Pengarah dan Aktornya

SANG PENGARAH, SANG AKTOR
Ku Seman Ku Hussain


 foto hiasan

Telah lama dia berdiam. Telah lama juga dia mengawal kemarahan kerana takut dikatakan pengarah yang tidak memberi kebebasan kepada aktornya menghidupkan watak.

Dia bukan membangga diri. Tetapi sana sini orang kenal dia sebagai penulis naskhah, aktor dan pengarah bangsawan yang hebat.

Trofi yang menjadi bukti keunggulan dalam dunia teater tidak terkira banyaknya di kediamannya. Itu belum lagi resensi pementasannya oleh sarjana dalam dan luar negara.

Aktor itu sebenarnya dipilih selepas sudah tidak ada lagi yang lebih baik. Bukan pilihan kedua tetapi pilihan yang entah ke berapa.

Pementasan bangsawan itu hanya tinggal satu malam sahaja lagi. Tetapi sang pengarah belum berpuas hati dengan pencapaian sang aktor.

"Telah lama aku perhatikan, ternyata kau tidak boleh menzahirkan apa yang aku tulis dalam naskhah ini," kata sang pengarah.

"Kau tidak demokratik, kau tidak dapat menerima gaya orang lain. Aku tidak mahu meniru gaya kau. Aku ada gaya sendiri, " balas sang aktor.

"Aku telah memberi kau masa supaya naskhah aku tidak rosak di tangan kau. Tetapi kau gagal memahami naskhah aku," bentak sang pengarah.

"Wahai sang pengarah, kau sudah tidak ada pilihan. Pementasan satu malam sahaja lagi. Katakan kepada aku siapa yang berani mengganti aku membawa watak itu?" Sang aktor menjangka pengarah tua itu akan mati akal untuk menyingkirkan dia dari pentas bangsawan.

"Aku yang akan menggantikan kau. Aku menghafal dialog semua 20 watak dalam 20 babak bangsawan ini. Kau perlu turun dari pentas," pertentangan semakin panas, pengarah pun masuk ke pentas raptai akhir menggantikan aktor.

foto hiasan

Bagi sang pengarah, naskhah bangsawan itu adalah mercu tanda bangsa. Mercu tanda itu akan rosak kalau aktor itu dibiarkan terus bermain di pentas.

"Tidak. Sama sekali aku tidak akan turun kerana desakan seorang tua. Semua pelakon, tukang prop, pengurus pentas malah tukang tarik tirai pun menyokong aku. Kau tidak ada sokongan," kata aktor itu sambil ketawa.

Sebenarnya pengarah tua itulah yang memperkenalkan pentas bangsawan, taktik dan teknik untuk memukau penonton.

Pengarah tua itu tidak peduli akan dakwaan sang aktor itu. Aktor itu mesti diturunkan dari pentas. Kalau tidak naskhah yang ada 20 watak dan 20 babak itu akan berkecai begitu sahaja.

Itu naskhah lama. Pengarah tua itu menulisnya hampir 30 tahun lalu. Dan inilah pementasan pertama. Gagal pementasan ini bermakna gagallah gagasan pemikirannya yang dituang dalam naskhah itu.

Pada masa sama sang aktor itu juga berpakat dengan semua tenaga produksi termasuk aktor-aktor lain untuk menyingkirkan pengarah tua itu dari pementasan tersebut.

Mereka pun menjaja kononnya pengarah tua itu bukanlah hebat pada zaman gemilangnya. Maka kini yang dibualkan oleh mereka adalah kelemahan dan keburukan semata-mata.

Tukang tarik tirai yang seumur hidupnya menarik tirai juga memperkecilkan kehebatan pengarah tua itu.

"Pengarah tua itu bukan hebat pun. Hebat apa kalau tak sekali pun boleh ganti aku menarik tirai," kata-katanya disambut dengan ketawa rakan-rakan lain.

Tetapi dia tidak menceritakan bagaimana dia dilempang hingga jatuh pentas kerana tertidur semasa pementasan berlangsung.

Pada malam pementasan, sebaik sahaja tirai dinaikkan keluarlah sang aktor itu ke tengah pentas. Dia berdegil walaupun sang pengarah menggantikan dia memegang watak utama.

Muzik pun bergema dan tiba-tiba sang pengarah muncul dari kanan pentas. Lengkap dengan baju purba dan bertanjak.

Sang aktor terkejut. Dia memegang hulu keris kayu di pinggangnya.

"Cis, bedebah kau orang tua. Keluarlah kau dari sini," kata aktor itu sambil mengelap peluh dingin membasahi mukanya.

"Kau yang mesti keluar"

"Kau diktator orang tua. Kau tidak demokratik. Zaman kau sudah berlalu, nyah kau dari sini.

Penonton bertepuk tangan. Mereka menyangka itu sebahagian babak dalam bangsawan. Kemudian beberapa pelakon lain keluar untuk merelaikan kedua-duanya.

Bagaimanapun kedua-dua mereka terus bertikam di atas pentas. Sang pengarah dengan kemahiran silat telah menjatuhkan sang aktor dan menguncinya.

foto hiasan


Kemudian sang pengarah bertanya kepada penonton, "Siapakah yang menang?"

"Orang tua menang," teriak penonton.

"Bravo" sambut penonton lain.

"Lihat, siapa kata aku diktator? Aku tanya pendapat ramai. Aku seorang yang demokratik." Kata pengarah tua itu sambil menolak aktor jatuh di depan pentas.

Penonton bangun sambil bertepuk tangan. Pengarah tua cuba menenangkan suasana.

"Saya bukan nak kembali jadi pelakon. Tetapi dia tu telah merosakkan naskhah 20 watak dan 20 babak saya tu," ujar pengarah tua.

"Bangsawan surrealist pertama yang pernah saya tonton. Sangat hebat orang tua itu. Macam betul-betul real," kata seorang sarjana teater. Tepukan kepada pengarah tua itu terus bergema. Sang aktor hilang entah di mana.

sumber fb kusemankuhussain

Comments