28 Jul 2017

uda dan dara 2010

 


Uda dan Dara merentasi masa
Oleh SY MUSSADDAD MAHDI


RAHIM Razali bergambar bersama Ketua Pengarah Istana Budaya Juhari Shaarani dan tenaga produksi teater Uda dan Dara.

KALI pertama ia dipentaskan pada tahun 1972. Selepas itu sudah beberapa kali ia dipentaskan kembali oleh pelbagai pihak termasuklah pada tahun 1985 dan sekitar tiga tahun yang lalu melalui pelbagai produksi.

Uda dan Dara tahun 1972 karya Sasterawan Negara Usman Awang ini juga mencipta sejarah sebagai teater Melayu pertama yang menggunakan konsep muzikal tetapi ia lebih kepada elemen kebaratan (broadway) yang tidak pernah digunakan oleh mana-mana pementasan tempatan ketika itu.

Paling mengujakan sudah pasti memperlihatkan Uda dan Dara yang diangkat menerusi puisi Gadis Di Kuburan yang dihasilkan pada tahun 1954. Cerita itu akhirnya berkembang menjadi cerpen, drama televisyen dan akhirnya dipentaskan kepada khalayak.

Malah tidak salah rasanya kita mengangkat karya Gadis Di Kuburan dan kisah Uda dan Dara ini sebagai karya agung memandangkan ia tidak pernah lapuk ditelan zaman. Malah jika dipentaskan 10 tahun lagi, naskhah ini masih lagi relevan pada zamannya.

Jika diimbas kembali sejarah Uda dan Darai, karya ini pernah dijadikan drama televisyen sekitar tahun 1970. Malah pihak produksi ketika itu pernah meminta bantuan P. Ramlee untuk menghasilkan lagu mengenainya.

Akhirnya terciptalah lagu Uda dan Dara yang berirama keroncong cukup popular ketika itu l nyanyia P. Ramlee dan Saloma. Ketika itu juga terbit idea untuk mementaskan karya itu ke dalam bentuk teater.

P. Ramlee dipertanggungjawabkan untuk mencipta lagu tetapi semua itu tidak menjadi kenyataan apabila Seniman Agung itu pergi menyahut seruan Ilahi.

Rentetan daripada pementasan pertama itu, muncul pelbagai pementasan Uda dan Dara dalam pelbagai versi. Apa yang membezakan hanyalah dari segi skala dan sasaran khalayak ketika itu.

Malah Uda dan Dara juga pernah dipentaskan dalam Bahasa Inggeris oleh Ahmad Yatim satu ketika dahulu.

Kini setelah 38 tahun (selepas kali pertama dipentaskan) akhirnya karya besar ini dipentaskan di Istana Budaya pada 10 hingga 20 Julai depan.

Sudah pasti ramai yang menantikan buah tangan terbaru Datuk Rahim Razali yang cukup dikenali berbakat dan disegani dalam bidang pementasan ini. Kredibiliti dan pengalaman yang dimiliki oleh Razali mampu mengembalikan kegemilangan Uda dan Dara seperti mana yang pernah dikecapinya satu ketika dahulu.

Nafas baru

Antara sedar dan tidak, Rahim merupakan orang yang cukup dekat dengan naskhah Uda dan Dara ini. Dia juga pernah mengarahkan teater ini malah pernah memegang watak Uda dalam drama televisyen pada zaman kegemilangannya.

Ketika ditemui di Istana Budaya baru-baru ini, Rahim tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya dengan pementasan ini walaupun pelakon yang akan membintangi watak Uda masih belum ditemui.

"Ada sedikit pembaharuan yang akan dilaksanakan nanti tetapi ia tidak akan menjejaskan keseluruhan cerita yang sudah diketahui umum itu. Cuma kita masih lagi belum bertemu dengan pelakon yang akan membawa watak Uda.

"Sudah ada beberapa nama yang kita mahukan. Tapi ada yang cukup sibuk dengan jadual mereka dan memang tak dapat memberi komitmen kepada produksi ini.

"Saya bukan cerewet mengenai pemilihan Uda. Cuma saya mahu pastikan calon yang datang mestilah pandai berlakon dan menyanyi. Selain itu saya mahu ciri-ciri kemelayuan dan ada ciri-ciri lelaki kampung.

"Ada calon yang sudah diuji bakat tetapi tak ada ciri-ciri tambahan yang saya tetapkan. Kita masih lagi dalam proses mencari calon dan harap-harap dapat bertemu dengan mereka dalam masa terdekat," jelasnya lagi.

Andai kata calon yang dicari masih belum ditemui, Rahim menjelaskan yang dia tidak akan teragak-agak untuk memperkenalkan muka baru yang cukup ramai dan berbakat yang akan digandingkan bersama Misha Omar pemegang watak Dara.

Selain Misha, pelakon-pelakon lain yang terlibat termasuklah Aishah, Mazlan Tahir, Khir Rahman, Radhi Khalid dan ramai lagi yang akan diumumkan kelak.

Sedia tanggal pendakap gigi

Misha yang cukup dikenali antara penyanyi yang berbakat besar begitu bertuah kerana terpilih untuk memegang watak Dara yang diketahui penuh dengan cabaran.

Sambil menyifatkan pemilihannya sebagai sesuatu yang cukup istimewa, Misha juga terpaksa menanggalkan pendakap gigi yang sudah dipakainya selama empat tahun itu.

"Ini syarat yang diletakkan oleh pengarah. Saya kena tanggal pendakap gigi walaupun sepatutnya ia akan dibuka pada awal tahun hadapan. Tapi demi menjayakan watak Dara, saya sanggup lakukan," jelas penyanyi Bunga-Bunga Cinta .

Selain menyanyi, Misha juga pernah membintangi beberapa buah drama televisyen dan filem. Malah dia juga baru sahaja beraksi sebagai ketua buntal dalam teater kanak-kanak Gamat bersama Amy Mastura dan Ziana Zain.

Selain memiliki ciri-ciri yang diperlukan oleh pengarah, Misha juga cukup gementar menantikan pelakon yang akan bergandingan dengannya nanti.

"Saya tak tahu dengan siapa saya akan digandingkan. Tapi apa pun yang terjadi saya mahu memberikan yang terbaik kepada teater ini yang akan menjadi penanda aras kepada pencapaian saya sebagai pelakon.

"Watak Dara ini sebenarnya cukup bertentangan dengan diri saya memandangkan saya perlu menjadi wanita Melayu yang penuh dengan kesopanan dan kelembutan," jelasnya lagi.

utusan online


Uda dan Dara: Naskah yang gagal difahami Istana Budaya


Bermula 10 Julai sehingga pesembahan penutup pada 20 Julai, naskah Uda dan Dara (Usman Awang) dimainkan di Istana Budaya. Kami diberi kesempatan menonton pada 10 Julai. Seperti yang tertera di tiket, jam 8.30 malam ia akan dimulakan.

Kata orang, teater di Istana Budaya ialah hiburan untuk orang kaya. Jika begitu, bagaimana pula kami dapat pergi? Sudah tentu berbekalkan tiket termurah RM30 untuk disaksikan dari tingkat 3. Mungkin kerana tiket tidak habis dijual atau kata petugas Istana Budaya sedang dibaik pulih, tingkat 3 tidak digunakan. Kami diminta turun untuk duduk di tingkat 2. Itu pun, masih lagi ditunjukkan tempat yang sesuai untuk tiket RM30. Walaupun disekitar tempat duduk yang lebih mahal, kosong tidak berisi. Tidak tahulah pula kalau tiket yang berharga lebih RM100 di bawah penuh atau tidak.

Uda dan Dara adalah naskah kisah cinta. Malangnya saya tidak pernah membaca naskah asal Usman Awang, yang terhidang di depan mata adalah interpretasi pengarah. Untuk mudah, ia seperti mana-mana cerita cinta tentang sehidup semati seperti dalam Romeo dan Juliet, Laila Majnun dsb. Ia kisah Uda seorang anak kampung yang kurang serba serbi, harta, kedudukan, wang ringgit yang mencintai Dara, seorang perawan anak orang kaya dan tuan tanah, Alang Bakhil. Kerana cintakan Dara, Uda meminta ibu menghantar tepak sirih untuk meminang Dara. Seperti yang awak agak, memang pinangan Uda ditolak mentah-mentah. Kata mudah, jika kail panjang sejengkal, lautan dalam usah diduga. Tidak setaraf, itulah kelemahan Uda.




Uda (Razali Husain), sebaliknya tahu, hanya dengan Ringgit dapat menjadikan dia dipandang mak Dara dan Alang Bakhil. Lalu Uda ke kota untuk mengumpul seberapa banyak Ringgit. Ketika di kota, Uda tidak mengirim sebarang berita. Juga, tanah sawah mak Uda dan orang kampung bakal dirampas Alang Bakhil kerana tidak mampu membayar hutang. Situasi tegang itu diselamatkan oleh Uteh, watak unik yang akan muncul ketika saat yang diperlukan. Uteh, seorang pengkritik pada kezaliman dan ketidakadilan. Memanggil Alang Bakhil sebagai haiwan yang berkata-kata.
Untuk meringkaskan cerita, Uda pulang dengan sejumlah kekayaan. Kekayaan yang akan menyalakan harapan cinta Uda dan Dara. Uda malah mampu menebus tanah orang kampung untuk didirikan rumah impian dan bakal anak mereka di masa depan.

Tetapi Alang Bakhil berhelah. Dia tidak mahu menerima Uda meski Uda sudah penuh dengan Ringgit. Alasan kerana darah, darah Uda bukan dari golongan bangsawan dan terhormat.

Uda marah. Diungkapkan sumpah keramat untuk ditentang Alang Bakhil. Katanya, perjuangannya bukan sekadar cinta. Tetapi untuk kemanusiaan, kasih sayang, keadilan yang akan mati kalau tegar membiarkan budaya menyembah Ringgit dan kedudukan dibiarkan hidup dalam desa.

Namun, seperti awal tadi saya katakan ini cerita cinta, akhirnya, Uda ditikam hingga mati oleh orang Alang Bakhil dan Dara tinggal meratapi kekasih hatinya. Begitulah, sinopsis yang diceritakan secara berjela melalui Muzikal Uda Dara yang sedang ditayang. Berjela kerana terlalu banyak lagu dan juga menjadikan penonton sangat kecewa kerana kegagalan teknikal di awal persembahan yang menyebabkan penonton terpaksa menunggu selama 40 minit.

Secara persembahan, ia menghiburkan. Dengan gemersik suara Misha Omar dan pemain-pemain serta kareograf yang berjaya menguasai pentas, ia satu persembahan perlu tonton. Saya disentuh dengan elemen terperinci oleh pengarah yang dapat menghidupkan suasana desa yang bergantung penuh kepada sawah padi untuk hidup. Bagaimana orang kampung disatukan dengan gotong royong untuk semua perkara yang rumit dilakukan secara persendirian.



Namun satu sahaja, kisah Uda dan Dara dilihat sebagai satu perhubungan yang begitu akrab. Tentu sahaja dalam hati akan tertanya, begitukah cara orang Melayu yang terkenal santun dan berbudi, bercinta? Bagi saya, ia menyimpang dan sengaja dipertontonkan kareograf erotis pada salah satu babak bermadu kasih antara Uda dan Dara (mengikut tafsiran masing-masing tentunya) untuk mensensasikan cerita ini. Bahkan, siri promosi teater yang disiarkan dalam akhbar yang menwar-warkan Misha Omar (Dara) malu untuk berhadapan Razali Husain (Uda) sebelum persembahan bermula membuatkan saya berfikir demikian. Ya benar tidak salah untuk Misha Omar berasa malu, kerana kareograf tariannya begitu.

Kami membincangkan bagaimana teater mahu mendapat tempat dikalangan penonton. Kerusi di malam pembukaan tidak banyak berisi. Untuk kami penonton marhaen hanya sempat memandang kerusi kosong berharga mahal dengan iri. Akhirnya, kami membuat helah. Hanya mahu merasa sensasi yang dibuat sendiri ketika slot berehat 10 minit teater Uda dan Dara.
Kami turun dari tempat duduk RM30 berhati-hati supaya tidak dilihat petugas Istana Budaya ke tempat duduk mahal yang banyak kosong, tentu untuk mendapat pemandangan lebih jelas bagaimana pemain-pemain teater yang bertungkus lumus di bawah sana. Ketika petugas Istana Budaya tidak memandang, kami membuka langkah duduk dihadapan. Untuk berapa ketika kami rasakan kami akan dibenarkan untuk terus duduk di sana. Di tempat mahal dengan pandangan yang lebih luas dan jelas. Namun gelak ketawa kami yang dikeluarkan berhati-hati tanpa memandang petugas istana, akhirnya dikesan juga. Dengan segala hormatnya kami dijemput pulang semula ke tempat asal. Malu? Tidak, ia sebahagian dari taktik kami untuk melihat bagaimana Istana Budaya ini berfungsi.

Dalam beberapa dialog kritikan Uteh pada sistem yang dipakai di desa, Uteh menjeritkan tentang Ringgit untuk membeli kuasa. Ringgit untuk membeli kedudukan. Ringgit untuk membeli gelaran. Saya rasa Uteh juga perlu menjerit dengan kuat, Ringgit perlu ada untuk membeli kerusi!

Ya benar, kerusi yang kosong pun tidak dibenarkan mereka yang ada untuk diisi. Dan rasa saya, sampai bila-bila pun sukar untuk penonton datang menyokong dan memenuhkan kerusi di Istana Budaya.

Uda dan Dara, ia naskah mengkritik bagaimana manusia dikastakan kerana kuasa duit dan harta. Ia relevan sewaktu Usman Awang menulis lama dulu, kini dan mungkin selamanya. Ia relevan di desa, di kota, malah lebih-lebih lagi di kosmopolitan. Dan ia relevan, dalam panggung Istana Budaya itu sendiri.

Uda dan Dara, satu persembahan yang mengkagumkan dari segi persembahan dan props, tapi sayang, ia naskah yang gagal difahami oleh Istana Budaya itu sendiri.



Istana Budaya, satu bangunan bernilai jutaan yang dibangunkan dari duit rakyat, dapat menampung seni dan kebudayaan. Tetapi sekali lagi, sayang seribu kali sayang, ia tidak sekali-kali dapat menampung makna!

Uda dan Dara yang dipentaskan di Istana Budaya, 10-20 Julai 2010 menarik, menghiburkan, tetapi tidak kuat kerana tidak bersikap. Uda mati, tetapi Alang Bakhil terus ada hidup dan bermaharajalela, di luar sana.

Uda mati, meninggalkan dua nisan di bawah pohon. Sentiasa dilawati orang, silih berganti. Tetapi siapa yang akan meneruskan perjuangannya? Menuntut kesaksamaan dalam dimensi manusiawi, bukan dengan pengaruh materi. Soalnya, siapa?

wadikita 


Uda dan Dara Berjaya Sentuh Hati Penonton
13 Julai 2010

Oleh: AU YEONG HOW



KUALA LUMPUR: Teater Muzikal Uda dan Dara yang dipentaskan di Istana Budaya bermula Sabtu lalu berjaya menyentuh hati penonton.

Naskah sasterawan negara, Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang itu benar-benar memberi sentuhan berlainan bagi mereka yang menyukai teater.

Dipentaskan buat pertama kalinya pada tahun 1972, Uda dan Dara dipentaskan semula di Istana Budaya bermula 10 Julai sehingga 20 Julai ini.

Prebiu kepada pihak media diadakan pada malam Isnin.

Pengarah teater tersebut, Datuk Rahim Razali berkata, beliau amat berpuas hati dengan persembahan itu.

Katanya, segala latihan pementasan telah membuahkan hasil yang menggalakkan apabila para pelakon berjaya menjiwai watak yang dibawakan oleh mereka.

"Muzik, tarian serta lakonan bergabung dengan baik sekali dan mencapai keseimbangan. Ini menjadikan persembahan malam ini berjaya dan menarik sekali," katanya kepada MStar Online.

Dalam pementasan itu, persembahan kedua-dua pelakon utama, Razali Hussain sebagai Uda dan Misha Omar (Dara) begitu berkesan sehingga sesetengah pelakon mengesat air mata menonton nasib malang pasangan itu.

Sementara itu, Penerbit Kumpulan Produksi teater berkenaan, Dale Majid berkata, masih terdapat ruang untuk meningkatkan lagi tahap persembahan.

Katanya, setiap kali selepas persembahan, pihaknya akan menjalankan post-mortem bagi mengenal pasti apa-apa kelemahan yang boleh diperbaiki.

Muzikal Uda dan Dara - sebuah karya agung Seniman Negara Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang, adalah sebuah kisah cinta tragis.

Ia menceritakan kisah dua darjat yang mewakili dua kelompok manusia. Seorang anak tani bernama Uda dilamun cinta dengan gadis kaya bernama Dara.

Bagaimanapun, hubungan pasangan itu tidak direstui oleh sesetengah pihak. Ini kerana isu darjat, kuasa dan kasta dipersoalkan oleh mereka yang berada, berpangkat dan berdarjat.

Muzikal Uda dan Dara turut membariskan pelakon seperti Umi Kalsom (ibu Uda), Rosdeen Suboh (Uteh), Radhi Khalid (Pak Long) dan Mazlan Tahir (Alang Bakhil).

Tiket-tiket menyaksikan persembahan ini masih dijual dan boleh ditempah dengan menghubungi 03-41498600 atau layari web www.tiket2u.biz

mstar


Teater Muzikal Uda dan Dara
 Walid Ali

1.0 Uda dan Dara



Uda dan Dara ialah satu karya agung seniman negara,allahyarham Dato’ Usman Awang. Karya yang menarik ini diarahkan oleh Dato’ Rahim Razali. Beliau pernah mementaskan drama ini pada tahun 1972 dan menjadi karya beliau yang paling diingati. Uda dan Dara mengisahkan tentang kehidupan seorang lelaki desa bernama Uda yang begitu cintakan Dara, seorang gadis yang berasal dari keluarga berada sehingga sanggup ke kota untuk mencari sumber kewangan untuk memikat hati ibu dara yang materialistik. Keadaan ini telah menyebabkan Uda tidak mengetahui akan keadaan kampungnya dalam tempoh yang agak lama. Alang Bakhil telah menindas penduduk kampung dengan membantu membeli tanah jualan penduduk kampung yang tidak mempunyai wang yang mencukupi dan keadaan menjadi semakin genting apabila Utih datang dan menghalang niat Alang Bakhil untuk memusnahkan tanaman penduduk kampung.

Dara telah dijanjikan untuk dikahwinkan dengan keluarga Alang Bakhil oleh ibunya dan kepulangan Uda ke kampung telah menyebabkan Uda tidak selesa dan berusaha untuk mengahwini Dara. Keadaan menjadi tidak menentu apabila anak-anak buah Alang Bakhil mula mengganggu Uda sehingga berlaku pertempuran yang mengakibatkan kematian Uda. 2.0

Produksi Tenaga produksi “Uda dan Dara” telah melakukan kerja dengan baik dan berkesan. Walaupun kebanyakan daripada mereka ialah pelajar institusi pengajian tinggi namun, kerja-kerja mereka kelihatan teratur dan berjalan dengan baik seperti kerja-kerja mereka yang professional.

Walaupun begitu, produksi ini tidak menjual muka surat kepada syarikat-syarikat koporat. Hal ini dapat dilihat pada buku program apabila tidak terdapat ruang jualan tajaan muka surat.
Mungkin bantuan dari pihak Istana Budaya dan juga kerajaan telah meringankan beban produksi ini tetapi sebagai satu karya agung agak rugi apabila syarikat-syarikat dalam negara tidak membantu mereka. Hal ini jelas menjejaskan nilai keuntungan kerana tidak terdapat banyak tajaan yang mampu menjimatkan ongkos syarikat UA Enterproses Sdn Bhd.

Namun begitu, tidak terdapat masalah besar ketika berusan dengan produksi kali ini kerana mereka mudah didampingi dan sering membantu. Pada pandangan saya produksi UA Enterprises telah melakukan yang terbaik dalam mengangkat karya ini ke pentas bertaraf dunia seperti Istana Budaya.


3.0 Tenaga Kreatif

Uda dan Dara telah dibantu dan diserikan oleh tenaga kreatif yang hebat dan ternama dalam dunia teater. Nama-nama seperti Dato’ Rahim Razali, Hamzah Tahir, Hafiz Askiak, Zanida Malik, dan Nur Afifi sememangnya sinonim dan berpengalaman dalam dunia teater. Mereka mempunyai nilai kerja yang bermutu untuk dipersembahkan kepada penonton. Penonton pastinya tidak rugi untuk membayar tiket pementasan teater ini kerana, kerja-kerja kreatif yang dihasilkan oleh mereka tidak mengecewakan. 3.1 Pengarahan dan Lakonan Dari aspek pengarahan, Dato’ Rahim telah memanfaatkan keluasan dan teknologi pentas dan juga kemampuan pelakon dalam hasil kerjanya. Tidak terdapat terlalu banyak lompang-lompang yang memperlihatkan arahannya sebagai satu karya yang bosan tetapi telah disusun dengan rapi dan dikemaskan oleh gaya pengarahan teater yang menarik. Dato’ juga berjaya membentuk watak Uda dengan sangat baik. Uda telah dapat dilihat sebagai lelaki melayu yang gagah, berbudi bahasa dan mempunyai nilai semangat yang kuat dalam dirinya. Kesederhanaannya sebagai orang desa kelihat dengan jelas samada dari pengucapan atau gaya geraknya.

Namun begitu, berlaku sedikit kelemahan apabila watak Dara kelihatan sedikit terganggu. Misha Omar kelihatan terlalu kasar sebagai seorang gadis melayu. Dia kelihatan terlalu aktif di pentas dan juga tidak kelihatan sebagai gadis yang telah lama bercinta dengan Uda. Gaya pembawaannya juga tidak menarik. Mungkin Dato’ menginginkan wataknya sebegini dan menyamakan watak Dara sebagai gadis berada kini yang kelihatan lasak dan aktif.

Di samping itu, persoalan terjadi apabila watak Pak Usman iaitu seorang pemain biola yang kelihatan sedikit tidak menjadi. Dengan gaya lakonan yang tidak meyakinkan dan hanya bergantung kepada permainan biola, itu tidak cukup kerana watak ini perlu lebih dihayati dan memberi kesan kepada penonton kerana watak ini membawa sajak agung “Gadis di Pusara”.


3.2 Sinografi

Dari aspek sinografi, Hamzah Tahir telah menunjukkan kepada penonton satu karya seni yang amat menarik dan berkesan. Rekaan set, warna, pencahayaan pentas dan juga kostum kelihatan senada dan sesuai dengan latar cerita yang mana perkara-perkara seperti ini perlu diberi perhatian dan dicontohi oleh penggiat-penggiat teater masakini. Saya amat tertarik akan cara penggunaan set di atas pentas. Set-set dalam teater ini telah direka dengan sangat baik dan berkesan.

Selain itu, teknik set pelbagai guna yang sering diguna dalam teater moden kini juga digunakan oleh beliau. Beliau menggunakan realism suggestion yang mana teknik ini sering digunakan dalam teater berskala kecil.

Namun begitu, beliau menggunakannya dalam memetakan karyanya kepada penonton dalam pentas berskala besar- Istana Budaya. Pada saya perkara ini kelihatan bagus tetapi berkesan di samping mampu menjimatkan kos dalam teater ini.

Walaupun rekaannya kelihatan ringkas tetapi, rekaan ringkas beliau ini telah diadun dengan kemas dan sangat menjadi. Hal ini menjadikan segala kerja sinografi beliau kelihatan amat tinggi nilai seninya. Setiap babak kelihatan bermakna dan beliau ternyata berjaya dalam menghasilkan karya seni yang menarik dari aspek sinografi.

Rekaan set yang menarik dan juga penggunaan teknologi pentas Istana Budaya telah menjadikan set untuk teater ini sangat menjadi. Untuk setiap babak, stage lift telah dijadikan set dan menyatakan keadaan set itu sendiri. Misalnya, untuk melambangkan rumah Dara, tiga stage lift telah digunakan dan sememangnya menampakkan set rumah Dara sebagai rumah orang yang berada. Rekaan pokok-pokoknya juga baik dan mampu memberikan nafas rasa pada suasana kampung.

Rekaan tatacahaya yang menggunakan warna yang sesuai telah memberikan lagi nilai menarik kepada teater ini. Jai telah menjalankan tugasnya dengan baik. Dengan mengelakkan sebarang unsur muzikal moden seperti pergerakan gobo dan membentuk imej pencahayaan secara pegun kepada penonton telah memberikan jalan selamat kepada beliau.

Rekaannya juga tidak kelihatan kosong apabila terdapatnya gobo-gobo yang menjadikan imej sama ada pelakon ataupun set supaya kelihatan lebih berbentuk tiga dimensi. Ternyata pengalaman Jai telah membantunya membuat kerja yang bagus.

Rekaan busana oleh Nur Afifi ialah busana yang bagus dan memberikan penonton satu rasa selesa. Rekaannya yang mampu membezakan setiap watak dari aspek darjat, nilai dan juga budaya telah memperlihatkan kreativiti beliau dalam berkarya.

Selain menggunakan warna yang sesuai, beliau juga memperlihatkan kepada penonton bahawa setiap watak mempunyai cara pemakaiannya sendiri. Beliau telah menjalankan kerja dengan sangat teliti. Kita dapat melihatnya apabila kita dapat membezakan darjat keluarga Uda yang miskin dan Dara yang berasal dari keluarga kaya.

Perbezaan pakaian watak Uda dari pakaian orang miskin ke pakaian orang yang berduit jelas memperlihatkan diri sebenar Uda. Hanya sedikit perubahan dilakukan oleh beliau dalam membezakan status ekonomi Uda pada waktu Uda berduit. Hal ini pada pandangan saya, Nur Afifi sengaja lakukan supaya kita dapat melihat betapa kuatnya watak Uda terhadap budaya dan asal-usulnya. Hanya berubah sedikit tetapi bukan segalanya.

Sememangnya, karya muzik amat penting dalam naskhah muzikal kerana jika muzik gagal maka rosaklah karya muzikal itu. Tetapi, gubahan muzik oleh Hafiz Askiak juga baik. Muzik-muzik yang digunakan oleh beliau sememangnya sedap untuk didengari oleh halwa telinga penonton. Tidak bingit dan sesuai untuk digunakan dalam teater ini. Saya rasa terhibur apabila mendengar lagu-lagu gubahan beliau dan ini membantu cerita ini bergerak dengan lebih baik.



Kareografi yang menarik telah direka oleh Zanida Malik. Pengalaman beliau dalam menghasilkan kareografi untuk tarian tradisional amat sesuai dengan jiwa karya Uda dan Dara. Kareografinya memperlihatkan kepada kita bahawa semua perkara telah berlaku mengikut jalan cerita. Ternyata kareografi beliau tidak kosong dan memperlihatkan nilai-nilai menarik apabila berjaya mencipta tarian dan gerakan yang sesuai dalam cerita ini. 4.0 Kesimpulan Untuk mengangkat karya agung ke pentas sememangnya sukar untuk dilaksanakan. Lebih-lebih lagi sekiranya penulisnya telah meninggal dunia seperti situasi yang dialami oleh Muzikal Uda dan Dara ini. Tidak banyak perkara yang dapat dikorek dari fikiran penulis.

Namun begitu, Dato’ Rahim yang pernah mementaskan naskhah ini semestinya mempunyai perbincangan dengan penulis sebelum penulis meninggal dunia dan pengalaman ini telah beliau guna dalam memberi adunan menarik dalam teater ini. Teater ini juga dibantu oleh tenaga kreatif yang berpengalaman dan berbakat besar. Mereka telah menambah adunan dan nilai kesedapan naskhah ini sehinggakan naskhah ini kelihatan amat bermakna. Selain dari aspek itu, lakonan dan juga tidak mengecewakan di samping pihak pengurusan yang telah menjalankan tugasan dengan baik.

Karya-karya agung sebegini sepatutnya lebih diberi perhatian kerana amat rugi dan menyedihkan sekiranya karya hebat seperti ini tidak dihargai oleh genarasi kini kerana takut satu hari nanti kita terlalu disogok oleh karya artistik luar.

walid ali

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena