19 Dec 2017

kulit kayu tekalung

Kulit Kayu Tekalung
Oleh SINGKI LINTAN

Pokok kayu tekalung.

ARTOCARPUS ODORATTISSIMUS ialah nama saintifik bagi sejenis pokok yang banyak tumbuh meliar di bumi Sarawak. Dalam bahasa Iban, pokok ini dikenali sebagai tekalung, manakala dalam bahasa Bidayuh Biatah, sebagai beyuh dan dalam bahasa Lun Bawang, sebagai talun. Pokok ini mudah tumbuh di kawasan tanah rendah dan di kawasan tanah temuda di seluruh negeri Sarawak. Pokok ini berdaun besar dengan tekstur yang agak kasar seperti daun pokok terap atau pokok pulur, berbatang agak lurus dan biasanya membesar sehingga lebih sepemeluk. Jika dipotong kulit pokok ini, getah yang pekat akan dikeluarkan dan boleh digunakan sebagai glu atau perekat. Mungkin oleh sebab itulah pada masa dahulu, getah pokok ini biasanya digunakan untuk memerangkap burung. Kayu daripada pokok ini tidak banyak digunakan dalam kehidupan harian masyarakat peribumi, sama ada untuk pembinaan rumah ataupun perabot, kerana kayu ini agak lembut, mudah patah serta mudah reput, terutama apabila terdedah kepada cuaca. Namun begitu, kulit pokok ini boleh digunakan untuk membuat alat muzik tradisional, seperti engkerumung yang berupa kulingtangan dan dapat menghasilkan bunyi yang menarik.

Keistimewaan pokok ini terletak pada kulitnya. Kulit daripada pokok yang besar amat sesuai digunakan untuk dibuat dinding pondok huma atau kebun. Kulit yang telah diproses boleh digunakan untuk membuat pelbagai jenis tali yang terbukti tahan untuk mengikat pelbagai jenis barangan. Tali daripada kulit kayu tekalung yang telah diproses dinamai temeran. Tali daripada kulit kayu ini juga amat sesuai dan tahan digunakan sebagai tali bakul. Kebanyakan jenis bakul yang digunakan untuk membawa barang menggunakan tali ini sebagai tempat memegang atau penyangkutnya. Bakul yang dinamai lanjik, misalnya,yang berisi padi atau beras seberat sekitar 70 atau 80 kilogram dapat diangkat dengan menggunakan tali ini. Caranya ialah dengan mengikat tali ini pada bahagian tertentu pada lanjik, dan pembawanya akan menyangkutkan tali tersebut di bahunya dan lanjik yang berat itu tersandang di belakangnya. Saiz tali temeran ini boleh dibentuk mengikut kehendak dan keperluan penggunanya. Selain itu, tali ini juga boleh dipintal atau dijalin supaya lebih halus dan kukuh.

Ketua Kampung Tang Itung (tengah) dengan dua orang tetamunya menggunakan topi dan jaket yang diperbuat daripada kulit kayu.

Pada zaman Perang Dunia Kedua dan setelah tentera Jepun memerintah untuk beberapa tahun, segala keperluan harian, makanan dan pakaian amat sukar didapati dan kulit kayu ini amat berguna kepada penduduk peribumi di Sarawak. Orang tua pada zaman itu akan menceritakan cara mereka memproses kulit kayu ini untuk dijadikan pakaian. Kulit kayu yang besar dan panjang diproses dengan telitinya sehingga lembut dan halus hampir merupai kain. Ini dijadikan cawat untuk orang lelaki dan kain untuk wanita.

Pada zaman ini, selain digunakan untuk membuat tali, kulit tekalung yang dinamai temeran ini banyak digunakan dalam penghasilan kraf tangan. Di Kampung Tang Itung, misalnya, beberapa orang penduduk daripada suku kaum Lun Bawang membuat topi dan beberapa jenis hasil kraf tangan khas daripada kulit kayu ini.

Bahagian dalam topi dilapik dengan kain lembut.

Topi yang dihasilkan ini amat halus buatannya. Kulit kayu itu dipotong mengikut bentuk topi, kemudian dijahit dengan menggunakan mesin jahit khas. Bahagian dalamnya dilapik dengan kain lembut. Topi ini kemudian digilap dengan varnis supaya kelihatan lebih kemas dan cantik. Sekali pandang topi ini kelihatan seperti diperbuat daripada belulang.

Satu lagi hasil kraf tangan menarik yang diperbuat daripada kulit kayu ini ialah jaket tradisional yang biasanya digunakan oleh kaum peribumi. Jaket ini juga halus buatannya, lembut seolah-olah diperbuat daripada kain yang biasanya digunakan untuk membuat seluar jean. Bahagian dalam jaket ini juga dilapik kain supaya jaket ini lebih tahan dan lebih selesa apabila dipakai. Bagi kaum Lun Bawang, jaket ini biasanya digunakan pada waktu perayaan tertentu. Hiasan tambahan atau ukiran dan lilitan tepi atau warna yang digunakan bergantung pada kreativiti pembuatnya. Saiz jaket ini juga berbeza-beza dan ada juga yang dibuat untuk kanak-kanak. Jaket ini khas untuk orang lelaki sahaja kerana kaum wanita ada bentuk pakaian tradisional mereka sendiri.

Pada zaman sekarang, antara hasil kraf tangan yang amat diminati ialah tikar yang diperbuat daripada kulit kayu ini. Tikar ini banyak dijual di kedai barangan antik dan kraf tangan. Orang yang membelinya bukan sahaja rakyat tempatan, malah rakan dari Semenanjung dan pelancong luar negara. Tikar ini dinamai bidai atau idas dalam bahasa Iban atau kasah dalam bahasa Bidayuh. Saiznya pelbagai, namun yang biasa digunakan berukuran tujuh kaki panjang dan lima kaki lebar. Tikar yang diperbuat daripada kulit kayu ini dianyam berselang seli dengan rotan supaya lebih tahan dan lebih keras dan senang dibersihkan.

Orang peribumi pada zaman dahulu menggunakan tikar ini untuk menjemur padi, dan dihamparkan di ruai rumah panjang untuk pengabang atau tetamu duduk semasa gawai. Namun begitu, kini tikar ini banyak digunakan untuk menghiasi ruang tamu di rumah yang terletak di bandar. Tikar ini bukan sahaja cantik dipandang apabila diletakkan di ruang tamu, tetapi boleh melindungi tapak kaki daripada menyentuh lantai simen atau jubin yang kadang-kadang berasa sejuk secara langsung.

Banyak lagi kegunaan kulit kayu ini dalam kehidupan harian masyarakat peribumi di Sarawak. Untuk mengambil atau memproses kulit kayu ini supaya dapat digunakan, tidaklah begitu rumit. Pokok yang sebesar betis atau sebesar paha ditebang dan kulitnya dikupas, namun sebelum kulit itu dapat dikupas, batang pokok yang sudah ditebang dan dipotong itu hendaklah diketuk atau dipalu perlahan-lahan terlebih dahulu. Batang pokok ini boleh juga didiang perlahan-lahan dengan api supaya kulit mudah dipisahkan daripada isi atau batang kayu tersebut. Sesudah itu, barulah kulit itu dipotong atau dibelah memanjang sampai di hujung kayu. Setelah dibelah, barulah kulit dapat dipisahkan. Kulit kayu yang telah dipisahkan itu tidak semuanya boleh digunakan. Bahagian luar kulit yang kasar dibuang dan yang di sebelah dalam itu yang baik dan diambil untuk pelbagai kegunaan. Kulit bahagian ini dipalu atau ditekan perlahan-lahan dengan mesin supaya menjadi lembut. Kemudian barulah dijemur sehingga kering. Kulit yang sudah kering itu dibelah atau dipotong mengikut saiz yang diperlukan.


Batang kayu tekalung.

Ilmu tradisional peribumi di Sarawak telah mengenal pasti banyak kegunaan kulit kayu telakung ini dalam kehidupan harian mereka dan yang dihuraikan itu hanyalah sebilangan kecil daripadanya. Sekiranya ada kajian empirikal dilakukan terhadap kulit ini oleh para sarjana atau pengkaji pada masa akan datang, mungkin banyak lagi bahan keperluan harian yang boleh dihasilkan. Manusia, terutamanya pertubuhan bukan kerajaan, risau tentang penggunaan bahan plastik yang berlebihan yang tidak mesra alam dan tidak mudah terbiodegradasikan. Namun begitu, jika kulit ini boleh diproses secara saintifik, mungkin kulit ini dapat dijadikan sebagai pengganti sebahagian daripada bahan yang tidak mesra alam itu. Seperti yang telah diterangkan pada bahagian awal, oleh sebab pokok ini mudah tumbuh dan cepat membesar, pokok ini boleh ditanam secara komersial.

1. Kulit dipisahkan daripada isi kayu.



 2. Kulit bahagian dalam dan luar dipisahkan.


3-Kulit diproses supaya lebih lembut.


4.Topi daripada kulit kayu


5. Tali daripada kulit kayu



6. Jaket daripada kulit kayu


7. Tikar dianyam daripada kulit kayu dan rotan


klikwebdbp

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena