Bapa Ghazal Johor

PAK LOMAK BAPA GHAZAL MELAYU JOHOR


Muzik ghazal sebuah muzik tradisional Melayu yang popular dipercayai dibawa oleh orang- orang India ke Johor dalam tahun 1920-an. Pada mulanya, muzik ghazal diperkenalkan kepada anggota Pasukan Timbalan Setia Johor oleh pelatih-pelatih askar yang dibawa khas dari India. Kenyataan ini dibuktikan oleh individu pertama yang memperkenalkan seni muzik ghazal kepada masyarakat Melayu Johor pada waktu itu iaitu Haji Musa bin yusoff. Beliau merupakan salah seorang anggoa Pasukan Timbalan Setia Johor yang lebih dikenali dengan nama Pak Lomak atau Mejar Lomak.

Beliau dilahirkan di Batu Pahat pada 27 Mac 1889. Bapanya Allahyarham,Tuan Haji Yusoff bin Mohd.Salleh ialah bekas Pesuruhjaya Tanah dan Galian Negeri Johor. Datuk Allahyarham, Dato Mohd Salleh bin Perang( Dato' Bentara Luar Johor) merupakan tokoh yang telah mengasaskan pembukaan daerah Batu Pahat dan Muar Johor. Beliau mula mempelajari seni ghazal daripada pelatih-pelatih india dalam Pasukan Timbalan Setia yang membawa bersama mereka permainan Ghazal dari India. Pak Lomak terkenal dengan kebolehannya memainkan alat-alat muzik ghazal terutamanya alat harmonium. Beliau juga boleh menyanyi lagu-lagu ghazal yang pada waktu itu dinyanyikan dalam bahasa Urdu,bahasa rasmi orang- orang kawasan Timur India.

Berdasarkan pengalaman dan bakat yang terserlah dalam bidang seni itu. Pak Lomak mula menterjemahkan atau menyesuaikan lagu-lagu Ghazal daripada bahasa urdu ke bahasa Melayu. Di sinilah ber,ulanya perkembangan Ghazal Melayu di negeri Johor. Pak Lomak juga mencipta lagu-lagu ghazal Melayu dan antara lagu-lagu yang sangat terkenal sehingga sekarang ialah Seri Mersing dan Gunung Banang. Pak Lomak pernah berkhidmat di daerah Mersing pada tahun 1923-1924. Beliau telah mencipta lagu Sri Mersing semasa berkhidmat di Mersing. Seri Mersing dipercayai dinyanyikan buat pertama kalinya dalam tahun 1925 di Singapura.

Ghazal Johor terus berkembang dengan wujudnya beberapa perubahan yang dilakukan misalnya alat-alat muzik tambahan. Ramai pemain muzik dan penyanyi ghazal muncul hasil cetusan didikan Pak Lomak. Lagu- lagu ciptaan baru diusahakan dan dalam tahun-tahun 30-an banyak perubahan telah berlaku. Pengaruh India mula berkurangan dan hanya yang masih kekal adalah dalam penggunaan alat muzik harmonium dan tabla. Dari segi nyanyian pula hanya beberapa patah lagu tertentu sahaja yang masih ada unsur-unsur penagruh india. Ghazal Johor terus diminati hingga ke tahun 60-an dengan berkembang hingga ke Singapura. Beberapa kumpulan ghazal telah muncul dan lahirlah pemuzik- pemuzik dan penyanyi- penyanyi ghazal yang terkenal pada zaman itu seperti Ahmad Jusoh, Hamzah Dolmat, Rosiah Chik dan Kamariah Noor memulakan kegiatan mereka. Namun demikian, Hamzah Dolmat tidak kekal dalam bidang ghazal tetapi memulakan tradisi muzik asli walaupun beliau tidak menolak jika ada kesempatan untuk bermain muzik ghazal.

Pak Lomak telah kkembali ke rahmatullah pada hari selasa 27 Jun 1960 jam 11.20 malam. Beliau telah banyak meninggalkan jasa yang yang tetap menjadi kenangan dalam bidang kebudayaan dan kesenian Melayu Johor. Sebagai tanda pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan beliau dalam perkembangan seni ghazal, Kerajaan Negeri Johor Darul Ta'zim telah menwujudkan 'Piala Pak Lomak' sebagai piala rebutan pertandingan Ghazal Kebangsaan Johor mulai tahun 1998 yang diselenggarakan oleh Yayasan Warisan Johor

fb Persatuan Bangsa Johor

Comments