islam dijunjung


Sultan Muhammad V junjung tinggi agama Islam
13 Disember 2016


KOTA BHARU, 13 Rabiulawal 1438H, Selasa – Yang di-Pertuan Agong ke-15 Sultan Muhammad V ialah seorang raja yang menjunjung tinggi agama Islam dengan menitik beratkan pematuhan ajaran Islam di dalam pentadbiran negeri dan dalam kehidupan baginda, selain daripada memuliakan ilmuan agama.

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, baginda sering merujuk kepada beliau mengenai perkara-perkara yang berkaitan hukum-hakam Islam.

“Sebagai contoh dalam hal berkaitan undang-undang hiburan di bawah Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam. Sebarang pertunjukan, permainan, hiburan tidak boleh diadakan pada malam Jumaat.

Tapi jika masyarakat Cina nak adakan (hiburan) pada malam Jumaat, maka mereka akan memohon kepada Sultan Muhammad V dan baginda tidak terus memberi kebenaran melainkan sesudah mendapat pandangan daripada Jabatan Mufti,” katanya dalam temu bual bersama Bernama dan Bernama News Channel (BNC) di pejabatnya di Balai Islam Lundang di sini.

Selain itu, Mohamad Shukri berkata, Sultan Muhammad V turut memuliakan golongan ilmuan agama seperti mudir dan pengetua sekolah pondok dengan memberi mereka darjah kebesaran dan pingat pada setiap kali sambutan hari keputeraan baginda.

“Malah, ketika ada kelapangan, baginda kadang-kadang akan mengadakan santapan tengah hari di pondok-pondok agama (bagi mendekatkan diri dengan golongan cerdik pandai agama), dan saya melihat, sepanjang saya menjadi mufti, tidak ada satu (perkara) yang apabila diberi pandangan, tidak diterima baginda,” katanya.

Ditanya mengenai keperibadian Sultan Muhammad V, Mohamad Shukri berkata beliau mula mengenali Sultan Kelantan itu sejak baginda berusia 17 tahun lagi.

“Sebagaimana umum mengetahui, usrah Diraja Kelantan memang gemar mempelajari ilmu-ilmu Islam, justeru baginda akan mengadakan kelas agama sekurang-kurangnya seminggu sekali antara waktu Maghrib dan Isyak di Istana Negeri di Kubang Kerian di sini.

Selain menjemput beberapa penceramah seperti Allahyarham Tuan Guru Haji Mohd Noor Ibrahim, Allahyarham Datuk Yusoff Zaky Yaacob dan saya sendiri, baginda akan memastikan setiap kakitangan di istana untuk turut serta dalam majlis ilmu berkenaan yang sering kali berakhir dengan jamuan ringan selepas solat Isyak,” katanya.

Beliau berkata, dari segi keilmuan pula, Sultan Muhammad V menjemput seorang guru al-Quran khas untuk menemani baginda di sepanjang perjalanannya termasuk ketika berkunjung ke Eropah bagi memastikan baginda tidak terlepas untuk solat berjemaah.

“Baginda juga sering mengajak saya untuk menunaikan umrah terutama pada 10 hari terakhir Ramadan dan acap kali baginda menyambut Hari Raya Aidilfitri di sana.

Baginda turut menghantar sekumpulan lima hingga enam rakyatnya untuk menunaikan haji pada setiap tahun dengan pembiayaan baginda sendiri, malah turut membina Masjid Al-Ismaili di Pasir Pekan, Tumpat dan diwakafkan untuk ayahandanya Sultan Ismail Petra,” katanya.

Beliau berkata adalah menjadi kebiasaan Sultan Muhammad V berangkat menghadiri program berbuka puasa dan solat tarawih bersama rakyat di serata negeri.

“Baginda juga pakar dalam penyembelihan lembu korban dan akan menyembelih sendiri lembu korban apabila tibanya Hari Raya Aidiladha, malah turut mengagihkan lembu-lembu korban ke beberapa kawasan di negeri ini sebagai sedekah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Hakim Syarie Kelantan Datuk Daud Muhammad berkata, Sultan Muhammad V juga sangat mengambil berat terhadap setiap undang-undang Islam yang digubal di Kelantan.

Bercakap kepada Bernama dan BNC dalam satu temu bual di pejabatnya di Kompleks Mahkamah Syariah Kota Bharu di Tunjong di sini, Daud berkata baginda pernah bertitah setiap undang-undang yang ingin dilaksanakan di Mahkamah Syariah ini perlu dibentangkan di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) terlebih dahulu.

Setelah mendapat kelulusan daripada agensi itu, baharulah dibentangkan kepada kerajaan negeri dan seterusnya rang undang-undang itu dibentang, dibahas dan diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Daud berkata, Sultan Muhammad juga sangat mengambil berat mengenai sebarang kekurangan dalam menguatkuasakan Undang-undang Syariah di Kelantan.

“Baginda sering bertanya sama ada kedudukan mahkamah sempurna atau masih ada lagi kekurangan, begitu juga pegawai-pegawai, hakim-hakim yang bertugas di Mahkamah Syariah masih mencukupi atau tidak.

Baginda memang sangat mengambil berat. Setiap kali saya menghadap baginda, memang perkara utama yang diminta penjelasan adalah perjalanan di Mahkamah Syariah. Baginda juga sangat berminat dalam hal-hal berkaitan agama,” katanya.-BERNAMA

ismaweb

Sultan Muhammad V lafaz jawatan Agong
13 Disember 2016

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-244 (Khas) sempena Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15 di Istana Negara, hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V hari ini melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara, di sini.

Turut melafaz sumpah memegang jawatan ialah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Kedua-dua baginda dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-243 (Khas) di Istana Negara, 14 Okt lepas, bagi tempoh lima tahun bermula hari ini.

Sultan Muhammad V, 47, menggantikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 semalam.

Upacara di balairung seri hari ini bermula dengan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-244 (Khas) sempena Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh kedua-dua Seri Paduka Baginda.

Mesyuarat Khas itu dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Memulakan istiadat, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad tampil menyembahkan Surat Sumpah Jawatan kepada Sultan Muhammad V yang kemudiannya melafazkan Sumpah Jawatan sebelum menandatanganinya.

Surat Sumpah jawatan itu kemudiannya ditandatangani oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, sebagai saksi.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kemudian menyembahkan pula Surat Sumpah Jawatan kepada Sultan Nazrin yang kemudiannya melafazkan sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong sebelum menandatanganinya.

Surat Sumpah Jawatan baginda turut ditandatangani oleh Sultan Mizan dan Tuanku Syed Sirajuddin sebagai saksi.

Selesai istiadat itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kemudian memaklumkan bahawa Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-244 (Khas) ditangguhkan ke suatu masa yang akan ditetapkan kelak.

Acara di balairung seri kemudiannya diteruskan dengan istiadat menandatangani perisytiharan memegang jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong dan timbalannya. Memulakan istiadat itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diapit Datuk Paduka Maharaja Lela, Mejar Jeneral Datuk Md Tajri Alwi dan penolongnya Azuan Effendy Zairakithnaini menghadap dan menyembahkan Surat-surat

Perisytiharan memegang jawatan untuk ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Najib kemudian membaca perisytiharan bahawa Sultan Muhammad V telah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 manakala Sultan Nazrin pula mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Upacara penuh istiadat yang disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Semua sembilan Raja-Raja Melayu atau wakil-wakil baginda serta tiga Yang Dipertua Negeri hadir pada upacara berkenaan, kecuali Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud yang diwakili Speaker Dewan Undangan Sarawak Datuk Mohamad Asfia Awang Nassar.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menteri-menteri besar, ketua-ketua menteri, menteri-menteri Kabinet, anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta pegawai tinggi kerajaan.

Setelah selesai upacara di balairung seri, Najib mengetuai upacara menghadap diikuti menteri-menteri Kabinet serta orang kenamaan. - Bernama

sinar harian

Comments