ceritera sang puteri

Ceritera raya seorang puteri raja

Oleh ADHAM SHADAN
Foto ZAKARIA IDRIS dan Ihsan Istana Arau


Di atas permaidani Istana Arau, Perlis, seorang puteri cilik berusia tujuh tahun asyik melakar idea rekaan baju rayanya pada sekeping kertas. Usai mencurah kreativitinya dengan lakaran pensel, rekaan itu diserahkan kepada tukang jahit yang diundang ke istana.

Di sisinya, bonda, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Menjadi kelaziman, setiap kali menjelang Aidilfitri puteri itu bersama beberapa ahli keluarganya berkumpul untuk membuat rekaan baju raya sebelum diberikan kepada tukang jahit.

Itu nostalgia Aidilfitri cucunda sulung Raja Perlis, Sharifah Khatreena Nuraniah Tuanku Syed Faizuddin Putra, 22, yang masih segar dalam ingatannya. Bayangkan, pada usia sekecil itu, Sharifah Khatreena sudah mereka busana Aidilfitrinya sendiri.

Sudah lumrah menjadi cucu sulung, Sharifah Khatreena juga begitu akrab dengan dua nendanya, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid dan Datin Nik Rahimah Wan Ahmad. Sharifah Khatreena gemar menyertai keberangkatan kedua-duanya mencemar duli ke kedai kain.

"Semasa kecil saya suka rekaan yang kembang-kembang. Mungkin orang fikir, apalah yang boleh diharapkan dengan hasil kerja kanak-kanak sekecil itu. Tetapi, apabila saya menunjukkan kepada bonda, Tuanku Lailatul Shahreen, bonda sentiasa memberikan sokongan. Menariknya, memang tukang jahit akan hasilkan seperti yang saya reka.

"Saya merupakan cucu sulung bagi keluarga kedua-dua belah ayahanda dan bonda. Saya mempunyai dua adinda tetapi jarak usia mereka agak jauh dari saya. Justeru, semasa kecil, saya lebih banyak masa bersama nenda-nenda yang juga penggemar fesyen," kata Sharifah Khatreena yang kini merupakan pemilik perniagaan pakaian jenama HHSK atau Her Highness Sharifah Khatreena.

Menemui puteri yang merupakan cucunda Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan anakanda Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail itu di Kuala Lumpur baru-baru ini, beliau pada awalnya tampil ringkas dengan jubah rona hitam dan putih. Ia mencerminkan personalitinya yang suka bersederhana.

Biarpun di pangkal namanya terdapat gelaran Yang Amat Mulia, Sharifah Khatreena selesa membahasakan dirinya sebagai Ku Pah. Semasa sesi penggambaran beliau menggayakan dua baju rekaannya.

"Cita rasa fesyen saya untuk hari raya ialah kurung moden polos, sangat minimalis dengan elemen seperti renda atau batu-batu sequin.

"Baju kurung raya baharu tahun ini sudah siap. Buat dua pasang sahaja untuk dipakai pada hari raya pertama. Hari raya kedua dan seterusnya pakai baju-baju sedia dipakai oleh pereka-pereka Malaysia," tuturnya.

Kerja keras



BAGI Sharifah Khatreena, Aidilfitri ialah detik untuk merapatkan silaturahim dan merefleksi diri tentang nikmat kurniaan Ilahi.

Cerita penggemar warna-warna pastel ini, dari dulu sampai sekarang, setiap tahun, beliaulah yang menentukan tema warna pakaian raya keluarga.

Sharifah Khatreena boleh dikatakan seorang puteri raja yang agak berbeza daripada bayangan kisah dongeng yang segala-galanya serba tersedia. Seawal usia 16 tahun beliau sudah berdikari seorang diri untuk menuntut di sebuah kolej di Melbourne, Australia.

"Kalau jadi anak raja, persepsi salah orang macam apa yang ditonton dalam filem cereka. Ya, ia kehidupan yang mewah, Alhamdulillah, itu bahagian yang baik. Tetapi untuk mendapatkan sesuatu dengan senang-lenang hanya dengan meminta, itu bukan apa yang diajar keluarga sejak kecil.

"Saya dididik untuk berdikari dan kerja keras. Ya, memang saya perlu mengikuti status quo tapi saya juga selesa untuk bersederhana dalam pertuturan dan penampilan," katanya.

Ditanya mengenai makna Aidilfitri baginya, Sharifah Khatreena berkata, Aidilfitri ialah waktu untuk memohon keampunan ayahanda bonda, merapatkan silaturahim dan berkongsi dengan mereka yang memerlukan.

"Ia detik untuk kita bersyukur, menghargai nikmat dan muhasabah diri tentang kurniaan Allah kepada kita sekali gus menggembirakan mereka yang kurang bernasib baik," katanya.

Bukan omong kosong, Sharifah Khatreena membuktikannya. Sempena Syawal tahun lalu misalnya, Sharifah Khatreena menterjemahkan keluhuran jiwanya dengan menghadiahkan baju-baju rekaannya sendiri kepada tiga buah rumah anak yatim perempuan di Perlis.

Berjalan kaki



GAMBAR kenangan Aidilfitri keluarga diraja Perlis pada 2015. Dari kiri depan, Syed Sirajuddin dan Fauziah manakala Sharifah Khatreena (dari kiri belakang), Syed Faizuddin, Syed Sirajuddin Areeb, Lailatul Shahreen dan Sharifah Farah Adriana.

"Saya telah menjemput mereka ke butik saya di Arau, baju-baju yang hendak dijual sudah siap tergantung.

"Mereka macam terkejut apabila saya kata mereka boleh ambil mana-mana baju kurung yang mereka mahu. Selepas itu, mereka dijemput untuk berbuka puasa di istana bersama baginda Tuanku Raja Perlis.

"Saya mahu ia menjadi memori buat saya bersama mereka dan mereka bersama saya. Selain itu, sejak saya memulakan perniagaan, saya telah memperuntukkan 10 peratus hasil jualan kepada kebajikan," katanya.

Bercerita lanjut tentang hari raya, Sharifah Khatreena berkata, pada malam raya biasanya mereka sekeluarga akan berangkat melihat pencerapan anak bulan di Sungai Baru.

"Tiada apa-apa istiadat khusus mengenai perayaan di istana. Kami beraya lebih kurang sama dengan rakyat biasa. Cuma menjadi amalan kami sekeluarga pada malam raya pergi melihat pencerapan anak bulan di Sungai Baru.

"Pada pagi raya pula, kami akan berjalan kaki ke Masjid Negeri di hadapan istana untuk menunaikan solat hari raya manakala pulang dengan kereta berdasarkan sunah Nabi Muhammad SAW yang pergi dan balik dari solat hari raya mengikut jalan berbeza.

"Sebaik pulang kami utamakan menjamu rakyat jelata pada khemah yang tersedia di istana. Kami sekeluarga biasanya hanya benar-benar dapat menikmati juadah lebaran dan bermesra sesama kami selepas pukul 12 tengah hari," ujarnya.

Ijazah sarjana



KHATREENA (kanan) menyumbang baju raya rekaannya sendiri kepada anak-anak yatim yang dijemput ke butiknya, HHSK di Arau, Perlis sempena Aidilfitri tahun lalu.

Sharifah Khatreena berkata, beliau membesar dengan mengikuti keluarganya mendekati masyarakat, warga emas, golongan asnaf dan sebagainya. Jiwa rakyat dan kemanusiaannya yang terpupuk begitu terserlah dari segi jurusan pengajiannya.

Sharifah Khatreena merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perhubungan Antarabangsa dan Politik dari Universiti Melbourne yang diterimanya pada 2015. Kini, pada usia semuda 22 tahun, beliau sedang mengikuti pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Sosiologi dan Antropologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau juga menyimpan impian untuk meneruskan pengajian sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).

"Saya memang mementingkan pendidikan terutamanya tentang masyarakat dan kebudayaan, saya berharap dengan apa yang saya pelajari membolehkan saya menyumbang kepada masyarakat.

"Apabila saya mendampingi rakyat yang merupakan golongan pelajar dalam sesuatu majlis, mereka biasanya mahu bergambar, meminta tip-tip pembelajaran dan sebagainya. Mereka mengganggap saya sebagai role model," ujarnya.

KOSMONLINE

Comments