21 Apr 2017

Hari Kartunis Malaysia

Pengiktirafan kartunis Malaysia



Pelancong asing teruja melihat lukisan kartun mengenai budaya Malaysia yang dipamerkan di hadapan Rumah Kartun dan Komik Malaysia.

Tanggal 1 April menjadi detik bersejarah buat kartunis-kartunis negara ini apabila Kelab Kartunis Malaysia (KKM) mengisytiharkan sebagai Hari Kartunis Malaysia.

Pemilihan tarikh keramat tersebut bersempena hari ulang tahun majalah humor nasional, Gila-Gila.

Presiden KKM, Mohd. Desa Omar berkata, sambutan tersebut merupakan julung-julung kali diadakan di negara ini dalam memberi pengiktirafan kepada kartunis-kartunis.

Beliau yang dikenali sebagai Juragan dalam kalangan kartunis negara memberitahu, kelahiran majalah Gila-Gila amat penting dalam perkembangan kartunis dan kartun negara.

Katanya, rentetan daripada kelahiran naskhah tersebut, muncul banyak majalah humor di negara ini sehingga menjadi wadah kepada para kartunis berkarya.

“Hari Kartunis ini diwujudkan sebagai menghargai jasa dan pengorbanan para kartunis tempatan dalam menghiburkan rakyat Malaysia sejak tahun 1930-an.

“Pada tahun ini, kita meraikannya buat pertama kali dalam majlis yang agak santai bersama para kartunis baharu dan lama,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Rumah Kartun dan Komik Malaysia di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KKM telah memilih Kartunis Nadi Aspirasi Masyarakat sebagai tema sambutan Hari Kartunis Malaysia pada tahun ini.

Menurut Juragan, tema tersebut dipilih bagi memberi penghormatan kepada peranan yang dimainkan oleh kartunis dalam masyarakat.

“Kartunis adalah sebahagian daripada masyarakat. Kartunis sebenarnya menzahirkan harapan dan aspirasi kepada masyarakat melalui kartun,” ujarnya.

Sempena sambutan Hari Kartunis Malaysia, KKM memberi anugerah Tokoh Kartunis 2017 kepada kartunis, Rosidi Ismail atau Rossem sebagai pengiktirafan terhadap karyanya.

Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh ikon kartun Malaysia, Datuk Mohammad Nor Khalid atau Datuk Lat.

Sambutan pada tahun ini turut dimeriahkan dengan Pameran Sejarah dan Perkembangan Kartun di Rumah Kartun dan Komik Malaysia.

Pameran tersebut mengetengahkan hampir 500 karya kartun sejak tahun 1936. Antara yang dipamerkan, komik awal Mahsuri oleh Saidin Yahya, Tuah Adek (Halim Teh), Puteri Bisa (Raja Hamzah) dan Pemburu Maut (Sulaiman Awang).

“Pameran ini diadakan bertujuan untuk memberi maklumat kepada pengunjung bahawa kartun dan komik negara telah wujud sebelum merdeka,” katanya.

kosmo


Hari Kartunis tanda pembukaan rasmi Rumah Kartun dan Komik Malaysia

DATUK LAT (tengah) bersama Penaung Rumah Kartun dan Komik Malaysia, Datuk Akmar Hisyam Mokhles (dua kanan) dan Pengasas Majalah Gila-Gila, Jaafar Taib (kanan) teruja memperkatakan karya yang dipamerkan di Rumah Kartun dan Komik Malaysia di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN ONLINE/MOHD. NAJIB MOHD. NOR

Amirul Aiman Anuar

KUALA LUMPUR 1 Apr. - Sejarah manis industri komik dan kartun tercatat buat julung kalinya dengan pembukaan rasmi Rumah Kartun dan Komik Malaysia (RKKM) di Taman Botani Perdana di sini serentak dengan pengisytiharan Hari Kartunis Malaysia hari ini.

Galeri yang mengumpul lebih 500 karya seawal tahun 30-an itu dirasmikan Ikon Kartunis Negara, Datuk Mohd. Noor Khalid atau Datuk Lat yang turut dimeriahkan lebih 80 kartunis dari pelbagai generasi hadir melahirkan sokongan.

Lebih 60 kartunis termasuk naskhah asal lakaran tangan beberapa tokoh besar dalam landskap kartun tanah air iaitu Allahyarham Jab Had (Rejabhad), Zainal Buang Hussein dan Jaafar Taib turut dipamerkan.

Dibuka setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 4 petang manakala pada hujung minggu dan cuti umum akan dilanjutkan ke pukul 5 petang dengan bayaran masuk RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak.

Rata-rata pengunjung yang hadir kelihatan teruja dapat menyaksikan karya naskhah komik popular era 70-an iaitu Gila-Gila sambil berswafoto dengan kartunis pujaan masing-masing. - UTUSAN ONLINE

utusanonline



Wajar 1 April diisytihar Hari Kartunis



 Kartunis tanahair meriah sakan meraikan Hari Kartunis

Adam Salleh

Yang dicanangkan di media sehari dua ini, 1 April adalah Hari Kartunis. Yang ghairah mencanangkan tarikh berkenaan menjadi Hari Kartunis adalah golongan kartunis itu sendiri. Ia bersempena perasmian Rumah Kartun dan Komik Malaysia (RKKM) di Taman Botani, Tasik Perdana pada Sabtu lalu dan 1 April juga detik Majalah Gila-Gila diterbitkan pada 1978.

Bukan tidak boleh ‘masuk bakul angkat sendiri’ tetapi lebih molek sesuatu hari itu mahu diisytiharkan sesudah mendapat mandat rasmi daripada kerajaan. Langkah pertama golongan kartunis ini sudah cantik, belum setahun jagung tetapi mereka mendapat lokasi strategik untuk RKKM dan penaungnya pula adalah Datuk Akmar Hisyam Mokhles (Setiausaha Akhbar PM).

Bersempena hari bersejarah itu, Pengasas RKKM juga Pengerusi Yayasan Kartunis Malaysia, Mohd Desa Omar (Jugaran) minta kerjasama penulis menjadi moderator sesi Sembang Kartun Bersama Metro Ahad dengan panel, Datuk Lat, Jaafar Taib, Dinie Juri, Rossem, Gayour dan Lambok.

Julung kali berhadapan dengan tokoh kartunis veteran seperti Lat, Jaafar Taib, Dinie Juri dan Rossem dan juga julung kali menjadi moderator mengendalikan enam ahli panel sekali gus, sekalipun sedikit kekok namun keterujaan terhadap bakat seni mereka itu nyata membakar semangat untuk bersemuka terutama dengan Jaafar Taib, tokoh penting di sebalik Gila-Gila.

Melalui kesempatan itu, penulis jelaskan usaha memilih sehari sebagai Hari Kartunis sememangnya kena pada masanya dengan mengambil kira jasa ditaburkan kartunis tanah air kita. Cuma perjuangan yang singkat bermula pada hari berkenaan hanya ketentuan Tuhan apa yang dihajati itu dapat dimakbulkan. Sebabnya penulis mengambil kira bagaimana Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) memperjuangkan sekian lama agar kerajaan mengiktiraf sehari sebagai Hari SENIMAN, tetapi acapkali usaha mereka itu menemui jalan buntu.

SENIMAN ditubuhkan pertengahan 1970-an dengan presiden pertama Zainuddin Zimbo (Allahyarham), seterusnya diterajui anak seni lain seperti Datuk Baharuddin Omar (Anjang Aki), Abu Bakar Kassim, Datuk Ismail Hudson (Allahyarham), Datuk Aziz Singah (Allahyarham), Datuk Mustapha Maarof (Allahyarham), Harun Salim Bachik (Allahyarham) dan kini Zed Zaidi.

Momentum perjuangan mereka untuk Hari Seniman diiktiraf tidak pernah pudar walaupun beralih pucuk kepemimpinan. Takdirnya ketika Mustapha menjadi presiden, kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) bersetuju mengisytiharkan 29 Mei setiap tahun sebagai Hari Seniman Malaysia, bermula pada 2008.

Tarikh 29 Mei itu dipilih SENIMAN bagi mengenang tarikh kematian Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee pada 1973. Sekalipun hampir sembilan tahun Hari Seniman itu diraikan, masih terdengar suara sumbang minta kerajaan tukar tarikh itu ke 22 Mac iaitu tarikh kelahiran P Ramlee pada 1929 kerana tarikh kelahiran lebih molek berbanding tarikh kematian.

Dalam hal ini percaturan kartunis diterajui Juragan memilih 1 April lebih bijak kerana ia tarikh sebagai penghargaan kepada Majalah Humor Gila-Gila. Sekalipun 1 April itu jatuh bersempena dengan Hari RTM (Radio Televisyen Malaysia), itu tidak menjadi hal kerana Harian Metro sendiri diwujudkan pada 25 Mac 1991 dan 25 Mac itu juga Hari Polis.

Bagi generasi menempuh remaja dan dewasa pada hujung 1970-an dan 80-an, Gila-Gila boleh dikatakan antara majalah humor tanpa disedari membentuk otak menjadi progresif. Ada generasi itu kini membesar menjadi pemimpin yang mempunyai jati diri tersendiri tanpa berfikiran kacau bilau kerana masa muda mereka itu diisi dengan bacaan murni.

Tidak seperti sekarang kemasukan pelbagai bahan komik asing yang diterjemahkan, gajet elektronik selain kian kemaruk remaja dan mereka bersekolah rendah menghabiskan masa berjam-jam di kafe siber membentuk peribadi anak kita jadi liar. Harus kita akui di era kemuncak Gila-Gila dahulu, budaya mat rempit tidak ekstrem seperti sekarang.

Awal 1980-an , tidak ceria Aidilfitri tanpa membeli majalah Gila-Gila. Bagi penulis yang adik beradik seramai 12 orang, dengan lapan lelaki, senaskhah majalah itu pastinya menjadi rebutan. Berpindah satu tangan ke satu tangan, soal lusuh lumat itu sudah biasa kerana yang penting dapat membaca isi kandungannya agar Aidilfitri turut ceria bersama Gila-Gila.

Bukan seorang dua pula yang menjadikan majalah humor itu sebagai peneman dalam perjalanan (khususunya bas) ketika pulang ke kampung halaman. Pendek kata Gila-Gila ada dijual di mana saja. Membacanya berulang kali menjadi bertambah seronok, begitulah impak majalah Gila-Gila hingga edarannya pernah mencecah lebih 200,000 naskhah.

Edarannya mengatasi majalah popular berkonsepkan wanita diterbitkan sebuah syarikat akhbar terkenal. Fenomena dicetuskan Gila-Gila memberi inspirasi kepada kartunis muda lain lalu munculllah Geli Hati, Ujang, Apo, Batu Api dan beberapa lagi yang sealiran dengan Gila-Gila. Sambutan diterima daripada pembaca tidak mengecewakan, seperti mana Ujang turut mencatat edaran tertinggi, namun kini segala kejayaan itu hanya tinggal kenangan kerana majoriti majalah itu sudah pun gulung tikar kecuali Gila-Gila meneruskan perjuangan.

Sekalipun sudah lama meninggalkan Gila-Gila nama watak seperti Periwira Mat Gila, Tan Tin Tun, Pendekar Mato Tigo, Ayob Anak Tulakang dan Lagak A Mahmud terakam kemas di ingatan. Dek Gila-Gila, pemikiran remaja seperti penulis ketika itu dapat menepis bahan bacaan lucah, kalau pun ada yang mencelah cuma Mona Gersang, tidak seperti hari ini remaja seawal usia sudah dirosakkan dengan pelbagai bahan lucah di Internet dek ledakan teknologi maklumat tanpa mengenal sempadan, maka bertambah meriahlah kes pembuagan bayi.

Natijahnya, menjadi tanggungjawab besar pada Juragan bersama rakan kartunis lain untuk mendesak kerajaan agar mengiktiraf sehari sebagai Hari Kartunis. Nama-nama seperti Jaafar Taib, Rejabhad, Mishar, Zainal Buang Hussein, Ujang atau Imuda sepatutnya sudah berstatus ‘datuk’ sekiranya pihak tertentu memahami pengertian orang berbudi, kita berbahasa.

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2017 @ 3:46 AM

metro

 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena