peniup serunai

Mencari pewaris peniup serunai


Mohd. Amir menunjukkan serunai yang dimainkan selepas selesai melakukan persembahan di Kampung Labu Kubong, Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini.

Sebaik sahaja tiba di Inap Desa Kampung Labu Kubong, Kuala Kangsar, Perak, rombongan peserta Asean Media Bloggers Tourism Hunt (AMBTH) 2017 tidak menduga diberi sambutan begitu meriah baru-baru ini.

Bukan sahaja diberi minuman air akar kayu dan hidangan pelbagai juadah tradisional seperti lemang serta kuih limas, peserta juga diraikan dengan persembahan pencak silat.

Seramai 47 peserta terdiri daripada pengamal media dan social media influencer (SMI) dari negara-negara Asean termasuk Malaysia menyertai program anjuran Tourism Malaysia itu.

Ketika tekun memerhatikan persembahan pencak silat, perhatian penulis beralih kepada kumpulan gendang silat yang memainkan lagu untuk mengiringi persembahan silat berkenaan.

Perhatian penulis juga tertumpu kepada peniup serunai kumpulan gendang iaitu seorang lelaki warga emas. Begitu merdu alunan tiupan serunai itu.

Perasaan penulis seperti dibuai-buai bersama hembusan bayu sambil mata beralih kepada panorama hamparan sawah padi dan deretan gunung-ganang yang begitu mempesonakan.

Penulis yang tertarik dengan kumpulan gendang silat itu berasa bertuah kerana dapat berbual bersama Mohd. Amir Abd. Rahim, 74,

Dia merupakan pengasas dan ketua Kumpulan Gendang Silat Al-Marbawi, satu-satunya kumpulan gendang silat di Kampung Labu Kubong.

Ditubuhkan pada tahun 2013, tiga cucu saudara Mohd. Amir menyertai kumpulan gendang itu.

Mereka yang masih bersekolah menjadikan aktiviti bermain gendang silat sebagai cara santai bagi mengisi masa lapang.

Menurut Mohd. Amir, gabungan orang tua dan muda penting untuk mengajar serta mempopularkan aktiviti tradisi itu.

Kumpulan itu juga selalu diundang untuk menjayakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti kenduri-kendara, latihan silat dan majlis berkhatan.

Sesuai dengan usaha menjadikan kampung itu sebagai tarikan pelancongan melalui program inap desa, mereka turut diundang untuk acara meraikan tetamu tempatan serta luar negara.

Usia yang semakin meningkat menyebabkan Mohd. Amin gigih mencari penggantinya.

Bagaimanapun, usaha ini bukan mudah. Sasarannya adalah anak muda di kampung itu tetapi setakat ini ia belum berhasil.

“Tiada yang sesuai,” jawab Mohd. Amir ringkas sambil merenung jauh apabila penulis mengajukan soalan mengenai usaha mencari pewaris peniup serunai.

Latihan konsisten

Cabaran paling besar ialah meskipun seseorang itu mempunyai minat untuk menjadi pemain serunai, belum tentu dia boleh menguasai teknik meniup serunai tanpa latihan yang konsisten dan betul.

“Seni meniup serunai ini ada cabaran yang tersendiri. Budak-budak sekolah yang boleh bermain recorder, semuanya boleh tiup serunai tetapi tiada yang boleh meniup secara berterusan, tanpa putus.

“Di Kuala Kangsar ini hanya ada tiga orang yang betul-betul boleh meniup serunai,” jelasnya.

Mohd. Amir memberitahu, seni meniup serunai yang panjang amat penting untuk mengiringi paluan gendang.

Bunyi serunai yang nyaring juga amat mudah dikesan ‘hilang’ jika ia terhenti ketika saat gendang masih dipalu dan lagu belum habis dimainkan.


Kumpulan Gendang Silat Al-Marbawi dari Kampung Labu Kubong dianggotai oleh tiga remaja perempuan dan seorang warga emas lelaki.

Peniup serunai yang disegani ini tidak lokek untuk memberi panduan kepada mereka yang mahu belajar meniup alat bunyi-bunyian itu.

“Kalau mahu nafas panjang, ada rahsianya. Perlu ada latihan. Cara latihannya adalah meniup air guna straw sampai keluar buih. Tiuplah seberapa lama yang boleh bagi setiap nafas. Lebih lama, lebih bagus.

“Cara menjaga nafas adalah dengan menyedut udara menggunakan hidung, kemudian disimpan di perut. Gunakan kembungan pipi, jadikan ia ibarat getah untuk mengawal aliran angin keluar yang ditiup sedikit demi sedikit,” cerita Mohd. Amir.

Latihan itu perlu dibuat setiap hari selepas bangun solat Subuh atau selepas bangun tidur. Masa yang diperlukan sekitar setengah hingga satu jam setiap hari.

Semakin kerap dibuat, semakin cepat kemampuan mengawal tiupan dikuasai peniup.

Menjawab tentang pantang larang yang harus dipatuhi peniup serunai, Mohd. Amir memberitahu, tiada sebarang pantang larang dari sudut pemakanan ataupun amalan yang perlu dihindari.

“Cukup dengan latihan yang kerap dan benar-benar serius melakukan latihan,” tegasnya.

Mula melibatkan diri dalam kumpulan gendang silat pada tahun 1986, Mohd. Amir belajar dengan kumpulan gendang di Kampung Talang dekat Kuala Kangsar iaitu kira-kira 30 minit perjalanan dari Kampung Labu Kubong.

Ada masanya, dia pergi ke negeri lain untuk mempelajari cara pukulan gendang.

Menurutnya, setiap negeri mempunyai gaya pukulan yang unik mengikut cara masing-masing.

“Kedah, Kelantan, Terengganu dan kumpulan dari Thailand, berbeza cara pukulnya. Kumpulan biasa berkumpul waktu ada pertandingan silat atau Muay Thai, jadi kami pergi supaya dapat belajar benda baharu,” kata Mohd. Amir.

Sementara itu, pemain gendang, Shazihaziqah Mohd. Desa, 15, berkata, minat mula timbul apabila melihat datuknya bermain gendang.

Dia juga cuba belajar meniup serunai tetapi berpendapat, ia amat sukar.

Sementara itu, pasangan adik-beradik Robiatul Athirah Mohd. Rodzi, 15, dan Robiatul Sopia Mohd. Rodzi, 12 , pula mendapat sokongan padu daripada ibu mereka. – Bernama

kosmo

Comments