sirih junjung


Sirih junjung warisan Melayu

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
1 Nov 2012


Gambar JEFRY IRAN
Mohd. Hazimi Zailani menunjukkan cara mengubah sirih junjung.

SEJAK zaman berzaman penggunaan tepak sirih dalam adat istiadat Melayu adalah simbolik tanda merisik yang dihantar oleh pihak lelaki kepada perempuan, manakala sirih junjung pula sebagai balasan daripada pihak perempuan.

Sehingga ke hari ini penggunaan sirih junjung dalam urusan peminangan dan pernikahan masih diteruskan.

Biarpun rupa bentuk yang dihasilkan hari ini mengalami perubahan sejajar dengan peredaran zaman, namun maksud serta apa yang ingin disampaikan masih kuat terpelihara hingga ke hari ini.

Menurut pemilik Rizqey Jarijimi Services, Mohd. Hazimi Zailani, hari ini sirih junjung digubah dengan pelbagai bentuk seperti bangunan atau masjid mengikut citra rasa penggubah ataupun bakal pengantin.

Katanya lagi, penggunaan bunga-bunga segar seperti mawar, dahlia dan kekwa serta lainnya akan menyerikan lagi gubahan tersebut.

Begitupun ujarnya, hari ini kebanyakan bakal pengantin lebih gemar memilih gubahan sirih junjung yang ringkas dan moden.

"Boleh dikatakan gubahan sirih junjung hari ini merupakan gabungan dua cita rasa iaitu klasik dan juga moden.

"Yang pasti penggunaan daun-daun sirih segar digunakan untuk menghasilkan gubahan yang cantik," jelasnya lagi.

Ujar Hazimi lagi, gubahan sirih junjung seelok-eloknya dihasilkan daripada daun sirih Melayu kerana selain daunnya yang keras dan tahan lama, ia senang dibentuk dan cantik.

Beliau turut menyarankan agar sirih junjung digubah pada sebelah malam sekiranya majlis berlangsung sebelah pagi keesokan harinya agar daun sirih tidak layu.

Kata Hazimi lagi, walaupun gubahan sirih junjung hari ini telah mengalami evolusi tanpa gambir, pinang, kapur dan bunga cengkih sirih junjung tidak lengkap rasanya.

Ini kerana gabungan tersebut melambangkan asam garam, pahit manis dalam berumahtangga.

"Saya selalunya lebih sukakan gubahan yang ringkas dan moden di mana masa untuk mengubahnya juga tidak lama.

"Begitupun penggunaan daun sirih, kapur, pinang, dan gambir tidak pernah ditinggalkan kerana itulah yang melambangkan keunikan sirih junjung.

"Apa-apa pun setiap sirih junjung yang digubah pastinya akan mengikut kehendak serta konsep bakal pengantin," katanya menambah bicara.

Tidak setakat itu, bentuk gubahan sirih junjung turut mempunyai makna iaiu gubahan sirih junjung pihak pengantin lelaki lebih tinggi sedikit berbanding pihak pengantin perempuan.

Ini adalah selari dengan peranan dan tanggungjawab lelaki sebagai ketua atau pemimpin dalam keluarga. Kepada mereka yang berminat untuk melihat gubahan sirih junjung Hazimi boleh layari www.jarijimi.blogspot.com.

utusanonline



Sirih junjung penyeri hantaran

Oleh SITI AISHAH YUSOFF
28 Mac 2012



Gambar FAIRUZ IZYANA AYUB
Abu Yazid Ahmad menjadi juara pertandingan gubahan sirih junjung sempena Ekspo Perkahwinan dan Fesyen Gerbang Cinta di PICC baru-baru ini.

SIRIH junjung wajib ada dalam hantaran pertunangan mahupun perkahwinan masyarakat Melayu kerana ia ibarat 'penghulu' segala hantaran.

Mengikut cerita orang dahulu, sirih junjung dan bahan-bahan yang digunakan membawa maksud tersirat kepada kehidupan suami isteri yang baru hendak bermula.

Penggubah bunga, Abu Yazid Ahmad, 58, berkata, sirih junjung adalah barang wajib dalam sesuatu majlis perkahwinan masyarakat Melayu yang diamalkan dari dahulu sehinggalah sekarang.

"Sirih yang disusun perlu ganjil dan menggunakan daun sirih segar sebagai bahan utamanya selain bahan lain seperti kapur, gambir dan buah pinang.

"Kesemua bahan-bahan ini akan dibalut dan disusun bersama dengan daun sirih kemudian diletakkan di atas bekas atau alas supaya ia nampak lebih kemas dan cantik.

"Sekurang-kurangnya daun yang digunakan untuk membuat sirih junjung sebanyak 13 belas helai dan susunan setiap satu lipatan itu perlu menggunakan tiga helai daun," katanya.

Ujar Abu Yazid, mengikut tradisi Melayu terdapat perbezaan penyediaan sirih junjung untuk pengantin lelaki dan perempuan.

"Bagi pihak lelaki, sirih junjung hendaklah lebih tinggi sedikit daripada perempuan untuk menunjukkan bahawa peranan dan tanggungjawab lelaki sebagai ketua keluarga," ujarnya yang giat menerima tempahan gubahan sirih junjung dan hantaran.

Tambah Abu Yazid lagi, tinggi atau rendah sirih junjung juga bergantung kepada jarak rumah pengantin.

"Selalunya jika pelanggan membuat tempahan sirih junjung saya akan mengambil kira jarak rumah pengantin sebelum membuatnya kerana jika jarak itu jauh lebih elok jika sirih unjung tersebut lebih rendah bagi memudahkan rombongan membawanya," katanya.

Sementara itu, beliau berkata selain konsep tradisional, sirih junjung juga telah dimodenkan dengan penggunaan pelbagai bahan tambahan seperti bungaan-bungaan dan rempah ratus.

"Selain barang-barang utama, penggunaa bunga mawar, kekwa, juga boleh menjadikan sirih junjung nampak lebih cantik dan menarik.

"Selain itu, sirih junjung tidak terhad kepada satu bentuk malah boleh dimodenkan dalam pelbagai rekaan seperti masjid, buah nanas dan bangunan yang disesuaikan mengikut konsep hantaran," ujarnya.

Abu Yazid berkata kos untuk membuat sirih junjung bergantung kepada permintaan pelanggan iaitu jenis bahan dan bungaan untuk hiasan tersebut.

Dalam pada itu, pengalaman bertahun-tahun membuat gubahan sirih junjung dan hantaran perkahwinan sedikit sebanyak telah membolehkan Abu Yazid muncul sebagai juara pertandingan gubahan sirih junjung pada Ekspo Perkahwinan dan Fesyen Gerbang Cinta Utusan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini.

Pada pertandingan itu dia menampilkan gubahan yang mengadunkan konsep moden dan tradisional.

Penggunaan hiasan tambahan seperti bunga kantan, kayu manis dan sedikit bunga-bunga moden membuatkan gubahan cukup unik.

Tempat kedua dimenangi oleh seorang lagi peserta lelaki, Mafa Shah Omar dan Lily Mohd Chee ditempat ketiga.

Pertandingan gubahan telekung pula dimenangi pula oleh Khairul Rosly, tempat kedua Rohaidar Khairudin dan tempat ketiga Rosnah Mat.

Manakala pertandingan ukiran buah pula dimenangi oleh Mohd.Ridzuan Mohd Radzi, tempat kedua Mohd. Hisham Osman dan tempat ketiga Ashmam Abdul Rahim.

utusanonline


Comments