wira melayu

Hang Tuah wira Melayu


Makam yang terletak di Tanjung Kling, Melaka dipercayai makam Hang Tuah.

PEMERINTAHAN Kesultanan Melaka telah berakhir kira-kira lima dekad yang lalu. Namun, di sebalik kegemilangan pemerintahan empayar Kesultanan Melaka terdapat seorang pahlawan legenda iaitu Laksamana Hang Tuah yang setia menjadi pelindung kepada raja di samping mempertahankan dan menjaga kedaulatan bumi berdaulat Melaka ketika itu.

Berdasarkan catatan dalam Hikayat Hang Tuah, pahlawan legenda yang berasal daripada masyarakat biasa itu diangkat menjadi laksamana kerana kesetiaannya menjaga raja Melaka.

Beliau dikatakan seorang diplomat ulung kerana pernah menjadi wakil kerajaan Melaka dalam menjalinkan hubungan diplomatik dengan beberapa negara luar seperti Jepun, China, Turki dan India.

Profesor Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Emeritus Dr. Hashim Musa berkata, amat penting untuk mengabadikan kewujudan Hang Tuah sebagai wira Melayu dan ia bukan satu cerita dongeng.

Menurutnya, bukti mengenai kewujudan Hang Tuah perlu ditonjolkan agar ia tidak tenggelam dalam lipatan sejarah.

“Hang Tuah merupakan seorang wira kerana dia adalah lambang sifat orang Melayu dengan ciri-ciri kepahlawanan, berani, setia dan taat kepada raja dan berdiplomasi tinggi.

“Beliau juga seorang yang berilmu pengetahuan dan mampu menguasai hampir 12 bahasa dan ciri-ciri yang ada padanya telah menjadikannya sebagai seorang wira bangsa Melayu,” jelasnya ketika ditemui.

Jika tiada pihak yang mengambil inisiatif untuk membuktikan kewujudan Hang Tuah ini mungkin generasi masa hadapan tidak akan kenal dengan wira bangsa sendiri.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Dr. Arbaiyah Mohd. Noor berkata, kisah Hang Tuah sebagai simbol atau lambang kehebatan bangsa Melayu telah diketahui sejak dahulu lagi sama ada melalui teks Sejarah Melayu atau Hikayat Hang Tuah atau tradisi lisan.

Kehebatan

“Saya tidak nafikan sesetengah daripada keterangan tentang Hang Tuah ditokok tambah. Tujuannya untuk menggambarkan kegagahan dan kehebatan beliau sebagai pahlawan Melaka atau untuk membakar semangat juang yang telah luntur akibat kejatuhan kerajaan Melaka pada 1511.

“Walau apapun kisahnya dipapar atau dipertikaikan, sosok tubuh lelaki yang digelar sebagai Laksamana Melaka itu memang wujud.

“Cuma yang menjadi pertikaian sejak akhir-akhir ini adalah istilah atau ungkapan nama atau gelaran Tuah yang dikatakan tiada dalam perbendaharaan kata Melayu lama sebelum abad ke-17. Huruf t-w-h yang tertulis dalam Sejarah Melayu itu akhirnya dibaca sebagai Tuha atau Toh. “Maksud Tuha atau Toh berasal daripada istilah Jawa kuno (kawi) dan juga istilah Melayu kuno merujuk kepada maksud pemimpin yang berketrampilan unggul dan sebagainya,” katanya.

Apa yang menjadi tanda tanya ialah sejauh manakah kita dapat mengenal pasti bahawa istilah Tuah tidak pernah wujud sebelum abad ke-17? Adakah benar masyarakat silam menyebut istilah t-w-h merujuk kepada Tuha atau Toh?

“Sejarah Melayu (Leiden Or1736, versi Dewan Bahasa Pustaka dan versi Krusenstern) menggunakan istilah t-w-h (Toh), Sulalat’us- Salatin versi Siak (Or7304) pula menggunakan kedua-dua istilah iaitu t-w-h (Toh) dan t-w-a-h (Tuah). Tuhfat al-Nafis versi Terengganu pula menggunakan istilah t-w-a-h (Tuah) ketika menceritakan tentang kehebatan Laksamana Melaka ini.

“Walaupun penyalin atau pengarang menggunakan istilah Toh atau Tuah atau kedua-duanya sekali, mereka merujuk kepada individu yang sama. Mereka yang meletakkan huruf alif setelah huruf waw pada istilah t-w-h adalah kerana pengetahuan mereka terhadap nama Tuah berdasarkan cerita lisan walaupun huruf alif tiada dalam rujukan asalnya,

“Perbezaan istilah bukan hanya melibatkan istilah t-w-h sahaja tetapi banyak istilah lain dalam teks Sejarah Melayu atau manuskrip yang lain. Misalnya, istilah Goa yang dieja dalam tiga keadaan iaitu kh/gh-w-h (Goh), gh-w-a (Goa), kh/gh-w-a-h (Goah) dalam kisah hubungan Melaka dan Sulawesi seperti tertera dalam teks Sejarah Melayu. Ketiga-tiga istilah ini tetap merujuk kepada Raja Goa yang sama walaupun dieja dalam tiga keadaan berbeza. Hal ini berlaku mungkin disebabkan pengarang atau penyalin sama ada sedar atau tidak telah menambah atau mengurangi ejaan tertentu,” katanya.

Demi menjaga kekemasan pada naskhah itu, maka istilah tersebut dibiarkan sahaja.

“Telah menjadi tradisi apabila suatu kesilapan itu dilakukan, pengarang atau penyalin akan membiarkan sahaja tanpa memperbaikinya kerana bimbang akan merosakkan naskhah tersebut.

“Walaupun terdapat perbezaan pandangan mengenai sebutan Hang Toh, Hang Tuha atau Hang Tuah, namun ia tetap merujuk kepada tokoh yang sama,” jelas beliau.

Fakta

Perbezaan tafsiran pada istilah kerap berlaku antara seorang sarjana dengan sarjana yang lain kerana masing-masing mempunyai sudut pandang yang berbeza. Namun, pertikaian mengenai istilah ini tidak wajar diperbesar-besarkan, sebaliknya fokus utama ialah untuk mencari, mengumpul dan membuat kaji banding demi mengukuhkan keterangan mengenai kewujudan Hang Tuah.

Dalam pada itu, Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (ISKEP), Prof Datuk Dr. Mohd. Jamil Mukmin berkata, penemuan baharu oleh penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) mengenai kewujudan Hang Tuah telah menguatkan lagi satu fakta bahawa kewujudan laksamana itu bukanlah satu mitos.

“Sebelum ini kewujudan Hang Tuah ini telah lama dibuktikan melalui sumber Melayu seperti Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu dan penemuan baharu ini dapat menyangkal dakwaan sesetengah ahli sejarah yang mengatakan ia hanyalah satu cerita dongeng,” katanya dalam satu bicara temu bual baru baru ini.

kosmo

Comments