hari paling afdhal

BAGAIMANAKAH DIRIMU MENGHARGAI HARI YANG PALING AFDHAL DI SISI TUHANMU?
Abdul Basit Abdul Rahman



Sesungguhnya hari yang paling afdhal adalah hari Jumaat.

Di antara amalan yang perlu diambil berat untuk dilakukan pada hari Jumaat ialah :

1) Perbanyakkanlah selawat kepada Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wa Sallam.

Daripada Saidina Anas Radhiyallahu 'Anhu berkata, Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wa Sallam pernah bersabda :

"Perbanyakkanlah selawat kepadaku pada hari Jumaat dan malam Jumaat.

Sesiapa yang berselawat kepadaku sekali, nescaya Allah berselawat (mengurniakan pahala dan rahmat-Nya) kepadanya sebanyak 10 kali."

Hadith Hasan riwayat al-Imam al-Baihaqi rahimahullah.

Di antara lafaz selawat yang sahih :

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ،
كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ، وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ،
إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ،

وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ،
كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ، وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ،
فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

(Lafaz selawat ini diriwayatkan oleh al-Imam Al-Bukhari dan al-Imam Muslim rahimahumallah).

2) Membaca Surah al-Kahfi

Sabda Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wa Sallam :

"Sesiapa yang membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat, nescaya Allah akan mengurniakan cahaya kepadanya di antara dua Jumaat."

Hadith riwayat al-Imam al-Baihaqi dan al-Imam al-Hakim.

Al-Imam Ibnu Hajar rahimahullah menyebut hadith ini berstatus Hasan di dalam تخريج الأذكار.

3) Banyakkan berdoa khususnya pada waktu mustajab.

Di antara waktu tersebut adalah selepas Solat Asar.

Daripada Saidina Jabir bin 'Abdullah Radhiyallahu 'Anhuma berkata bahawa Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wa Sallam pernah bersabda :

"Pada hari Jumaat terdapat 12 belas waktu yang jika seseorang hamba Muslim berdoa bertepatan dengan saat tersebut, nescaya Allah akan memakbulkannya. Justeru, berusahalah untuk mendapatkan waktu tersebut pada penghujung waktu selepas 'Asar."
[Hadith Sahih riwayat al-Imam Abu Daud dan al-Imam an-Nasa'ie rahimahumallah].

Sabda Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wa Sallam:
"Pada hari Jumaat terdapat suatu waktu, jika seseorang hamba mendirikan solat dan berdoa memohon kebaikan daripada Allah bertepatan dengan waktu tersebut, nescaya Allah akan memakbulkannya."
[Hadith riwayat al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim rahimahumallah].

"Ya Allah, taufiqkanlah kami untuk sentiasa memanfaatkan setiap detik pada hari yang mulia di sisi-Mu."

A'AmM,
Jumaat, 21 Rabi'ul Akhir 1438H.
20 Januari 2017.



Comments