BAM dan URTV

URTV melangkau lima dekad
Rosli Manah
20 September 2015


Sekitar majlis "Tribute Bahyah Mahmood " atau lebih dikenali sebagai Kak BAM yang merupakan bekas wartawan Utusan Melayu berkhidmat lebih 30 tahun sebelum bersara 20 tahun yg lalu , majlis diadakan dengan kerjasama Wartawan Dan Artis Prihatin Malaysia (Wartisma) di Saloma Bistro

MAJALAH Utusan Radio & TV (URTV) kini sudah berusia 45 tahun. Masih kekal menjadi wadah kepada peminat seni dan hiburan tanah air dengan paparan personaliti serta diari hiburan dari semasa ke semasa.

Ternyata keputusan pihak pengurusan Utusan Melayu (M) Bhd. menerbitkan sebuah majalah hiburan dengan terbitan perdana pada 15 Januari 1970 satu keputusan tepat.

Pihak pengurusan pada masa itu memikirkan perlunya ada sebuah majalah hiburan kerana tidak banyak majalah genre tersebut di pasaran ketika itu.

Sementelah pada masa itu majalah Utusan Film & Sport yang juga terbitan Utusan Melayu sudah diberhentikan penerbitan.

Untuk penerbitan URTV itu sekumpulan wartawan kanan di Utusan Melayu diberi tanggungjawab mengendalikannya dengan AR Kamaludin mengepalainya.

Sarimah Kian Improve. Itulah tajuk utama dengan seniwati Sarimah dipilih sebagai penghias muka hadapan dengan harga pengenalan 30 sen. Pada masa itu Sarimah antara pelakon hebat dunia perfileman Malaysia.

Sesuai dengan namanya, pengisian URTV pada edisi terawal juga mengangkat program televisyen (TV) yang ada pada masa itu. Program Juara Kugiran antara yang mendapat liputan meluas.

Sementelah program itu sendiri diilhamkan apabila melihat semaraknya kugiran yang mahu melangkah ke dunia muzik. URTV antara yang banyak mempromosikan kugiran yang muncul.

Antara kugiran tempatan yang mendapat liputan termasuk Orkes Nirwana, The Zurah, De Fictions dan banyak lagi. Penghibur di kelab turut mendapat tempat dalam URTV.

Pada tahun yang sama URTV juga membuat perubahan untuk memberikan kepuasan kepada pembaca dan harga dinaikkan kepada 40 sen senaskhah.

Dari semasa ke semasa, majalah dwi bulanan itu turut dinaikkan harga dengan harga terkini RM5.00 termasuk GST. Sejak Januari tahun ini URTV kini terbit secara bulanan.

URTV juga mengalami perubahan masthead sesuai dengan perubahan zaman yang dilalui. Daripada Utusan Radio & TV pada era 70-an diberi wajah baharu dengan singkatan URTV sejak era 1980-an hingga sekarang.

Perubahan masthead dianggap perlu untuk menjadikan URTV terus relevan dari zaman ke zaman dan nampak sentiasa segar untuk cita rasa remaja pada zamannya.

Motto URTV juga turut berubah. Kali pertama dengan motto Majalah Hiburan Untuk Semua dan pada era 1980-an hingga sekarang ditukar kepada Majalah Hiburan Paling Popular.

Tahun 1980-an boleh dianggap zaman kemuncak URTV. Pada masa itu golongan selebriti juga semakin bercambah dengan adanya stesen televisyen swasta dan pertambahan bahan tempatan di kaca TV.

URTV menjadi lebih selektif dengan hanya memilih nama-nama popular sebagai penghias muka depan dan pengisian dalaman. Sebab itu artis turut berasa tempias populariti apabila menghiasi dada majalah URTV.

Sepanjang 45 tahun ini banyak nama besar dalam bidang kewartawanan hiburan memberi sentuhan mereka kepada URTV. Antaranya Bahyah Mahmood (BAM), Juwie, Rosie Hashim, Norshah Tamby, Mustafa AR, Norbaya Musa, Muzlina Abu Bakar, Huzz, Fatimah Hassan dan ramai lagi.

Bahyah atau BAM menjadi nama yang sangat sinonim dengan URTV. Dia antara yang menjadi wartawan sejak awal dan menjadi peneraju URTV daripada pertengahan era 1970-an hingga 1990-an.

“URTV sebuah majalah hiburan yang layak dilabel sebagai majalah legenda kerana kebanyakan kita mengenali URTV dari generasi muda zaman 70-an sehingga anak muda hari ini mengenali dan mengikuti perkembangan hiburan melalui URTV,” kata bekas Pengarang URTV (2008-2014), Huzz.

Huzz yang juga pernah menjadi wartawan URTV pada 1993 hingga 2001, berasa bangga kerana pernah menerajui majalah yang pada awalnya dipelopori oleh bapanya sendiri, Allahyarham AR Kamaludin.

Wartawan generasi baharu URTV, Fadhil Abdollah atau nama penanya, Deel Anjer menganggap penglibatannya sebagai wartawan majalah tersebut sebagai satu penghargaan yang tidak ternilai harganya kerana majalah yang dikenali semasa masih kanak-kanak itu sebagai sebuah majalah yang gah.

“Saya rasa kerdil bila sebaris dengan nama-nama besar yang pernah menaikkan URTV, itu memberi saya semangat dan inspirasi untuk menghasilkan sesuatu yang boleh dijadikan rujukan selepas ini,” kata Deel yang menyertai URTV pada 2013.

utusanonline 


Bekas Wartawan Hiburan, Bahyah Mahmood Terima Anugerah

Oleh: MUHAMMAD ADNAN
13 April 2015

Bahyah (dua dari kiri) bersama Puan Sri Masnah Rais dan rakan artis yang hadir.

KUALA LUMPUR: Bekas wartawan hiburan tanah air, Bahyah Mahmood, 73, menjadikan keluarga sebagai pemangkin semangat dalam dunia kewartawanan hiburan sehinga menerima anugerah tribute yang dianjurkan khas oleh Persatuan Wartawan dan Artis Prihatin Malaysia (Wartisma) pada Ahad.

Bahyah atau lebih dikenali dengan gelaran Kak Bam menerusi ruang pojoknya "Syyhhh.. BAM" menerusi sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia suatu ketika dulu berkata suami dan anak-anak antara individu penting yang memberi sokongan tanpa henti terhadapnya sehingga kini.

"Anugerah ini saya kongsikan dengan semua wartawan hiburan dan juga ahli keluarga terutama suami tersayang, Ahmad Idris kerana sifatnya yang memahami jiwa saya dalam bidang kewartawanan.

"Begitu juga dengan anak-anak saya yang sentiasa memberi semangat untuk melakukan apa jua yang saya inginkan bagi kepuasan diri saya dalam menulis," katanya kepada mStar Online.


Puan Sri Masnah Rais menyampaikakn anugerah tribute kepada Bahyah Mahmod (tiga dari kiri) sambil disaksikan rakan-rakan artis.

Selain itu, Bahyah juga melahirkan rasa terharu kerana beliau menjadi wartawan pertama yang terpilih oleh Wartisma untuk menerima anugerah tribute tersebut.

Beliau turut berpesan agar wartawan masa kini perlu menjadikan profesion kewartawanan sebagai tanggungjawab besar dalam menabur bakti buat semua pihak.

"Saya tidak sangka untuk menerima penghargaan ini dan sangat berterima kasih serta berharap usaha Wartisma akan menjadi pencetus semangat dan pembuka jalan kepada peningkatan profesion kewartawanan khususnya dalam bidang hiburan.

"Sebagai wartawan, kita perlu menjadikan bidang yang kita cintai ini satu bakti yang disemai untuk mensejahterakan kehidupan orang lain dan berjasa kepada agama serta negara," katanya.

Disamping itu, penyanyi terkenal, Salamiah Hassan yang membuat persembahan pada majlis tersebut turut menyatakan tribute seperti ini perlu diteruskan untuk membalas jasa wartawan.

Salmiah juga menyifatkan Bahyah seorang wartawan yang sangat bagus dan antara yang menaikkan namanya di dalam insdusrti hiburan serta seorang yang pandai menyimpan rahsia.

"Majlis ini satu tribute yang patut digalakkan lagi bagi mengingati jasa wartawan kerana tiada wartawan maka artis tidak mampu berdiri sehingga kini.

"Sebagai seorang anak seni, kak Bahyah seorang yang sangat berhemah dalam penulisannya serta boleh dipercayai untuk menyimpan rahsia kerana saya selalu kongsi masalah peribadi bersamanya," katanya.

Bahyah berkhidmat selama 32 tahun bersama Utusan Melayu dan bersara pada Oktober 1997 dengan jawatan terakhirnya sebagai editor URTV.

Selain menjadi wartawan, beliau juga menyumbang dalam beberapa karya seni antaranya menulis lirik lagu Saloma, Salamiah Hassan, D.J. Dave dan Ebby Saiful serta menulis skrip untuk program Hiburan Minggu Ini di RTM pada 1976.

Bahyah yang dikurniakan bakat serba boleh turut menjadi pelakon dalam filem Sri Mersing pada 1961 dan sebauh lagi filem Sri Andalas pada 1966.

Majlis tribute Bahyah Mahmood yang diadakan di Saloma Theatre & Restaurant itu turut dihadiri oleh Puan Sri Masnah Rais, Datuk Yusof Haslam, Datuk Sonny Abdullah, Datuk Rosnani Jamil, Datuk Ahmad Fauzee, Mustafar A.R, rakan-rakan artis dan juga media.

mstar

Comments