Cerita Ayah : Bisik Pada Langit

KABIR BHATIA ANGKAT KISAH KASIH AGUNG SEORANG AYAH DALAM SEBUAH NASKAH AIR MATA


Tampilkan Jalil Hamid, Ummi Nazeera dan Beto Khusyairi selaku tonggak utama

KUALA LUMPUR, 7 September 2016 – Cinta seorang ibu kepada anaknya sering diandaikan lebih dalam dari dasar laut, manakala kasih seorang ayah kepada anaknya kadangkala tidak terlihat pada zahirnya, namun keikhlasannya lebih tinggi daripada gunung. Pengorbanan seorang ayah untuk membahagiakan anak tiada tandingannya. Mungkin ramai yang terlepas pandang akan hakikat ini, justeru itu naskah terkini milik pengarah hebat, Kabir Bhatia, ini pasti mampu mengingatkan kita kembali akan kehebatan figura lelaki yang dipanggil ‘ayah’ ini. ‘Bisik Pada Langit’ adalah sebuah filem televisyen (FTV) terbaharu yang diterbitkan Nusantara Seni Karya Sdn. Bhd. dan akan disiarkan di saluran Astro First Eksklusif (480) mulai 15 September ini.

Pelakon berpengalaman, Jalil Hamid, diberikan tanggungjawab memegang peranan utama dalam menjayakan filem TV ini sebagai ayah manakala pelakon popular, Ummi Nazeera, memegang watak seorang anak yang cukup ditatang serta dikasihi sepenuhnya oleh ayah beliau. Pelakon hebat, Beto Kusyairi, turut tampil memegang watak penting sebagai abang di samping Fadilah Mansor, yang melakonkan watak sebagai ibu. Percaturan Kabir Bhatia menampilkan kesemua nama-nama hebat untuk naskah ini dilihat berjaya apabila barisan pelakon berjaya menjiwai watak masing-masing yang pasti mampu mengusik hati penonton.

Bisik Pada Langit mengangkat kisah kekeluargaan sebagai plot utama dan diapit pula dengan aspek ketulusan sebuah persahabatan, cinta dan ketentuan takdir yang telah tersurat. Pada masa yang sama, Kabir Bhatia, turut memberikan penekanan terhadap pengorbanan Wak Selamat (Jalil Hamid) sebagai seorang ayah yang dilihat begitu menyayangi anak perempuannya dan sanggup menunaikan segala kehendak permata hatinya ini bagi memastikan kebahagiaan dikecapi beliau pada setiap masa. Siti Hajar (lakonan Ummi Nazeera) merupakan satu-satunya anak perempuan dari tiga beradik. Sama seperti ayahnya, abang beliau, Zaidi (Beto Kusyairi) dan adiknya, Ikram (Naim Daniel) turut perlu berkorban semata-mata demi memastikan cita-cita Siti Hajar untuk melanjutkan pelajaran di Perth, Australia dapat direalisasikan. Walaupun dalam keadaan berat hati, Wak Selamat perlu membenarkan anaknya pergi dengan harapan Siti Hajar dapat membawa pulang segulung ijazah seterusnya membantu keluarga yang selama ini hidup dalam serba kekurangan.

Harapan Wak Selamat musnah apabila Siti Hajar dimaklumkan terlibat dalam satu kemalangan motosikal berkuasa tinggi di Perth. Lebih meremukkan hati Wak Selamat adalah apabila beliau hanya mengetahui akan hobi anaknya yang gemar menunggang motosikal selepas dari kecelakaan yang menimpa Siti Hajar, namun pada masa yang sama, semua ahli keluarga sudah mengetahuinya sejak dari duhulu lagi. Siti Hajar kini berada dalam keadaan kritikal dan koma di negara asing yang menjadikan keluarganya di Malaysia tidak senang duduk dan ditindih keresahan.

Tidak cukup sekadar memanjatkan doa agar dipermudahkan segalanya, Wak Selamat terus berusaha mencari jalan agar beliau dapat pergi ke Australia untuk melihat sendiri keadaan anak kesayangannya itu. Tanah yang ada digadaikan, rumah pula dipajakkan, saudara mara ada yang membantu tetapi kebanyakkan dari mereka dilihat lebih banyak mencemuh kerana tidak setuju akan keputusan Wak Selamat untuk pergi melawat anaknya di Australia kerana ia diandaikan sebagai satu pembaziran kepada mereka yang terang-terangan hidup susah di sini. Wak Selamat dan keluarganya dinasihatkan untuk terus menanti akan keputusan doktor dengan penuh pasrah di Malaysia. Tetap berdegil dengan keputusan beliau, Wak Selamat terus dengan pendiriannya untuk pergi ke Australia melawat anaknya. Namun begitu, adakah usaha Wak Selamat selama ini bakal menemui jalan buntu, dan adakah Siti Hajar akan kembali sedar atau Wak Selamat terlewat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada anaknya?

“Susun atur dan konsep jalan penceritaan yang ditampilkan Kabir Bhatia yang rata-ratanya berteraskan kekuatan hubungan kekeluargaan, permainan emosi yang pasti mampu menggolak hati penonton dan suntikan beberapa elemen yang luar dari kebiasannya seperti faktor dramatik yang menampilkan seorang wanita meminati bidang pemotoran berkuasa tinggi dan konsep sinematografi yang menekankan pelbagai aspek artistik dari Pengarah Fotografi tersohor tanah air, Norhanisham Muhammad (Labu) di saat penggambaran di Malaysia dan juga di Perth, Australia ternyata menjadi kekuatan kepada filem TV ini”, jelas Saniboey Mohd Ismail, Ketua Unit Drama Premium dan Filem Astro.

“Kami turut yakin, keserasian dan persembahan mantap yang dicetuskan oleh kedua-dua watak utama yang diterajui Jalil Hamid dan Ummi Nazeera ini bakal memberi impak tambahan kepada filem ini dan ia sudah pasti mampu meraih hati para penggemar filem-filem tempatan yang sentiasa dahagakan pembaharuan dalam sesebuah penerbitan. Pada masa yang sama, kehebatan barisan pelakon lain yang dilihat berjaya menjiwai watak-watak yang digalas ternyata berjaya memberikan efek lebih maksimum kepada karya ini. Tahniah diucapkan kepada Kabir Bhatia dan barisan produksi ‘Bisik Pada Langit’ di atas kejayaan menzahirkan sebuah naskah sehebat ini”, kata Saniboey lagi yang juga merupakan pencetus idea asal ‘Bisik Pada Langit’.

Selain memberikan mood kepada keseluruhan perjalanan cerita, lagu tema yang bersesuaian juga memainkan peranan sebagai pelengkap kepada sesebuah karya yang dilahirkan terutamanya di saat peralihan babak-babak penting. Menyedari akan hakikat tersebut, sebuah lagu runut bunyi dihasilkan khas untuk ‘Bisik Pada Langit’. Didendangkan oleh penyanyi kelahiran program realiti yang cukup diminati ramai, Akim & The Majistret, lagu ‘Lygophobia’ ini ditulis oleh Hang Nadim dan lirik oleh Laq.

Jangan lepaskan peluang untuk menonton tayangan eksklusif ‘Bisik Pada Langit’ pada 15 September 2016 ini di Astro First Eksklusif, saluran 480. Dengan hanya RM15.90 (termasuk GST) untuk sebuah filem, para penonton boleh menyaksikan filem ini berulang kali dalam tempoh 48 jam dari waktu pembelian.

astro 




Bisik Pada Langit angkat tema keluarga, serlah kehebatan Kabir

Kamarul Anuar Mohamed Nasir -
23 September 2017

Barisan pelakon Bisik Pada Langit dari kiri, Naim Daniel, Beto Kusyairy, Ummi Nazeera, Jalil Hamid dan Erwin Dawson bergambar kenangan pada Malam Gala Filem Bisik Pada Langit di GSC Pavilion, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI,07 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Susah untuk menyenaraikan filem di Malaysia yang mengangkat isu keluarga sebagai tema penceritaan. Kalau ada pun, isu kekeluargaan cuma digarap sebagai latar penceritaan. Tak tahu mana silapnya, mungkin tema sebegitu sukar ‘mengajak’ penonton ke pawagam.
Malahan mustahil sesebuah produksi bersedia mendengar laporan filem mereka tidak laku. Bisik Pada Langit arahan Kabir Bhatia mengisi kelompongan yang ada. Filem yang sarat dengan air mata itu tampil dengan tema yang begitu dekat dengan masyarakat. Namun Kabir asalnya tidaklah menerbitkan karya itu sebagai filem sebaliknya sebuah telemovie untuk siaran Astro. Bagaimanapun pihak Astro berasa karyanya layak diletakkan di pawagam kerana kualiti kerja Kabir.

Mengenali nama Kabir dia bukanlah calang-calang nama. Lihat sahaja profilnya sebagai pengarah dan penerbit menerusi filem Nur Kasih, Cinta, Sepi dan Amukan Azazil. Pengarah kelahiran New Delhi itu mampu ‘berbicara’ melalui sinematografi dengan begitu indah.
Bisik Pada Langit mengisahkan Siti Hajar (lakonan Ummi Nazeera) yang menyambung pelajaran ke luar negara maut dalam kemalangan ketika menaiki motosikal.

Siti Hajar merupakan anak perempuan tunggal Wak Selamat (Jalil Hamid). Sebagai anak perempuan Siti Hajar dijadikan harapan keluarga untuk mengubah nasib mereka. Bermula dengan kisah Siti Hajar mengalami kecederaan parah, plot dikembangkan bagaimana kebimbangan ayah tentang nasib anaknya itu di luar negara. Seterusnya kekalutan membuka plot bagaimana perasaan abang Hajar, Zaidi (Beto Kusyairi) dan adiknya, Ikram (Naim Daniel) terhadap bapa mereka membesarkan mereka sebelum ini. Sikap Wak Selamat yang terlalu membimbangkan anak perempuan telah tanpa disedari menyebabkan dua anak lelakinya rasa tersisih. Secara keseluruhannya, Bisik Pada Langit mengukuhkan nama dan profil Kabir dalam industri. Keindahan alam, cinematografi dan suntingan dimanupulasi dengan baik bagi mewujudkan rasa harmoni antara perasaan sedih dan kagum. Jangan dipertikai persembahan para pelakon, nama-nama mereka sahaja sudah memberitahu kita dimana tahap kualiti mereka. Pelakon lain yang turut membintangi filem ini termasuklah Erwin Dawson dan Datin Fadzilah Mansor. Bagaimanapun terdapat beberapa kelemahan kecil dalam filem ini. Misalnya terlihat microphone receiver pada pakaian pelakon dalam beberapa babak. Satu perkara lain yang mungkin terlepas pandang, pakaian Erwin kelihatan berulang-ulang seolah-olah hanya itu sahaja pakaian yang dipakai. Bagaimanapun, mungkin boleh diterima dia memakai pakaian sama sejak hari kemalangan hingga hari tiba di Malaysia. Namun pakaian ketika awal-awal mendaftar di universiti juga pun masih pakaian yang sama.

Filem terbitan FilemScape dan Nusantara Seni Karya Sdn Bhd bersama edaran Astro Shaw ini mula berada di pawagam 21 September lalu.-

MalaysiaGazette









Comments