28 Apr 2017

Pertabalan DYMM Yang Dipertuan Agong Ke-15
















Transkrip Penuh Titah Sultan Muhammad V Sempena Pertabalan Sebagai Yang di-Pertuan Agong


KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Berikut adalah titah Sultan Muhammad V pada Istiadat pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, di Istana Negara, di sini hari ini:

Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Bismillahir Rahmannir Rahim.

Alhamdulillah Rabbil Alamin, Wabihi Nasta’in.

Alhamdulillah, sesungguhnya Beta menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah izin-Nya jua, Beta dapat berangkat ke istiadat pertabalan Beta pada hari ini.

Pada saat yang berbahagia, ketika yang bermakna dan detik yang bersejarah ini, Beta berasa sungguh terharu dan amat menghargai kesudian perkenan keberangkatan Yang Maha Mulia Raja-Raja, Wakil-Wakil Raja, Permaisuri-Permaisuri serta Yang Terutama Yang Di-Pertua-Yang Di-Pertua Negeri dan Toh Puan-Toh Puan meraikan istiadat pertabalan pada hari ini.

Beta dengan perasaan yang tulus ikhlas menzahirkan ucapan junjung kasih kepada Paduka Nenda, Paduka Ayahanda dan Paduka Kekanda Raja-Raja yang telah memberi kepercayaan kepada Beta untuk memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong Kali Yang Ke Lima Belas.

Beta yakin, dengan semangat muafakat dan persefahaman yang padu antara kita, Beta akan dapat menunaikan tanggungjawab Beta dengan lebih berkesan, insya-Allah.

Beta juga berharap agar Paduka Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dapat memberi titah pandangan dan nasihat dalam memastikan Malaysia terus menjunjung kedaulatan Raja Berpelembagaan di tanah bertuah ini.

Beta juga merasa terharu dan berbesar hati atas ikrar taat setia dan tanda kasih kepada Beta yang telah dilafazkan sebentar tadi oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang mewakili pihak kerajaan, anggota perkhidmatan awam, anggota keselamatan dan seluruh rakyat jelata, Beta ucapkan ribuan terima kasih.

Tahun 2017 ini membawa makna yang amat besar kepada Beta dan juga seluruh rakyat Malaysia. Selain daripada istiadat pertabalan Beta, kita juga menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan yang ke-60.

Beta berharap agar sambutan ulang tahun kemerdekaan pada tahun ini disambut dengan suasana meriah dan harmoni, tambahan pula sambutan ini hampir dengan Hari Raya Aidiladha yang disambut oleh seluruh umat Islam.

Sebagaimana yang telah terbukti, bahawa rakyat pelbagai kaum yang menganuti pegangan agama yang berbeza, serta mengamalkan budaya dan gaya hidup yang bervariasi, mampu hidup bersama dalam keadaan aman harmoni dan saling hormat-menghormati di antara satu sama lain.

Beta berharap rakyat Malaysia akan terus bersatu mengekalkan perpaduan, bertolak ansur, bersepakat dalam memikul tanggungjawab terhadap negara yang berdaulat, kerana ini merupakan keunikan dan sumber kekuatan kita selama ini.

Sungguhpun negara kita sedang dilanda kelembapan ekonomi, langkah-langkah khusus yang diambil oleh kerajaan telah berjaya mengatasi tekanan-tekanan dari luar terhadap ekonomi negara terutamanya dalam menangani penyusutan nilai ringgit.

Di samping itu, rakyat pula telah menunjukkan sokongan penuh kepada strategi yang dirangka oleh kerajaan bagi memulihkan ekonomi negara.

Kita tidak akan mampu untuk melangkah lebih jauh sekiranya kita tidak bersama-sama dalam usaha-usaha meningkatkan ekonomi kita hari ini.

Usaha pembangunan negara seterusnya perlu ditunjang oleh modal insan yang berkualiti. Hanya dengan inilah, kita dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing serta mampu menerokai dan memanfaatkan segala kelebihan dan sumber yang kita miliki.

Hakikatnya, kualiti modal insan negara adalah penentu utama kejayaan Malaysia pada masa hadapan. Setiap dari rakyat Malaysia memainkan peranan dan tanggungjawab mereka dan rakyat tidak boleh cuai dan alpa dalam melaksanakannya kepada negara.

Kepada generasi muda, pelapis negara, lengkapkanlah diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran.

Beta percaya bahawa tidak ada noktah dalam menuntut dan mencari ilmu. Justeru, Beta menyeru kepada setiap rakyat Malaysia, khususnya generasi muda untuk terus mendalami ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan negara.

Sesungguhnya Malaysia adalah satu-satunya negara kita. Demi negara tercinta ini, sama-samalah kita menjaga maruah dan kehormatannya.

Sedarlah apa jua yang telah kerajaan lakukan hari ini akan diwariskan generasi muda sebagai penerus perjuangannya.

Segala peluang yang telah disediakan oleh kerajaan perlu direbut dan dimanfaatkan sepenuhnya demi kelangsungan Negara.

Beta berharap rakyat Malaysia terus berpegang teguh kepada nilai, akhlak, moral dan etika yang baik. Jadilah insan yang mulia, insan yang berilmu dan berpekerti tinggi serta menyedari akan tanggungjawabnya kepada negara.

Mengakhiri titah ini, Beta amat berterima kasih kepada pihak kerajaan dan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri serta anggota kabinetnya atas sokongan berterusan yang diberikan Beta untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Sekali lagi Beta mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih di atas ucapan tahniah yang diberikan oleh semua pihak sempena istiadat pertabalan Beta pada hari ini.

Beta berdoa agar negara Malaysia yang tercinta ini akan terus dilimpahi keberkatan rezeki, kekal aman sentosa dan dijauhi Allah Subhanahu Wata’ala daripada segala marabahaya, malapetaka dan bencana.

Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.

BERNAMA


Profil Sultan Muhammad V


KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Bersempena pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, Istana Negara telah mengeluarkan profil Seri Paduka Baginda seperti berikut:

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V telah diputerakan pada tanggal 6 Oktober 1969 di Istana Batu, Kota Bharu, Kelantan.

Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail 1 Kota Bharu sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur.

Baginda telah dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada ulang tahun keputeraan baginda yang ke-16 iaitu pada 6 Oktober 1985.

Minat baginda yang mendalam terhadap bidang ilmu dan pendidikan telah mendorong baginda untuk berangkat ke England bagi menyambung pelajaran di Oakham School Ruthland sehingga tahun 1989.

Seterusnya baginda melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengajian Diplomatik di St. Cross College, Oxford dan dalam bidang Pengajian Islam di Oxford Centre sehingga 1991.

Pada tanggal 24 Mei 2009, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda telah dilantik menjadi Pemangku Raja Kelantan.

Pada 13 September 2010, baginda telah menaiki takhta Kerajaan Negeri Kelantan dan menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29.

Seterusnya pada 13 Disember 2011, baginda telah dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-14 oleh Majlis Raja-Raja dan pada tahun 2016, Majlis Raja-Raja telah melantik baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-15 berkuatkuasa pada 13 Disember 2016 untuk tempoh lima tahun.

Istiadat melafaz sumpah jawatan telah disempurnakan pada 13 Disember 2016.

Bidang pendidikan merupakan bidang yang amat diberi perhatian oleh Seri Paduka. Sebagai Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), baginda akan berangkat bercemar duli ke setiap istiadat konvokesyen yang dianjurkan universiti berkenaan.

Dalam bidang ketenteraan pula, sifat kepimpinan baginda senantiasa dikagumi. Seri Paduka Baginda telah dilantik menjadi Kolonel Yang Di-Pertua Rejimen Artileri DiRaja sehingga kini. Dengan pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

Baginda turut melibatkan diri dalam pelbagai pertubuhan kebajikan dan sukan selain aktif berperanan dalam organisasi berkaitan keselamatan dan ketenteraan.

Baginda amat meminati sukan lasak seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda dan ekuestrian selain meminati sukan memanah dan menembak dan gemar memelihara hidupan liar.

Selain daripada aktif dalam persatuan, baginda juga mempunyai minat memelihara haiwan seperti kuda dan rusa. Baginda amat mengambil berat terhadap pengawasan binatang peliharaan tersebut, justeru tanpa rasa jemu, baginda sendiri akan berangkat bagi memastikan tahap penjagaan yang sempurna dilaksanakan di taman haiwan berkenaan.

Seri Paduka Baginda telah berkenan menjadi Penaung kepada pelbagai persatuan dan kelab iaitu:-

- Persatuan Menembak Kelantan;

- Yayasan Sultan Kelantan (YSK);

- Majlis Orang-Orang Besar DiRaja Kelantan

- Persatuan Perubatan Anti-Penuaan Aestetik Rejeneratif Malaysia (SAAARMM);

- Persatuan Bulan Sabit Merah;

- Persatuan Sukan Berkuda;

- Persatuan Motor 4x4;

- Persatuan Memanah

Sultan Muhammad V telah dianugerahkan dengan pelbagai Darjah Kebesaran iaitu: DK (1986), DMN (2010), DK (Selangor - Januari 2011), DK (Negeri Sembilan - April 2011), DK (Johor - 2011), DK (Perak - Julai 2011), DK (Perlis - Oktober 2011), DK (Kedah - Mac 2012), DK (Terengganu - November 2014), SPMK, SJMK, SPKK, SPSK dan DKM (2017).

Seri Paduka Baginda sememangnya terkenal dengan sifat seorang Raja yang amat berhemah tinggi, mempunyai tutur kata yang lemah-lembut dan sopan santun. Baginda juga adalah seorang pemerintah yang dididik dari kecil dengan nilai-nilai pekerti serta tingkah laku yang berasaskan kepada ajaran agama dan ilmu keduniaan yang luas.

Baginda amat mengambil perhatian dalam hal-ehwal agama dan juga kepada rakyat jelata terutama yang menyentuh bidang kuasa baginda sendiri.

Antara program yang diadakan hasil ilham baginda adalah Program Qiam With Me dan Walkathon Diraja yang telah bermula sejak tahun 2011 di Negeri Kelantan.

Baginda juga begitu prihatin akan kemakmuran dan keharmonian hidup rakyat jelata. Hal demikian terserlah dalam tindakan baginda menangani permasalahan hal-ehwal kemasyarakatan dan keagamaan.

Selain itu, baginda merupakan seorang raja berjiwa rakyat dan sangat dekat di hati rakyat. Tidak hairanlah jika baginda menjadi seorang pemerintah yang dikasihi dan disegani seluruh rakyat Malaysia.

BERNAMA


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena