dunia analog

Hidupkan kembali fotografi analog

KOON YIK bersama salah satu kamera vintaj miliknya iaitu model Kodak Autograph 3A yang dihasilkan pada tahun 1914.

Kunjungan kru Jurnal ke pusat beli-belah Publika, Kuala Lumpur untuk bertemu pemilik sebuah kedai kamera filem di situ berjalan lancar.

Dekorasi putih bersih melatari segenap ruang kedai tersebut manakala setiap sudut kedai dipenuhi dengan gantungan gambar-gambar yang dirakam pemilik.

Terletak di aras G1 pusat beli-belah itu, Bang Bang Geng mudah sahaja mencuri tumpuan kerana dekorasi kedai tersebut cukup cantik dan unik.

Pemiliknya, Chin Koon Yik atau lebih mesra disapa Koon Yik mula membuka bicara tentang premis Bang Bang Geng yang sudah memasuki tahun kelima operasi.

“Sebelum ini, saya bekerja di sebuah syarikat teknologi maklumat. Asalnya fotografi hanyalah hobi pada masa lapang sahaja.

“Begitu pun, selepas menyedari tidak banyak kedai yang menghasilkan atau menjual kamera filem, saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan membuka kedai sendiri pada tahun 2013,” ujar Koon Yik ramah.

Sambil menunjukkan koleksi kameranya, lelaki itu mengakui hobi tersebut menyebabkan dia tidak kisah membelanjakan wang yang banyak bagi membeli kamera yang dimahukan.

Bukan untuk dijual

Kesemua kamera di Bang Bang Geng adalah koleksi peribadi Koon Yik.

“Premis ini sebenarnya bukanlah kedai menjual kamera, sebaliknya ia lebih kepada kedai hobi. Saya letakkan kesemua koleksi kamera analog saya untuk dilihat oleh pengunjung yang datang.


Seorang pekerja sedang memproses filem milik seorang pelanggan di Bang Bang Geng.

“Pengunjung boleh bertanya apa sahaja tentang kamera kepada saya dan saya juga menyediakan khidmat servis kamera analog lama milik mereka,” jelas Koon Yik.

Proses rumit

Antara kamera vintaj milik Koon Yik yang paling mencuri tumpuan di situ ialah model Kodak Autograph 3A yang dihasilkan pada tahun 1914 selain beberapa unit kamera perisik yang diletakkan sebagai pameran.

“Kebanyakan kamera filem yang dipamerkan di sini dibeli secara online. Hampir kesemuanya masih lagi berfungsi dan berada dalam keadaan yang baik.

“Antara negara pengeluar kamera analog yang berkualiti dengan harga yang berpatutan ialah Amerika Syarikat. Selain itu, saya juga memiliki beberapa unit kamera analog yang dibeli dari China, Jepun dan Singapura,” ujarnya.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu memberitahu, proses merakam gambar menggunakan kamera analog sememangnya sukar dan memerlukan kepakaran yang tinggi.

“Proses merakam gambar pada zaman dahulu sememangnya sukar kerana untuk menghasilkan gambar yang cantik, jurugambar perlu bijak mengagak jarak dan posisi yang betul supaya gambar yang dihasilkan kemas dan tidak senget.

“Begitu pun, kerumitan menghasilkan gambar secara manual itu sebenarnya merupakan satu seni.



KOON YIK meletakkan hampir 200 unit kamera analog di kedainya sebagai pameran.

“Biarpun sukar, namun saya memperoleh kepuasan setiap kali menghasilkan gambar-gambar menggunakan kaedah-kaedah sebegitu,” ujarnya.

Lelaki itu juga menambah, kecanggihan teknologi kamera kini menjadikan segelintir jurugambar mahu kembali merakamkan gambar menggunakan kamera analog.

Jelas Koon Yik lagi, ada sesetengah pelanggannya yang menganggap gambar yang dirakam bukanlah dianggap sebagai gambar jika ia tidak dicetak seperti zaman dahulu.

Ditanya tentang nama premisnya yang unik, Koon Yik memberitahu, ia diambil daripada nama sebuah filem pada tahun 2010 iaitu Bang Bang Club.

“Ia merupakan sebuah filem dokumentari fotografi yang memaparkan kisah empat orang jurugambar di Afrika Selatan pada tahun 1990-an. Saya mengubah nama ‘club’ kepada geng kerana perkataan tersebut lebih dekat dengan rakyat Malaysia,” jelasnya.

Koon Yik juga menambah, dia akan menganjurkan satu pameran fotografi di pusat beli-belah Publika pada bulan hadapan dan menariknya, gambar-gambar yang akan dipamerkan dihasilkan Koon Yik tanpa menggunakan kamera.

“Ia kedengaran pelik, namun ia boleh dihasilkan menggunakan teknik seperti chemigram yang melibatkan penggunaan kimia untuk mencetak gambar pada kepingan kertas,” ujarnya menutup bicara.

Pameran tersebut akan berlangsung selama seminggu bermula dari 6 hingga 12 Mac depan.

kosmo

Comments