Jins Shamsuddin Meninggal Dunia

Seniman Negara Jins Shamsuddin Meninggal Dunia
1 Mac 2017
Oleh: ARIFFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Baru sahaja dunia hiburan dikejutkan dengan kehilangan pengacara Ary Malik, kali ini Seniman Negara iaitu Tan Sri Dr Jins Shamsuddin pula meninggal dunia.

Anaknya Putera Hang Jebat berkata, pada mulanya Allahyarham mengadu sesak nafas ketika sedang menikmati makanan di rumah mereka di Hulu Klang dekat sini.

Katanya, ayahnya itu kemudian dibawa ke klinik berdekatan iaitu Klinik Idzham di Taman Melawati oleh ibunya iaitu Puan Sri Halijah Abdullah dengan bantuan jiran untuk mendapatkan rawatan.

Tambahnya, apabila tiba di klinik berkenaan, keadaan Allahyarham menjadi lemah sehinggalah beliau menghembuskan nafas terkahir.


Jins Shamsuddin pernah dipanggil James Bond Asia atas kejayaannya dalam filem Gerak Kilat terbitan produksi dari Hong Kong suatu masa dahulu.

Ujar Jebat lagi, jenazah akan dibawa pulang ke rumah mereka malam ini (Rabu) untuk urusan seterusnya.

Kesihatan Jins, 82, semakin merosot sejak beberapa tahun lalu akibat penyakit Alzheimer yang dihidapinya.

Jins atau nama sebenarnya Mohamed Jins Shamsuddin dilahirkan di Taiping, Perak pada 5 November 1935 dan mula berlakon selepas berjaya dalam uji bakat yang dilakukan oleh P. Ramlee.

Beliau memegang watak utama dalam filem Pancha Delima pada tahun 1957 dan menjadi ejen perisik dengan watak Jefri Zain dalam Gerak Kilat.

Filem lakonan dan arahannya iaitu Bukit Kepong antara karya yang turut mengangkat nama Allahyarham terutamanya dalam penghasilan filem berunsur sejarah.

Filem-filem yang menggunakan judul 'Esok' juga antara kelainan dalam pengarahan Jins iaitu Esok Untuk Siapa, Esok Masih Ada dan Tiada Esok Bagimu.

Dalam bidang politik, Allahyarham pernah diangkat sebagai Senator dan seterusnya menerima ijazah kehormat Sarjana Persuratan dari Univesiti Sains Malaysia pada tahun 1999 serta ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari universiti yang sama pada 2010.

Pada tahun 2009, Allahyarham diberi pengiktirafan oleh kerajaan dengan menganugerahkan kepadanya Anugerah Seniman Negara.

Jenazah dijadual akan dikebumikan di Masjid Al-Ridhuan, Hulu Klang kira-kira pukul 11 pagi Khamis.

mstar


Kemaskini terkini jam 9 malam 1 march 2017



Kenyataan Media Persatuan Seniman Malaysia
Siaran Segera

Maklumat lanjut

Dimaklumkan bahawa arwah Tan Sri Jins Shamsudin kini telah dibawa pulang kerumah beliau dialamat 1048 Jalan Datuk Abu Samah, Kg Pasir Ulu Klang berikut adalah maklumat berkenaan majlis pengkebumian:

Jenazah akan dimandikan jam 8 pagi esok dirumah arwah dan disembahyangkan di Masjid Ar-Ridhuan Hulu Klang..Jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Hulu Klang bersebelahan dengan Masjid..

Satu sidang media khas akan diadakan dirumah arwah pada jam 9.30 malam nanti..

Hafiz Nafiah
Setiausaha Agung Seniman
8.45 pm
Rumah Arwah
012-2600752

fb persatuan seniman malaysia


Comments