8 Mar 2017

Melayu Usman Awang




Akal budi Melayu Usman Awang
Oleh Dr Aminudin Mansor
2 Jan 2011

Meneliti dan mengkaji sajak-sajak Usman Awang sarat dengan keindahan estetik dan akal budi Melayu. Ia bagaikan meredah belantara yang penuh dengan nilai-nilai keindahan dan keasyikan. Pelbagai persoalan, fikiran, idea, keindahan penciptaan dan mutu seni yang tercipta indah.

Usman Awang bukanlah nama asing dalam persajakan Melayu. Melalui puisi menjadi wadah karya sastera yang dapat menyampaikan fikiran dan lontaran kritikan ditandai dengan kelembutan, kejernihan dan keindahan bahasa.

Secara tersurat dan tersirat penyair Usman Awang mahir menggunakan bahasa. Keindahan bahasa di tangan Usman Awang terukir dalam pelbagai genre cerpen, drama dan juga puisi.

Akal budi Melayu sangat ketara dalam puisi-puisi Usman Awang yang dilahirkan dalam kalangan masyarakat nelayan di Kuala Sedili, Johor, kemudian menjadi anggota polis dan seterusnya menjadi wartawan dan sasterawan.

Pengalamannya yang rencam dapat melihat dengan mendalam akal budi Melayu. Dalam tempoh sedekad Usman Awang telah menghasilkan lebih 200 buah puisi. Antara puisinya, Pak Utih, Pak Utih (2), Melayu Johor, Harga Diri, Ayah Belum Pulang, dan Anak-Anak Tercinta Jangan Menangis. Keseluruhan puisi ini menyentuh tentang akal budi Melayu-Islam yang mementingkan kebaikan dalam kehidupan seharian dalam keluarga dan masyarakat.

Akal budi Melayu mencakupi hasil karya sastera yang menyentuh tentang sejarah, adat istiadat, salasilah, agama, adab, budaya dan bahasa Melayu. Pujangga-pujangga Melayu lama seperti Tun Seri Lanang, Hamzah Fansuri, Bukhari al-Jauhari, Raja Ali Haji, Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi dan Zaaba dan beratus pujangga lain tidak terlepas menyentuh tentang akal budi Melayu.

Hal ini diteruskan oleh Usman Awang melalui karyanya khususnya puisi-puisinya. Sebagai contoh puisi Uda dan Dara yang mengisahkan kasih sayang agung antara teruna dan dara Melayu.

Uda dan Dara

Bersumpah keramat cinta
Kering lautan runtuh langit
Terlebih gunung gugur matahari
Berdua bersama sehidup-mati.

(Petikan puisi Uda dan Dara)

Begitu agung dan setianya cinta sejak dari awal berkasih, bercinta, berumah tangga hinggalah hidup bersama, sehidup mati. Inilah budaya Melayu-Islam yang diterapkan dalam percintaan sehingga perkahwinan kekal ke akhir hayat. Penyair telah melihat ke hadapan keruntuhan dan perceraian boleh menghancurkan tamadun Melayu.

Begitu juga dengan puisi Ke Makam Bonda yang mempamerkan kasihnya kepada ibu kesayangan sehinggalah ibunya meninggal dunia. Kasihnya tidak pernah putus dan sentiasa mengunjungi dan berdoa di pusara ibunya. Akal budi Melayu-Islam juga terpancar melalui sajak ini.

Perhatikan dua rangkap terakhir sajak ini:

Nisan batu kami tegakkan,
Tiada lagi lalang memanjang,
Ada doa kami pohonkan,
Air mawar kami siramkan.

Senyum kemboja menghantar kami,
Meninggalkan makam sepi sendiri,
Damailah bonda dalam pengabdian,
Insan kerdil menghadap Tuhan.
(Petikan puisi Ke Makam Bonda 1956).

Berkaitan dengan ketuanan dan kedaulatan Melayu, Usman Awang melalui puisi Melayu menjelaskan dengan panjang lebar tentang definisi dan akal budi Melayu. Puisi ini seharusnya dibaca dan difahami oleh generasi sekarang untuk mengenal dan mengetahui salasilah Melayu.

Sikap dan pemikiran penyair Usman Awang sangat jelas tentang Melayu. Begitu juga bagi para pemimpin politik Melayu seharusnya memahami bait terakhir puisi Melayu yang berbunyi,

Bagaimanakah Melayu abad dua
puluh satu,
Masihkah tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memikir ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara merdeka.

(Petikan puisi Melayu 1996).

Ironinya, penyair dan penulis juga memainkan peranan penting dalam menegakkan budaya, bahasa, politik dan ekonomi bangsanya. Akal budi Melayu-Islam adalah tonggak penting ke arah kemajuan demi mencipta negara maju berpendapatan tinggi. Bangsa yang sanggup bersaing dan berusaha akan dapat mencipta tamadun dan peradaban ke arah kecemerlangan masa depan. Bangsa yang berilmu tidak mudah ditipu daya dan digula-gulakan dalam politik.

Melalui akal budi Melayu seseorang itu dapat menilai kebenaran dan kebatilan. Selain itu dapat membentuk tingkah laku; jiwa sensitif, rasional dan intelek. Melalui pemikiran yang waras dan tajam akan dapat meningkatkan kefahaman dan keyakinan terhadap isu agama, politik dan sosial.

utusan online




MELAYU
SN Usman Awang

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu,
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu,
Mamak dan Malbari serap ke Melayu,
Malah mua‘alaf bertakrif Melayu

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali

Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh di cari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturahim hati yang murni
Maaf diungkap sentiasa bersahut
Tangan dihulur sentiasa disambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:

“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad kedua puluh satu
Masihkah tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara merdeka.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena