3 Dec 2017

Galeri Darurat Bukit Kepong


Galeri Darurat Bukit Kepong satu impian jadi kenyataan
Oleh Mohamed Farid Noh dan Badrul Kamal Zakaria


TIMBALAN Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim. - Foto Khairunisah Lokman

MUAR: Galeri Darurat Bukit Kepong diharapkan akan menjadi sumber rujukan kepada masyarakat khususnya generasi akan datang mengenai keganasan yang dilakukan oleh pengganas komunis.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata impian membina galeri berkenaan bermula seawal 1999 dan ia mengambil tempoh kira-kira 17 tahun untuk disempurnakan.

"Pembinaan Galeri Bukit Kepong dibina menerusi tiga fasa utama yang turut membabitkan kos RM11.5 juta. Konsep galeri ini adalah khusus untuk menghargai jasa dan pengorbanan seluruh anggota polis yang berjuang bermatian mempertahankan negara.

"Galeri ini turut menghimpunkan peristiwa perjuangan pasukan keselamatan ketika zaman darurat di seluruh negara. Galeri ini juga mengetengahkan konsep bersifat akademik bagi memudahkan pelawat mendapatkan maklumat mengenai sejarah perjuangan terutama era darurat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Galeri Bukit Kepong di sini, hari ini. Majlis perasmian disempurnakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Yang turut berangkat, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan anakanda baginda.

Yang hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Wan Mohamad.

Noor Rashid berkata, galeri itu menempatkan sebanyak 815 unit artifak bersejarah terutama yang sering digunakan oleh pasukan keselamatan itu pada zaman darurat.

Katanya, antara koleksi yang dipamerkan ialah senjata, bilik lokap, berek penginapan anggota berkelamin dan bujang, dapur, artifak yang ditemui menerusi kaedah eskavasi, peralatan pasukan polis hutan dan polis simpanan persekutuan, bot polis marin dan dua unit kereta perisai polis.

bhonline 





Papar ekspresi keberanian, perjuangan polis


Pengunjung melawat sekitar ruang pameran Galeri Darurat Bukit Kepong.

Muhamad Aimy Ahmad


MUAR 30 Mac - Tanggal 23 Februari 1950 kekal menjadi sejarah hitam bagi negara apabila sekumpulan 185 pengganas komunis menyerang Balai Polis Bukit Kepong, dekat sini sehingga me­ngorbankan 25 anggota polis, isteri, anak dan penduduk kampung.

Biarpun serangan itu berakhir dengan Balai Polis Bukit Kepong ditawan dan dibakar, peristiwa 67 tahun lalu itu membuktikan iltizam serta semangat juang semua anggota polis termasuk isteri mereka serta penduduk kampung yang bergabung tenaga mempertahankan balai berkenaan sehingga titisan darah terakhir.

Justeru, penubuhan Galeri Darurat Bukit Kepong di atas bekas tapak balai polis yang di­serang itu sebagai bukti kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat menghargai sumbangan serta pengorbanan wira-wira negara yang terbilang ini.

Semangat perjuangan, keberanian dan pengorbanan itulah menjadi initipati galeri berkenaan diwujudkan sebagai wadah untuk mengenang, mengabadi dan meneladani kejadian itu kepada bangsa, agama dan negara tercinta.

Namun, paling utama Galeri Darurat Bukit Kepong itu diwujudkan adalah bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan setiap ahli pasukan polis yang telah berjuang dengan sema­ngat keperwiraan dan keberanian dalam tempoh darurat dari tahun 1948 hingga 1960 dan Insurgensi Kedua 1968-1989.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, galeri berkenaan juga sebagai platform untuk menyelamat, memelihara, menyimpan dan mempamerkan semua artifak tinggalan sejarah khususnya melibatkan era darurat yang bertujuan menimbulkan kesedaran dan keinsafan kepada pelajar dan masyarakat.

“Sebanyak 815 artifak terdiri daripada senjata api dan senjata tajam serta lain-lain artifak termasuk sebuah bot polis marin jenis PA 10 dan dua kereta perisai Commando V100 APC dan Fordlynx Scout Car dipamerkan di situ,” katanya semasa majlis pe­rasmian galeri berkenaan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baru-baru ini.

Galeri Darurat Bukit Kepong yang terletak di Pagoh, kini dibuka setiap hari kecuali Isnin bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang dan mempunyai tiga bahagian iaitu aras satu berkaitan sejarah polis dan zaman darurat, manakala aras dua mengisahkan tentang zaman darurat kedua dan bahagian ketiga iaitu bangunan lama yang menceritakan sejarah Bukit Kepong.

Replika balai polis

Bahan dan konsep pameran adalah bersifat akademik bagi memudahkan pelawat mendapatkan maklumat berkaitan peristiwa darurat sejajar dengan hasrat untuk menghargai sumbangan para pahlawan yang telah berjuang menentang pengganas komunis.

Selain artifak, bahan peragaan di galeri itu pula terdiri daripada gambar-gambar, keratan akhbar, replika pejabat pertanyaan, bilik lokap, peralatan kediaman ke­lamin dan bujang serta pelbagai barangan lain.

Menurut Noor Rashid, penubuhan galeri yang menelan kos RM11.5 juta itu juga bertujuan mendidik masyarakat dan ge­nerasi pelapis tentang kepen­tingan mengekalkan keamanan dan ketenteraman negara serta bersedia mempertahankannya di samping memupuk sikap tole­ransi, persefahaman dan permuafakatan antara semua kaum.

“Kita mahu menjadikan Galeri Darurat Bukit Kepong sebagai gedung ilmu dan pusat sumber serta pusat rujukan yang dapat dimanfaatkan oleh pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi serta masyarakat khususnya yang berkaitan zaman darurat.

“PDRM juga mahu membantu negara dalam industri pelanco­ngan bagi menarik kedatangan orang luar melawat, terutamanya penggemar atau pengkaji sejarah,” katanya.

Beliau berkata, cadangan me­wu­judkan galeri berkenaan telah dimulakan seawal tahun 1999 dengan beberapa siri mesyuarat dan perbincangan antara pelbagai pihak seperti Kementerian Dalam Negeri, Jabatan PDRM, Jabatan Muzium, Jabatan Kerja Raya, Yayasan Warisan Johor (YWJ) serta kerajaan negeri ini.

utusan online














1 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena