dekon marzuki

Pengiktirafan dekon Marzuki Ali
Wan Zulkifli Wan Yaacob
07 Disember 2017


KUALA TERENGGANU 7 Nov. - Dekon, akronim daripada perkataan deklamasi dan lakon, genre baharu di dalam kumpulan seni drama telah diterima khalayak sastera dan teater Malaysia sebagai sebahagian daripada seni pementasan teater.

Ini turut menjadi bukti dengan kemenangan Marzuki Ali melalui antologi Saya Dari Tanjung Penaga dalam Kategori Drama - Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2015-2016 yang merupakan pengiktirafan tertinggi dalam kesusasteraan negara, baru-baru ini.

Marzuki yang pernah menggondol HSPM 2011/2012 melalui kumpulan puisi Khazanah Segala Rimbun, memuatkan tujuh buah dekon dalam buku setebal 287 muka surat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang dihasilkan sewaktu menjadi Karyawan Tamu (2007 – 2011) di Pusat Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Penyair, pendeklamator dan aktivis teater ini yang berada dalam kelas tersendiri, sering tampil dengan puisi-puisinya yang anjal, dihela dengan lantang yang bukan sahaja boleh dibaca, dideklamasikan, dilagukan malah diangkat ke pentas dengan dijelmakan sebagai drama.

"Saya terlibat dengan genre baharu ini ekoran hubungan Pak Samad (A. Samad Said) yang merintis pendekatan itu semasa sering bersama berkelana di Sabah bagi mengendalikan dalam bengkel-bengkel drama dan sastera di sana.

"Kesemua teks mendukung ciri persembahan genre dekon melalui dialog berlatar puisi oleh sebilangan kecil watak, dilatari set ringkas yang dilengkapkan lagi dengan aspek teaterikal seperti pencahayaan untuk membangkitkan mood pementasan," ujar Marzuki ketika ditemui, hari ini.

Antara cerita yang disajikan ialah Keranamu Azizah (tokoh penyanyi tersohor), Seri Panggung (mengungkapkan primadona bangsawan), Saya Dari Tanjung Penaga (seniman besar negara), Apologia Sang Panitera (tokoh pengarang novel), Ponen Si Bayan (tokoh penggiat seni).

Dua lagi dekonnya ialah Villa di Bukit Bendera atau Permata Bonda dan Banglo No. 410 (kisah pengarang akhbar) yang kesemuanya berlatarkan Pulau Pinang yang kaya dengan budaya seni persembahan bangsawan, boria dan budaya baba nyonyanya.

Menyentuh mengenai pemilihan judul antologi beliau, anak Kemaman ini menerangkan bahawa Tanjung Penaga itu adalah bagi memperingati khalayak ramai nama asal bandar George Town yang telah ditukar oleh penjajah.

Usaha Marzuki mengungkap dan menghidupkan watak-watak penting seperti P. Ramlee, Syed Syekh Al-Hadi, Noordin Hassan dan lain-lain turut berjaya membangkitkan semula nostalgia di dalam dekon yang menjentik minda untuk terus berdiskusi di warung kopi.

Purata dalam watak- watak yang ditampilkan pada setiap teks dekonnya, hanya satu watak berdialog dan berinteraksi dengan tidak lebih daripada dua watak lain yang amat terhad dialognya.

Dalam aspek persembahan, tentunya tidak terletak kepada dialog dan kata-kata berseni semata-mata, kerana ia turut menuntut kepada kemahiran mengolah lakon yangn ditandai oleh kerja seni sutradara dan pekerja panggung yang baik dan berkebolehan.

Justeru, ketujuh-tujuh dekon boleh dipersembahkan secara sederhana tetapi menarik dan tidak menjemukan melalui teks yang berjaya ditukangi oleh Marzuki untuk hidangan tranformasi khalayak teater yang hidup!- UTUSAN ONLINE

Comments