BAM pergi


Wartawan hiburan Bahyah Mahmod meninggal dunia
20 Jun 2017


KUALA LUMPUR 20 Jun – Wartawan hiburan veteran, Bahyah Mahmood atau lebih mesra disapa sebagai Bam menghembuskan nafas terakhir di Insitut Kanser Negara, Putrajaya pada pukul 5.20 pagi ini.

Allahyarham yang berusia 76 tahun meninggal dunia akibat kanser hempedu.

Jenazah Allahyarham Bam akan dibawa ke kediamannya di No 17 Lorong Enggang 3, Keramat di sini pada pukul 9 pagi sebelum dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan.

Bam merupakan wartawan hiburan yang sangat disegani ramai khususnya dalam kalangan artis-artis popular era 80-an hingga 90-an.

Sepanjang berkhidmat dengan Kumpulan Utusan, Allahyarham Bam pernah menerajui majalah hiburan paling popular URTV.

Allahyarham Bam merupakan isteri kepada bekas Pengarang Mingguan Malaysia, Allahyarham Ahmad Idris yang meninggal dunia pada Februari tahun lalu. – UTUSAN ONLINE

utusanonline


Wartawan hiburan Bahyah Mahmood meninggal dunia
Wartawan Sinar Harian
20 Jun 2017


KUALA LUMPUR - Bekas wartawan hiburan popular tanah air, Bahyah Mahmood, 75, atau lebih dikenali dengan nama BAM, meninggal dunia akibat kanser hati di Institut Kanser Negara, Putrajaya. awal pagi tadi.

Menurut anak Allahyarham, Fadhila Ahmad, 47, ibunya menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 5.30 pagi di institusi rawatan sama arwah bapanya yang juga wartawan veteran Ahmad Idris meninggal dunia pada Februari tahun lepas.

"Arwah ibu saya sudah tiga bulan disahkan menghidap penyakit kanser hati dan sejak dua bulan lepas dia hilang selera makan.

"Susulan itu, arwah dimasukkan ke Institut Kanser Negara sejak seminggu lepas," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Taman Keramat di sini hari ini.

Fadhila berkata, Allahyarham merupakan seorang ibu yang penyayang, rajin bekerja dan pandai membahagikan masa untuk menguruskan rumah tangga walaupun sibuk dalam kerjayanya.



Fadhila, yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik, berkata jenazah ibunya itu akan disembahyangkan di Masjid Al-Ansar dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat selepas waktu Zuhur.

Allahyarham Bam mula aktif dalam bidang penulisan ketika di Singapura pada 1965 dan berpindah ke Kuala Lumpur pada 1967.

Allahyarham kemudian dikenali sebagai penulis ruangan hiburan sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia pada 1980-an dan memegang jawatan terakhir di Utusan Melayu sebagai Pengarang URTV sebelum bersara pada 1996.

Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) pada 1991 sehingga 1993.

Allahyarham, yang merupakan antara pengasas Festival Filem Malaysia anjuran Persatuan Wartawan Hiburan (EJA) pada 1980, meninggalkan tiga anak perempuan dan lima cucu. - Bernama

sinarharian


Penghormatan untuk Bahyah Mahmood
Mustafar A.R.
15 Februari 2015


Selama ini hanya artis diberikan pelbagai anugerah. Tetapi jarang sekali wartawan hiburan yang turut menyumbang dalam pembangunan seni dan hiburan tanah air dihargai dan dikenang jasa mereka. Sedangkan wartawan hiburan menjadi perantara yang menghubungkan karya dalam dunia hiburan dengan khalayak khususnya peminat.

Memandangkan wartawan hiburan seringkali terlepas pandang oleh pihak tertentu dalam soal penghargaan, Wartawan Dan Artis Prihatin Malaysia (Wartisma) dengan kerjasama AF Cendana merancang menganjurkan satu majlis penghargaan kepada wartawan hiburan. Buat permulaan, program penghargaan yang dinamakan Tribute ini akan memberi penghargaan kepada bekas wartawan hiburan yang juga bekas Pengarang majalah URTV terbitan Kumpulan Utusan, Bahyah Mahmood atau nama penanya Bam.

Bam merupakan wartawan hiburan yang berpengaruh dan popular pada dekad 1970-an hingga 1990-an. Ketika era kegemilangannya Bam telah membantu menyemarakkan dunia hiburan dan menaikkan banyak artis.

Pelakon Sonny Abdullah yang bertindak sebagai pengerusi program tersebut berkata, penganugerahan itu bertujuan memberi penghormatan kepada golongan wartawan hiburan yang banyak menyumbangkan jasa dalam dunia hiburan tempatan.

Menurut Sonny, Bam dipilih kerana kegigihannya dalam penulisan sejak menceburkan diri dalam bidang kewartawanan di Singapura pada 1965, sebelum berpindah ke Kuala Lumpur pada 1967 hingga bersara pada 1996.

Kejayaannya mengilap begitu ramai selebriti hingga terkenal seperti Shatifah Aini, Sudirman, DJ Dave, Yusof Haslam, Hail Amir, Noor Kumalasari, Ogy Ahmad Daud, Rafeah Buang, Uji Rashid, Latiff Ibrahim, Dhalan Zainuddin dan Sarina Hashim tidak boleh dipandang ringan.

Bam juga turut bermain muzik, berlakon dalam filem Sri Andalas dan Sri Mersing, drama pentas Tun Mandan, menulis skrip untuk Hiburan Malam Minggu di RTM serta menulis beberapa lirik lagu termasuk untuk Saloma, DJ Dave dan Salamiah Hassan.

Bam juga merupakan salah seorang panel juri yang turut bertanggungjawab memberikan anugerah Seniman Agung P.Ramlee dan Biduan Negara Saloma. Beliau juga pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Finas 1991-1993 dan salah seorang yang mengasas Festival Filem Malaysia anjuran Persatuan Wartawan Hiburan (EJA) pada 1980.

Menurut Sonny lagi, satu anugerah yang diberi nama trofi Anugerah Wartisma akan diberikan kepada Bam. selain trofi, Bam turut menerima wang tunai.

Tribute Bahyah Mahmood akan diadakan pada 12 April di Saloma Bistro, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Bagi meriahkan lagi Tribute Bahyah Mahmood , Mekar Sejambak yang dipimpin oleh pelakon dan penyanyi Ahmad Fauzee akan mempersembahkan rangkaian lagu dan tarian termasuk Aduhai Dinda petikan filem Sri Andalas yang pernah dibintangi oleh Bam.

Lebih menarik lagi kata Sonny, dua lirik lagu ciptaan Bam akan dinyanyikan semula oleh penyanyi asalnya iaitu Kadangkala oleh DJ Dave dan Gelombang yang dipetik dari filem Tiada Esok Bagimu nyanyian oleh Salamiah Hassan.

Sonny juga berharap, pihak yang selama ini mendapat khidmat bakti daripada Bam tampil ke depan untuk sama-sama menjayakan Tribute Bahyah Mahmood.

Dia turut mengucapkan terima kasih kepada produser Yusof Haslam kerana awal-awal lagi telah memberi komitmennya untuk membantu menjayakan Tribute Bahyah Mahmood ini.

Beliau berkata, ini adalah permulaan, sekiranya berjaya dan mendapat sokongan banyak pihak, anugerah ini akan terus diadakan dengan memilih mereka yang benar-benar berjasa yang selama ini terpinggir sama ada dalam kalangan wartawan hiburan atau artis.

ini adalah permulaan, sekiranya berjaya dan mendapat sokongan banyak pihak, anugerah ini akan terus diadakan dengan memilih mereka yang benar-benar berjasa yang selama ini terpinggir sama ada dalam kalangan wartawan hiburan atau artis.

utusanonline



Comments