sutung dan kota bharu

NOVEL SUTUNG DAN PEMBANGUNAN BANDAR KOTA BHARU
(Cerita Sutung kepada ibunya)
Oleh Dinsman



Sutung Umar Rs melalui novel terbarunya ‘Meski Jauh Dibatasi Bumi’ (MJDB) telah bercerita mengenai dirinya, ahli-ahli keluarganya dan juga kampungnya, dengan keberanian dan kejujuran yang sangat luar biasa.

Ketika membicarakan novel ini di Rumah Pena pada pagi Sabtu 14 November, bersama dengan Sutung Umar Rs sendiri (dan Ainunl Muaiyanah sebagai moderator), saya menyatakan bahawa kalau saya sendiri pun, tak sanggup saya nak bercerita demikian – mendedahkan semua hal yang baik dan yang tidak baik, yang positif dan juga yang negatif.

Memang ini bukan kali pertama Sutung Umar Rs berbuat demikian. Dalam novelnya yang pertama ‘Api Cinta’ (2010), dia telahpun menggemparkan pembacanya (tidak ramai yang membacanya kerana novel itu dicetak hanya 20 naskah) dengan cerita benarnya yang erotis dan diceritakan dengan berani dan berterus terang.



Hampir semua kawan-kawan yang membacanya kehairanan mengapa Sutung berbuat demikian? Ada yang menasihatinya supaya hentikan jualan novel itu dan jangan sebarkan lagi. Tetapi Sutung seperti tidak mempedulikan nasihat itu. Rupa-rupanya novel itu hanya dicetak 20 naskah sahaja. Mengapa? Apakah itu suatu percubaan?

Mengikut Sutung, ia hanya kebetulan ‘dicetak’ awal 20 naskah. Dan kebetulan pula, entah kenapa kawan yang menjadi penerbitnya itu tidak meneruskan usahanya mencetak novel itu. (Khabarnya sekarang ia akan dicetak lagi).

Maka kita membuat anggapan (andaian?) mungkin Sutung mempunyai sebab tersendiri mengapa dia bertindak dengan cara yang luar biasa itu. Dan oleh kerana cetakannya sangat terhad, hebohnya pun tidaklah merebak jauh.

Tak lama kemudian terbit novel keduanya ‘Seluang Lepas Melaut’ (2011). Tidak ada lagi yang erotis, tetapi pendekatannya bercerita benar mengenai dirinya dan orang-orang yang benar ada, dengan nama yang sama dan nama-nama tempat dan sebagainya yang benar, dan peristiwa-peristiwa pun benar, masih sama seperti novel pertamanya.

Kemudian terbit pula novel ketiga, ‘Dia Dan Nya’ (2013). Ada sedikit sahaja unsur erotis, dan pendekatan bercerita yang benar itu kekal menjadi pendekatan dan gaya penceritaannya. Maka tak hairanlah pendekatan dan gaya penceritaan yang sama itu dikekalkan lagi dalam Meski Jauh Dibatasi Bumi (MJDB).

Lalu mengapa saya menganggap Sutung melalui novel keempat ini bercerita dengan keberanian dan kejujuran yang sangat luar biasa? Bukankah dia sudah biasa dengan pendekatan dan gaya yang begitu?

Jawabnya: walaupun pada asasnya sama, namun kali ini penceritaan perkara-perkara benar mengenai diri sendiri dan keluarga sendiri itu melebihi daripada kebiasaan. Pengarang seperti membuat pendedahan atau pengakuan. Hal-hal yang negatif dan tidak baik mengenai ahli keluarganya pun diceritakannya dengan terperinci dan secara dramatik.

Itu yang saya maksudkan keberanian dan kejujurannya dengan dirinya sangat luar biasa.

Dalam majlis yang dinamakan “Kata Pengarang Kata Pembaca” anjuran Pena 14 November itu, ada di kalangan hadirin yang bertanya apakah Sutung tidak memikirkan kemungkinan ada ahli keluarganya yang akan marah atau terasa hati kerana cerita mereka didedahkannya dalam novel ini?

Apa jawab Sutung? Ringkas sahaja jawabnya: “Saya bukan peduli pun.”

Ya, kalau bukan demikian tentunya novel itu tak akan tertulis demikian. Sutung Umar Rs memang tidak peduli akan hal-hal yang demikian. Tetapi dia sangat peduli akan hal-hal lain yang dianggapnya lebih penting. Novel terbitan DBP setebal 386 halaman ini menjelaskan apakah hal-hal yang lebih dianggap penting oleh Sutung Umar Rs dalam hidupnya.

Novel ini menggunakan pendekatan penceritaan oleh Aku, watak utamanya. Ceritanya dan juga perwatakan Aku itu sebenarnya bertolak daripada kematian ibunya. Kematian yang memberi kesan cukup kuat dan mendalam kepada jiwa Aku (dan penulisnya Sutung Umar Rs).

Ibu meninggal dengan sebuah wasiat: “Aku wasiatkan kepadamu menjaga adik-adikmu, menghantarnya ke sekolah sampai cukup.” Dan “Jangan berikan seorang pun adik-adikmu kepada ayahmu.” (ha.15, 16)

Anda tentu dapat bayangkan hubungan yang tak mesra antara ibu dan ayah Aku, juga antara Aku dan ayahnya, berdasarkan wasiat tersebut.

Novel ini, bab demi bab, menceritakan hal Aku (Sutung Umar Rs) dan adik-adiknya seorang demi seorang, tujuh orang (satu bab setiap orang) yang semuanya membesar di Kampung Tunjung, 8 KM dari Kota Bharu. Dan semua itu diceritakan oleh pengarang kepada ibunya, yang selama dua tahun terlantar sakit sebelum mati dialah yang menjaganya. Dan di atas ribanyalah ibunya menghembuskan nafas terakhir.

‘Cerita kepada Ibu’ – saya barangkali akan menjudulkan novel ini demikian, agar ia menggambarkan isi kandungannya yang sebenar. Dan betapa kuatnya hubungan kasihsayang Aku dengan ibunya. Bertahun-tahun, puluhan tahun, dia menyimpan keinginan itu dan akhirnya kini dia bercerita kepada ibunya yang telah meninggal itu.

Di atas premis itu barangkali wajarlah Sutung menceritakan yang baik dan juga yang tak baik mengenai adik-adiknya, kepada ibunya. (Tetapi bagaimana pula dengan pembaca? Mungkin Sutung akan jawab, “Saya bukan peduli pun.”)

Dan semua cerita itu, hampir semuanya, berlaku di Kampung Tunjung, tak jauh dari Kota Bharu. (Aku, yakni Sutung Umar Rs, tinggal di Kuala Lumpur). Maka cerita mengenai Kampung Tunjung itu adalah satu lagi hal menarik dan penting dalam novel ini.

Daripada 12 bab buku ini tujuh bab daripadanya mengenai adik-adik, satu bab mengenai pemergian ibu, dua bab mengenai Aku dan duniaku, dan dua bab mengenai Kampung Tunjung, iaitu bab 2 ‘Kampungku dan Ayah’ (hal.36-112), dan bab 12 ‘Kampungku Kini’ (hal.374-386).

Seperti saya katakan, Sutung Umar Rs mempunyai kemahiran tersendiri dalam bercerita. Kerana kemahirannya itulah novel-novelnya jadi menarik dibaca, (kecuali ‘Dia Dan Nya’ agak berat kerana pendekatan yang filosofikal). Maka penceritaannya mengenai kampung yang menjadi latar kepada sebahagian besar cerita dalam novel ini, juga sangat menarik.

Saya melihatnya sebagai satu rekod yang kalau dibaca oleh ahli antropologi tentu mereka sangat suka. Sutung menceritakan kepada ibunya (juga kepada pembaca) banyak perkara yang diketahui ibunya mengenai kampungnya, kini sudah tidak ada lagi. Sebaliknya banyak perkara baru yang tak diketahui dan tak dikenali ibunya, kini berada di dalam dan di sekitar kampung mereka.

Proses bagaimana berlakunya perubahan sedikit demi sedikit itu, bersama-sama dengan perkembangan yang dialami oleh adik-adik Aku, dalam hidup mereka selama berpuluh tahun di kampung itu; proses bagaimana sebuah kampung Melayu tradisional berubah menjadi sebahagian persekitaran bandar besar di Malaysia yang didominasi orang Melayu. Ini pastinya sebuah rekod yang sangat berharga.

Makanya saya mencadangkan kepada pihak-pihak tertentu yang berkenaan di Kota Bharu agar mereka menyambut dan mera’ikan kehadiran novel ini, dengan apa cara jua yang mereka fikirkan sesuai dan wajar; kerana novel ini dengan caranya tersendiri, tanpa disedari oleh pengarangnya, telah memberi sumbangan yang berharga kepada sejarah pembangunan Kota Bharu.

(The Malaysian Insider 18 November 2015)

fb shamsudin osman 

Comments