahim tenggelam dek penangan Pok Ya Cong Codei.

Biarpun ditenggelamkan oleh Pok Ya Cong Codei, Uqasha dan Fikri memberikan lakonan yang hebat, begitu juga Mustapha Kamal dan pelakon-pelakon lain termasuk Zee Khan Hussein yang memegang watak Siti, isteri yang baru sebulan dinikahi Pok Ya.

Pok Ya Cong Codei kini trending dan tular. Pok Ya Cong Codei juga memberikan pengajaran tersendiri kepada penonton dalam komedi dan santainya.

astroawani



Pok Ya Cong Codei kebanggaan Sabri Yunus
Nina Farzuin Md Sharom
28 Januari 2018


KARYA berjudul Pok Ya Cong Codei semakin hangat diperkatakan di media sosial sejak ditayangkan pada 20 Januari lalu.

Ungkapan Cong Codei itu sendiri, sekali gus berjaya mengangkat telefilem arahan dan lakonan Sabri Yunus itu ke tahap lebih tinggi dalam industri seni ketika ini.

Ternyata buah tangan anak jati Kelantan itu yang mengisahkan seorang ‘gedebe’ atau samseng ini, meninggalkan kesan mendalam terhadap penontonnya.

“Menjadi tular itu bukan sahaja perkara baru buat watak Pok Ya, malah baru juga bagi saya sendiri. Sebenarnya penghasilan cerita ini tidak dirancang, malah ia dilakukan secara tergesa-gesa.

“Penerimaan penonton kali ini menjadi kebanggaan buat saya sebab ia membuktikan bahawa prinsip saya pegang dalam menghasilkan karya yang ada nilai murni dan budaya akhirnya memiliki pengikut tersendiri,” katanya dalam ‘Anda Tanya Pok Ya Jawab' di Facebook Live Sinar Harian, semalam.


Selain Sabri, telefilem itu turut dibintangi Mustapha Kamal, Uqasha Senrose dan Fikry Ibrahim.

Sabri berkata, sebagai karyawan, beliau percaya nilai sastera dan elemen yang dekat dengan kehidupan masyarakat mampu menjadikan sesebuah karya itu lebih indah dan mudah diterima.

“Dalam berkarya, kita perlu ada kejujuran dan penonton dapat menilai serta percaya dengan penceritaan yang cuba kita sampaikan.

“Automatiknya watak-watak diwujudkan semua memiliki nilai-nilai kemanusiaan, termasuk keagamaan di mana kita percaya ‘hitam tak semuanya hitam dan putih tak semuanya putih’.

"Nilai-nilai ini dapat kita lihat menerusi watak Pok Ya itu sendiri,” katanya.

Akuinya, watak Pok Ya dengan kisah di sebalik perkataan Cong Codei itu secara tidak langsung menjadikan penceritaan itu menarik.
Sebahagian babak Pok Ya Cong Codei yang mencuit hati penonton.

“Perkataan Cong Codei (Hotel Concorde) ini sudah lama ada iaitu sekitar era 70-an dan ia wujud kerana ada yang tersalah sebut.

"Bila situasi salah sebut ini dikaitkan dengan individu yang tidak berpengaruh atau tidak hebat, maka ia tak menjadi sesuatu yang besar.

“Sebab itu saya pilih Pok Ya iaitu gedebe, di mana dia seorang yang hebat tapi salah sebut, itu perkara besar. Bagaimana seorang hebat juga salah sebut,” katanya.

sinarharian 



0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena