14 Jan 2017

kasut sekolah

KASUT SEKOLAH ANAK KU - AIDIL QAYYUM
Mohd Fairus Shafie

Tahun 2017 merupakan tahun yang sangat bermakna bagiku. Ini kerana anak sulong ku kini telah meningkat dewasa dan bersekolah menengah tingkatan 1 namanya Alif, manakala yang lain memasuki darjah 6 Afiq, darjah 4 Ayu, darjah 2 Aidil dan tadika Amirul. Hanya tinggal 2 orang iaitu Anis dan Ain yang masih belum bersekolah. Seperti biasa, sebelum memulakan sesi persekolahan baru, aku akan membelikan sekurang-kurangnya sepersalinan baju baru dan kelengkapan baru untuk setiap anak-anak ku. Maklumlah harga barang sekolah sekarang dah melambung tinggi, untuk menyediakan keperluan 7 orang anak bukan sesuatu perkara yang mudah. Hakikatnya itulah tanggungjawab ayah dan ibu. Terpaksa mencatu untuk setiap orang anak agar bajet tidak terlalu membebankan.



Kebiasaanya kami sekeluarga akan berbelanja ala kadar untuk keperluan sekolah di Uniform Gallery UG sama ada di Seri Bangi atau di Kompleks Warta Bangi Shopping Centre. Di sini tempat mencari peralatan sekolah. Ahli UG akan dapat diskaun 10 peratus setiap kali pembelian. Kami akan memberikan pilihan kepada anak-anak untuk memilih kelengkapan masing-masing mengikut bajet yang ditetapkan. Biasanya kami akan maklumkan kepada wakil kedai untuk mencuba pakaian atau kasut yang sesuai dengan saiz anak-anak. Mungkin sebab nak melayan kemahuan anak yang ramai perlukan kesabaran yang tinggi, kami serah kepada pelayan kedai untuk mencarikannya seperti kemahuan anak-anak kami.
Hari ini isnin minggu kedua persekolahan, nampaknya semua anak-anak masih bersemangat waja untuk bersekolah. Tapi yang menghairankan kenapa, anak ku yang darjah 2 Aidil asyik lenguh kaki, balik sekolah bila sampai rumah, minta di urut-urut kakinya. Tubuhnya yang kecil tetapi yang paling kemas di antara anak-anak adalah sifatnya. Muka yang lembut dan mata yang sepet, sangat redup mata melihatnya. Setiap pagi 6.45 pagi dah mula keluar rumah, menuju sekolah kebangsaan dahulu, kemudian ke sekolah agama, kemudian ke sekolah tadika dan ke rumah pengasuh, itu lah rutin harian.

Sampai di sekolah agama pukul 7.20 pagi, kami memang antara yang terawal sampai, Aidil menunjukkan kasutnya yang putih melepak, kemas dan ternyata sangat bersih. Entah kenapa hari ini aku tergerak hati nak melihat kasut yang ditunjukkan oleh Aidil yang baru darjah 2 itu, Kasut aidil mengingatkan aku waktu kecil dulu macam aku pergi ke sekolah dahulu. Tanpa aku sedari, kasut yang ditunjukkan oleh Aidil dua-duanya belah kiri, aku naik berang dan marah. Ini mesti dia salah bawak kasut dari rumah aku lagi. Memang aku marah betul dengan Aidil, marah aku membuatkan dia tertunduk ke bawah dan mengalirkan air mata. Banyak lagi destinasi aku nak tuju. Tak kan nak patah balik ambik kasut. Kebetulan ada kasut kakaknya, Ayu ada di dalam kereta, dengan nada marah aku menyuruh Aidil memakainya dan terjatuhlah linangan air mata Aidil masuk ke sekolah sambil tertunduk.

Apabila jam 8.00 pagi aku tiba di pejabat, aku rasa tidak sedap hati kenapa Aidil boleh bawak kasut dua-dua belah kiri??? Kenapa?? Bagaimana???. Otak aku terus teringat dan melayang, kenapa dia boleh bawa kasut begitu? Aku tertampar dengan ingatan ku yang selalu Aidil minta urut kakinya setiap kali balik sekolah. Aduh.. apa yang telah aku buat?? Marahkan Aidil pagi ini sehinggakan airmatanya mengalir dan terduduk seolah-olah bersalah dan berdosa. Aku ambil kunci kereta lantas terus balik ke rumah, mungkin Aidil tersalah bawak kasut, sampai di rumah aku mencari kasut belah kanannya di seluruh kawasan rumah. Aku telefon isteri ku bertanya, mungkin-mungkin ada kasut belah kanannya di lain-lain tempat. Aku amat terperanjat apabila isteri dan aku mengingat kembali pembelian kasut Aidil di UG hanya beli sepasang sahaja untuk Aidil.

Astagfirullah……maknanya memang kasut baru itu, kedua-duanya belah kiri. Aku terbaring terkulai layu. Airmata aku mengalir dan sangat menyesalinya. Selama ini di minggu awal persekolahan, Aidil memakai Kasut sekolah yang bersih, cantik berseri tetapi sayang dua-duanya belah kiri, patutlah kakinya sakit dan asyik minta di urut. Kena marah lagi dia pagi ni dan menangis tertunduk. Apalah dosa budak kecil ini, hinggakan perkara kecil remeh seperti kasut ini aku terlepas pandang. Budak yang sejujur ini, menangis pagi ini dimarahi oleh bapanya kerana menunjukkan kasut sekolah yang dua-duanya belah kiri. Ya allah.. Ya tuhan maafkan aku. Tanpa fikir panjang, aku terus ke sekolah agama menemuinya. Sampai saja di parking sekolah, aku berlari terus ke kelas Aidil, tanpa banyak berfikir aku terus memeluk Aidil sekuat-kuatnya. Maafkan abah Aidil. Maafkan lah….mengalir airmata Aidil dan yang paling menyedihkan Aidil dengan teresak-esak ingin memakai kasutnya yang dua-duanya kiri itu yang masih ada di kereta. Ya tuhan…berdosa sangat aku ni..

Satu kelas darjah 2 sekolah agama tersebut tanpa disedari turut menangis. Perasaan sayu dan menyesali perbuatanku sebagai seorang ayah sangat menikam jiwaku sendiri. Aku peluknya dan terus membawanya ke kedai membeli kasut baru. Riak wajah gembira Aidil jelas terpancar. Aku berulang kali memeluknya sambal meminta maaf…maafkan abah sayang. Maafkan abah… Kisah benar ini akan ku jadikan ingatan dan pedoman dalam menjaga anak sendiri. Tidak kira sehebat mana pekerjaan ibu dan ayah, jika perkara sebegini terjadi, amat menyedihkan. Kepada para ibu bapa, abang dan kakak yang memiliki anak dan adik, cubalah dekati anak-anak masing, adik-adik masing untuk mengetahui hati dan perasaan mereka. Semoga ianya boleh dijadikan pengajaran….

fb mohdfairusshafie

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena