Festival Teater Malaysia 2016

Enam berentap di Festival Teater Malaysia 2016

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Tan Sri Norliza Rofli ( berdiri, enam dari kiri ) bersama sebahagiaan para peserta pada Sidang Media Festival Teater Malaysia 2016 di Saloma Bistro, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Oleh RUHAYA AB. HAMID
18 November 2016

Bagi menyemarakkan lagi industri seni teater tanah air serta membuka peluang kepada penggiat teater mempamerkan bakat dan kemahiran mereka, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Persatuan Teater Malaysia sekali lagi menganjurkan Festival Teater Malaysia (FTM) 2016.

FTM 2016 akan diadakan pada 20 hingga 26 November ini di Auditorium JKKN Kedah di mana buat pertama kalinya diadakan di luar Lembah Klang.

Menurut Ketua Pengarah JKKN, Tan Sri Norliza Rofli, pemilihan untuk mengadakan FTM 2016 di luar ibu negara adalah sebagai satu kelainan berbanding penganjurannya sebelum ini.

“Secara peribadi, saya rasa penduduk di Kuala Lumpur mempunyai terlalu banyak pilihan festival seperti ini. Oleh itu, dengan penganjuran FTM di luar Lembah Klang ini diharap dapat memberi peluang dan menarik minat orang Utara untuk menghadiri festival yang menyediakan pelbagai aktiviti kesenian ini,” ujarnya.

Selain lokasi, FTM kali ini turut memperkenal anugerah baharu iaitu Anugerah Khas Festival Teater Malaysia. Anugerah ini akan diberikan kepada empat orang tokoh teater negara yang telah banyak berjasa kepada pembangunan industri teater Malaysia.

“Sempena FTM 2016 ini juga, buat pertama kalinya JKKN akan menyampaikan anugerah khas kepada penggiat teater negara kita. Empat orang tokoh yang telah dipilih iaitu Datuk Rahim Razali, Morad Ibrahim, Fauziah Nawi dan Shahili Abdan atau lebih dikenali dengan nama Namron,” jelasnya dalam majlis sidang media FTM 2016 di Saloma Bistro, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Seperti penganjurannya sebelum ini, FTM 2016 masih mengekalkan konsep pertandingan teater antara enam kumpulan terbaik dalam kalangan pemenang Festival Teater Negeri 2015.

Menerusi Festival Teater Negeri 2015, sebanyak 104 kumpulan dari 14 buah negeri seluruh Malaysia telah bertanding dan hanya satu pemenang dipilih bagi setiap negeri. Daripada 14 kumpulan tersebut, enam kumpulan yang dipilih oleh panel penilai layak memasuki FTM 2016.

Enam kumpulan teater yang akan bertanding dalam FTM kali ini ialah Persatuan Teater Opera Mimpi Negeri Perlis dengan karya bertajuk Ka’ Sorga, Gabungan Seni Warisan Anak Pulau Pinang (The Maids), Persatuan Seni Ceritera Negeri Selangor (Jalan Mati), Stage Production Universiti Malaysia Sabah (Prebet Kabimbangan), Kelab Penggiat Seni Teater Negeri Sembilan (Tergantung) dan Persatuan Seni Persembahan Sifar Kuching Sarawak (Si Panji Rumput).

Selain daripada pertandingan teater dan malam anugerah, FTM 2016 turut diisi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti Bengkel Teater FTM16, Open Mic @ Sembang Teater, mini pesta buku, gerai makanan dan minuman, pameran oleh kumpulan yang bertanding serta persembahan kesenian.

Senarai kategori yang dipertanding dan hadiah:

Johan 
(RM10,000)
Naib Johan 
(RM8,000)
Tempat ketiga 
(RM6,000)
Pengarah Terbaik (RM2,000)
Pelakon Lelaki Terbaik (RM2,000)
Pelakon Wanita Terbaik 
(RM2,000)
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik 
(RM1,500)
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik 
(RM1,500)
Pelakon Harapan Lelaki 
(RM1,000)
Pelakon Harapan Wanita 
(RM1,000)
Anugerah Khas Juri (RM1,500)
Teknik Terbaik B(RM1,000)

utusanonline

Festival Teater Malaysia

Festival Teater Malaysia bermula di era 70an dengan Pesta Tarian dan Drama anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Malaysia dan berlanjutan sehingga ke tahun 80an.

Pada tahun 1990, ia diteruskan dengan format baru, berfokus pada teater dan diberi nama baru Pekan Teater dikelolakan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia.

Pada tahun 2002, Pekan Teater diberi wajah baru dengan nama Festival Teater Malaysia. Johan peringkat negeri dipilih untuk ke peringkat kebangsaan dan buat pertama kalinya, pengisian Festival Teater Malaysia diperluas merangkumi persembahan Monolog dan Fragmen seni.

Perubahan demi perubahan terus dilakukan saban tahun termasuklah menampilkan persembahan teater jalanan pada tahun 2008 yang bertujuan untuk mendekatkan lagi teater kepada khalayak.

Bermula dari tahun 2012 Festival Teater Malaysia meneruskan kesinambungan pemilihan enam kumpulan di peringkat neeri melalui Manifestasi Teater Negeri. Hanya enam (6) kumpulan terbaik diangkat ke pertandingan peringkat kebangsaan.

Penganjuran secara berterusan ini adalah bertujuan untuk terus memeriahkan industri teater negara disamping menjadi platform bagi penggiat seni teater negara berkarya.









Negeri Sembilan juara Festival Teater
MOHD. RAFIE AZIMI
26 November 2016



ALOR SETAR 26 Nov. - Kelab Penggiat Seni Teater Negeri Sembilan dinobatkan sebagai juara Festival Teater Malaysia 2016 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kedah di sini.

Mempertaruhkan karya berjudul 'Tergantung' yang berkisar mengenai empat individu yang tercampak dunia asing, naskhah arahan pengerusi kelab itu, Noor Idlah Abdul Halim turut meraih anugerah pelakon lelaki terbaik yang menjadi milik pemegang watak utamanya, Muhamad Khairil Kamarudin.

Pada majlis itu, empat tokoh teater tanahair, Datuk Rahim Razali, Morad Ibrahim, Fauziah Nawawi dan Namron turut menerima Anugerah Khas yang disampaikan Ketua Pengarah JKKN, Tan Sri Norliza Rofli. - UTUSAN ONLINE

utusanonline

Comments