Pembelajaran Abad Ke 21

Menghayati Aspirasi Pendidikan
Mahdzir Thoughts



Masih belum terlewat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2018 kepada semua warga pendidikan dan masyarakat keseluruhannya. Alhamdulillah sesi persekolahan telah bermula dengan begitu baik kecuali di beberapa tempat yang terlibat dengan banjir, namun kita bersyukur kerana warga pendidikan telahpun bersedia sejak awal lagi untuk menghadapi kemungkinan banjir pada awal persekolahan, dengan kerjasama yang padu dari agensi yang terlibat.

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu dalam meringankan beban yang ditanggung oleh semua mangsa banjir dan berdoa semoga situasi akan pulih seperti sedia kala. Kementerian Pendidikan akan sentiasa memberikan sokongan kepada sekolah bagi memastikan proses pembelajaran tidak terjejas dan dapat dijalankan seperti sedia kala.

Dalam kesempatan ini saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak di atas sokongan beliau terhadap usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Saban tahun peruntukan yang tinggi diberikan kepada Kementerian untuk mengurus dan membangunkan pendidikan negara demi menyediakan anak-anak bangsa Malaysia yang berupaya mendepani cabaran global.

Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada kepimpinan tertinggi negara yang begitu prihatin terhadap peningkatan kualiti pendidikan yang menyeluruh. Tahniah diucapkan kepada YB Menteri Pertahanan yang baru-baru ini melancarkan Pelan Tindakan Pendidikan Kementerian Pertahanan 2018-2022 yang bakal memberi manfaat kepada warga Kementerian tersebut dalam bidang pendidikan.

Kementerian Pendidikan kini meneruskan usaha untuk mengukuhkan pelaksanaan inisiatif yang telah dirangka bagi memastikan akses kepada pendidikan berkualiti dapat diberikan kepada semua anak-anak warganegara. Paling penting yang perlu difahami oleh semua warga pendidikan adalah kita perlu memastikan bahawa sistem pendidikan yang dilalui oleh anak-anak ini dapat menjadikan mereka insan yang seimbang dan sejahtera sebagaimana yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif di bawah PPPM 2013-2025.

Apakah yang dimaksudkan dengan insan yang sejahtera? Dalam FPK jelas dinyatakan bahawa insan ini perlu seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Apabila mereka seimbang, maka mereka akan mencapai kesejahteraan diri dan dapat menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara. Bagi mencapai keseimbangan ini, pendidikan kita perlu lebih menyeluruh dengan memberi penekanan kepada ke empat-empat aspek tersebut. Kaedah pengajaran di mana guru mencurahkan pengetahuan kerana mahu menghabiskan silibus tidak lagi sesuai untuk anak-anak kita yang digital natives ini. Pentaksiran yang berfokus kepada aspek intelek tidak mungkin dapat memastikan anak-anak kita diterapkan dengan Enam Aspirasi Murid iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran dwibahasa, kemahiran memimpin, etika dan kerohanian serta identiti nasional.

Oleh sebab itulah Kementerian Pendidikan melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan pelaporan yang lebih menyeluruh merangkumi ke empat-empat aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Bagi membangunkan insan yang seimbang guru-guru dianjurkan untuk menjalankan pendekatan Pembelajaran Abad ke 21 (PA21) kerana pendekatan sebegini dapat memastikan pemupukan Enam Aspirasi Murid berlaku dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Sewajarnya tidak lagi berlaku pengasingan bilik darjah yang diukur melalui kemampuan intelektual semata-semata tanpa mengambil kira kemampuan dan bakat murid dalam aspek jasmani, emosi dan rohani.

Dalam hal ini, konsep pembelajaran abad ke-21 perlu difahami oleh semua warga pendidikan agar murid yang seimbang, atau ‘menjadi’ ini dapat dicapai. Perlu diingat bahawa kita menyediakan murid bukan untuk hari ini, tetapi untuk mereka menjadi warga yang dapat menyumbang kepada negara dalam tempoh sepuluh atau dua puluh tahun akan datang, justeru pendidikan kita perlu berpaksikan kepada apa yang telah dimaktubkan dengan begitu jelas dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kita mahukan warga yang kaya dengan nilai dan etika berasaskan kepatuhan kepada Tuhan, dan asas ini perlu dipupuk oleh mereka yang terlibat secara langsung dalam sistem pendidikan negara.



Konsep pembelajaran abad ke-21 ini bukan semata-mata mengenai teknologi.

Saya ingin memperbetulkan persepsi sebahagian daripada kita yang menganggap komputer dan akses kepada internet itu lah PA21, kerana ada juga yang memberikan komen dalam akaun Facebook saya seperti maksud – “macam mana nak PA21, laptop pun takde, internet apa lagi”.

P21 – Partnership for 21st Century Learning, sebuah organisasi yang berpusat di Washington, Amerika Syarikat telah merangka konsep pembelajaran abad ke-21 dan dengan tegas menyatakan bahawa teknologi adalah alat, atau tools yang membantu proses PdP abad ke 21. Satu visi yang bersepadu untuk pendidikan telah ditetapkan bagi memastikan semua murid akan berjaya dalam dunia yang sentiasa berubah dan proses pembelajaran tidak akan terhenti. Pembelajaran abad ke-21 menekankan 4 Cs – creativity, collaboration, critical thinking dan communication.

Justeru adalah tidak benar sekiranya tidak ada kemudahan teknologi PA21 tidak boleh berlaku. Yang penting adalah pendekatan PdP yang berlaku di bilik darjah dan dalam aktiviti di sekolah. Pentadbir sekolah serta guru-guru perlu merangka aktiviti pembelajaran yang berteraskan 4 C ini supaya insan yang ‘menjadi’ dan seimbang dapat dibangunkan. Sekiranya kelas tersebut dilengkapi dengan kemudahan teknologi terkini seperti smartboard atau tablet untuk setiap murid, itu adalah satu bonus. Tetapi jika kemudahan ini tiada, PA21 tetap boleh berlaku kerana ia adalah pendekatan PdP yang diamalkan oleh guru. Kaedah bertanya yang menjurus kepada pemupukan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) perlu menjadi amalan dalam interaksi dengan murid.

Sebagai seorang bekas pendidik, saya faham perubahan ini agak sukar untuk dilaksanakan. Bukan mudah mengendalikan satu kelas dengan murid berbeza kemampuan intelektualnya. Namun begitu matlamat pendidikan kita bukan untuk melahirkan murid yang hanya akan mendapat 11 A dalam peperiksaan SPM. Matlamat pendidikan adalah sebagaimana yang telah termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, dan diterjemahkan melalui Enam Aspirasi Murid di bawah PPPM 2013-2025.

Dalam era Revolusi Industri 4.0 ini, pendidikan bukan sahaja tugas guru dan sekolah semata-mata, tetapi juga tugas ibu bapa dan masyarakat, kerana pembentukan nilai dan akhlak adalah tugas yang tidak ada penghujungnya.

Lebih banyak lagi tentang kejayaan dan usaha pendidikan akan saya kongsikan dalam Perutusan Tahun Baharu 2018 yang akan diadakan pada 18 Januari nanti.

portal rasmi menteri pendidikan malaysia


Comments