Pak Ya Cong Codei : Ikon Sosial


'Pok Ya lebih popular dari Fattah Amin'
Meen Tahrin
26 Januari 2018



Sabri Yunus tak sangka, gembira Pok Ya jadi bualan ramai.


SEJAK ditayangkan pada 20 Januari lalu, telefilem Pok Ya Cong Codei kini menjadi viral di media sosial.

Ceritanya mengenai seorang samseng yang sudah berumur dari Kelantan ditugaskan mencari seorang anak ahli perniagaan di Kuala Lumpur.

Di dalam pencarian itulah bermulanya pelbagai kisah-kisah lucu yang berlaku.

Antaranya adalah nama Cong Codei sendiri yang sebenarnya merujuk kepada sebuah hotel di Kuala Lumpur iaitu 'Concorde'.

"Sebenarnya Cong Codei ini asalnya terjadi pada tahun 70-an, ada yang tersalah cakap dan dah tersebar.

"Jadi bila adik ipar saya ceritakan balik saya rasa boleh gunakan dan jadikan ia satu cerita," ujar Sabri ketika dihubungi Sinar Harian.

Sementara Pok Ya itu pula adalah watak rekaan namun sifat-sifatnya adalah dari watak-watak yang benar.

"Pok Ya ini 'gedebe' iaitu seorang yang garang, tidak boleh ditegur namun turut mempunyai hati yang baik, seorang yang bijak dan boleh menyelesaikan masalah. Orang hormat dengan dia. Atau orang sekarang cakap istilahnya 'hati kering'," jelas Sabri.

Pok Ya Cong Codei merupakan skrip, arahan dan dilakonkan sendiri oleh beliau.

"Saya lebih dekat dengan watak Pok Ya ini. Jadi saya mahu penonton yang merasai 'kegedeberan' itu dan bukannya pelakon lain yang turut berlakon.

"Pelakon lain tak perlu rasa lucu dan gelak, biar penonton sendiri yang merasai," ujar Sabri ketika ditanya mengapa dia memilih untuk melakonkan sendiri watak Pok Ya tersebut.

Berita gembira juga Sabri kongsikan iaitu setelah melihat Pok Ya ini mendapat sambutan, beliau kini dalam perbincangan untuk menjadikan Pok Ya Cong Codei ini dalam bentuk bersiri.

"Ada perancangan namun masih lagi di peringkat awal perbincangan. Insya-ALLAH.

"Malah, anak saya pun ada juga bergurau dengan saya, katanya kini saya lebih popular daripada Fattah Amin. Gurau anak beranak," jelasnya lagi sambil ketawa.

Khas untuk pelayar Facebook Sinar Harian juga, esok (Sabtu, 27 Januari), jam 2 petang, Sabri akan bersiaran secara live untuk berkongsi kisah Pok Ya dengan lebih lanjut dan bersoal jawab dengan pelayar yang lain.

sinar harian




'Keluarga pun panggil Pok Ya'
Sudirman Mohd Tahir



PELAKON Sabri Yunus, 57, tidak kisah dipanggil Pok Ya dan Cong Codei selepas telefilem lakonannya, Pok Ya Cong Codei tular di media sosial dan internet sejak Ahad lalu.

Sabri yang juga pengarah telefilem itu berkata, bukan sahaja peminat malah keluarga juga memanggilnya dengan nama sama.

“Sejujurnya, saya tidak menjangka cerita ini mendapat sambutan sekali gus tular. Ini satu pengalaman baru apabila karya arahan saya hangat diperkatakan penonton.

“Selepas disiarkan 20 Januari lalu, ramai yang berkongsi di laman sosial masing-masing. Mungkin disebabkan itu juga ia menjadi tular. Ditambah pula perkataan 'Concorde' dieja Cong Codei.

"Kalau di rumah, anak bungsu saya rajin mengusik. Dia kata, sekarang saya lebih popular daripada Fattah Amin. Saya hanya tergelak saja. Saya nak berterima kasih kepada semua penonton yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Sabri, dia juga berbesar hati jika Astro dan penerbit ingin menyambung cerita itu.

Malah Sabri yang juga popular menerusi drama Kampung Semarah Padi terfikir untuk mengangkat watak Pok Ya itu ke layar lebar.

“Kalau orang suka dengan cerita ini, saya sangat hargai. Cuma, kalau nak sambung saya perlu ambil masa dan duduk berbincang. Kalau boleh biar cerita kali ini lebih menarik.

“Saya percaya selain watak Pok Ya yang menarik perhatian, jalan cerita dan mesej disampaikan dalam cerita ini antara faktor ia ditonton.

“Watak ini tidak digambarkan sebagai ketua gangster yang melakukan kejahatan semata-mata, sebaliknya dia memiliki hati yang baik. Ini antara tarikan cerita ini,” katanya.

Kata Sabri, karektor seperti Pok Ya memang wujud di negeri kelahirannya, Kelantan dan tempat lain.

Selain itu, perkataan Cong Codei juga pernah menjadi bualan di kalangan masyarakat Kelantan sekitar 70-an.

mymetro

Comments