masjid terapung


Binaan Penuh Ilusi



Tersergam indah di Teluk Likas, Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah menarik perhatian ramai pengunjung dengan keunikan seni binanya.

Ini disebabkan masjid di Jalan Pasir itu dibina di dalam kolam buatan manusia, sekali gus memberi ilusi ia seolah-olah terapung kerana dikelilingi air.

Lebih menarik, ia terletak di kawasan pesisiran pantai dengan pemandangan laut di Teluk Likas.

Mula dibina pada 1992, masjid kebanggaan warga Kota Kinabalu ini memiliki sudut pemandangan luar dan dalam yang dikatakan mempunyai persamaan dengan beberapa sudut pemandangan di Masjid Nabawi di Madinah.

Ia bukan sekadar tempat beribadat, malah turut menjadi ikon pelancongan terutamanya kepada pencinta seni bina tempatan dan luar negara. Maka, tidak hairanlah, ia menerima kunjungan 500 pelancong setiap hari.

Ini dapat dilihat apabila ramai pelancong Korea, China dan Taiwan yang singgah di sini bagi merakamkan fotografi masjid ini.

Masjid terbesar di ibu negeri Sabah ini dirasmikan pada 18 Februari 2000 oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah kelapan, Tun Sakaran Dandai.

Timbalan Ketua Imam Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Al-Fadil Ustaz Mohd Zamzuhardi Zakaria, 35, berkata, tapak masjid ini adalah kawasan pantai dan persisir air laut Kampung Likas.

Beliau berkata, pembinaannya cetusan ilham Yang di-Pertua Negeri Sabah yang ketujuh, Allahyarham Tun Mohd Said Keruak.

“Antara tarikan di masjid ini ialah dataran terbuka untuk memudahkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan. Dataran ini menjadi tumpuan pelancong, sekali gus memberi kesan menarik kepada identiti Masjid Bandaraya ini.

“Kolam yang mengelilingi kawasan masjid ini juga bukan hanya berfungsi sebagai landskap tetapi juga untuk mengimbangi kepanasan matahari di laman berkenaan terutama waktu tengah hari.

“Selain itu, eleman seni tradisional Melayu turut digunakan dalam menghiasi pintu gerbang utama.

“Reka bentuk yang menggabungkan seni khat, ukiran batu dalam corak geometri Islam menyerlahkan lagi keindahan bangunan masjid terapung ini,” katanya ketika ditemui Nuansa, baru-baru ini.

Menurutnya, pembinaan masjid itu turut mengambil kira elemen semula jadi yang memanfaatkan tiupan bayu laut.

Katanya, masjid yang berkeluasan 9,996 meter persegi ini boleh memuatkan hingga 12,000 jemaah pada satu masa, meliputi dewan solat utama dan ruang solat perempuan.

“Masjid ini juga boleh memuatkan hingga 25,000 jemaah apabila musim perayaan termasuklah Solat sunat Aidilfitri dan Solat sunat Aidiladha,” katanya.

Menurutnya, lebih menarik, masjid ini tidak bertingkat seperti masjid lain dan mesra jemaah kerana setiap penjuru masuk menyediakan ruangan wuduk.

“Ia turut dilengkapi dengan pejabat pengurusan, sekolah agama rakyat (SAR), madrasah tahfiz, kelas QurAnis serta Tadika Quran,” katanya.

Mohd Zamzuhardi berkata, kemudahan lain disediakan di masjid ini termasuk bilik bagi orang kenamaan, 200 tempat wuduk, 16 tandas dan bilik mandi.

Selain itu katanya, sebuah bilik persalinan lelaki, 24 tempat wuduk wanita dan sebuah bilik pengurusan jenazah turut disediakan.

“Lebih menarik, pelbagai program diadakan bagi mengimarahkan masjid termasuklah Tadarus al-Quran, majlis khatam al-Quran dan program sedekah jariah, ceramah agama dan qiamullail.

“Masjid ini tidak pernah sepi dengan aktiviti kerana sentiasa diimarahkan dengan pelbagai majlis ilmu termasuklah Madrasah Tahfiz yang menempatkan ruangan khas bagi asrama pelajar tahfiz, 14 kelas SAR serta pembelajaran ilmu al-Quran untuk orang kurang upaya (OKU) di bawah usia 18 tahun menerusi program QurAnis,” katanya. - Amniera Naziera Amran

Mymetro

Comments