hanyut



Hanyut tidak tenggelam, sarat emosi kemelayuan
Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM


MEMBAWA watak Mem, Sofia Jane mencuba sehabis baik menjadi wanita yang bangga dengan keturunan Melayu walaupun bersuamikan lelaki Belanda.

NASKHAH terbaharu pembikin filem terkenal tanah air, U-Wei Saari yang berjudul Hanyut mampu membuka dimensi baharu dalam lapangan perfileman negara.

Diadaptasi berdasarkan novel pertama Joseph Conrad berjudul Almayer’s Folly, ia berkisar tentang Almayer, pedagang Belanda yang berjuang meneruskan kehidupan di Malaya pada akhir abad ke-19.

Almayer lakonan Peter O’Brien merupakan seorang lelaki oportunis yang memasang impian mencari kebenaran mitos gunung emas tetapi ditentang isterinya, Mem (Sofea Jane), penguasa dan pemimpin politik tempatan serta pedagang Arab.

Pedagang Belanda yang tidak pernah menjejak kaki di tanah Melayu ini juga perlu berdepan konflik percintaan anak perempuannya, Nina (Diana Danielle) dengan seorang seorang putera bernama Dain Maroola (Adi Putra).

Pada mata kasar, memang Almayer dilihat sebagai pemain utama dalam menghidupkan filem berkenaan, namun tarikan sebenarnya tertumpu terhadap pergolakan plot dua wanita bergelar ibu dan anak yang menunjukkan kekuatan jati diri mereka tidak hanyut ditelan budaya Barat.

Sutradara filem Jogho tersebut mewarnai dan membuai perasaan penonton untuk menyelami jiwa wanita Melayu dalam karakter Mem dan Nina. Secara tidak sedar dua karakter tersebut mencerminkan betapa kuatnya wanita Melayu dalam dunia dikuasai golongan lelaki.

Mem sebagai ibu, terpaksa akur berpisah dengan anak kesayangan, Nina apabila Almayer menghantar anaknya ke Singapura pada usia kanak-kanak untuk menuntut atau dididik rutin budaya Barat.

Naluri seorang ibu yang tinggi nilai kemelayuan itu sama sekali tidak pernah berputus asa mengingatkan asal-usul keturunan anaknya yang merupakan bangsa Melayu.

Biarpun, U-Wei cuba menggambarkan Nina sebagai seorang anak yang bersalut topeng gadis Barat dengan memakaikannya gaun kembang malah berpayung menghindari terik matahari, Mem tidak membenarkan perkara tersebut berterusan apabila pulang ke pangkuannya.

Pada pandangan Almayer, karakter Mem ini boleh diibaratkan sebagai wanita Melayu serta seorang isteri yang hilang akal sehingga sukar difahami cukup meninggalkan kesan di dalam filem Hanyut.

Dia bukan sahaja bertindak sebagai ibu penyayang yang sentiasa mencurah kasih sayang kepada anaknya tetapi mempunyai karakter pelindung dan berpendirian tegas dalam setiap keputusannya sehingga dihormati penduduk setempat.

Beralih kepada Nina, kepulangan anak kacukan Melayu-Belanda itu menjadi tumpuan kepada perjalanan cerita dan karakter lain seperti Dain Maroola dan Sayed Rashid (Bront Palarae) yang merupakan anak pedagang Arab.

Begitupun begitu, penulis lebih tersentuh menonton babak Nina terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada ayahnya, Almayer untuk bersama kekasih hati Dain Maroola, sekali gus mengelak daripada ditangkap pihak British.

Adegan tersebut cukup menyentuh jiwa kerana Almayer yang menentang sekeras-kerasnya hubungan cinta dua insan ini terpaksa akur dan merelakan keputusan Nina demi kasih sayang ayah kepada anaknya.

Ia menunjukkan betapa keegoan seorang lelaki boleh ditewaskan oleh perasaan kasih sayang wanita yang disayangi.

Secara keseluruhan, filem terbaharu U-Wei berkenaan sarat dengan nasihat, budaya dan cinta malah tersingkap misteri yang perlu dirungkai penonton.

Para penonton juga akan dapat melihat bagaimana sutradara itu menunjukkan nilai-nilai budaya, adab orang Melayu yang penuh kesantunan walaupun dalam situasi amarah.

kosmo


U-Wei: Hanyut RM18 juta, boleh fikir untung?
OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
16 Oktober 2016

U-Wei berkata sudah tiba masanya pemikiran masyarakat diubah untuk menerima filem bajet berskala besar. — Foto oleh Saw Siow Feng

KUALA LUMPUR, 16 Okt — Menghasilkan filem dengan bajet RM18 juta, U-Wei Shaari berkata keuntungan tidak menjadi keutamaannya.

Pengarah filem Hanyut berkata, dengan mengkaji kutipan tertinggi filem Malaysia maka lebih jelas apa yang diutamakan ialah kualiti menghasilkan filem.

“[Keuntungan] pasti bukan keutamaan saya. Sebab saya tahu sejarah filem Melayu. Saya tahu box office di sini berapa paling kuat.

“Seperti The Journey, Polis Evo, Ola Bola dan Munafik. Saya tahu sejarah panggung. Saya lebih peka tentang ini. Anda rumuskanlah sendiri,” katanya ketika ditemui ProjekMMO pada Rabu.

Hanyut akan ditayangkan 24 November ini selepas memulakan penggambaran pada 2010 dan siap sepenuhnya dua tahun kemudian.

Filem yang diadaptasi daripada novel Almayer’s Folly nukilan Joseph Conrad pernah ditayangkan di pawagam Indonesia pada 2014 dengan judul Gunung Emas Almayer.

Menampilkan Datin Sofea Jane, Diana Danielle, Adi Putra, Khalid Salleh, Sabri Yunus dan Bront Palarae, filem yang mengambil masa dua bulan penggambaran ini turut menampilkan pelakon antarabangsa.

U-Wei berkata, Hanyut tidak akan direalisasikan jika bajet yang diperoleh kurang daripada RM18 juta.

“Semasa saya minta geran, awal-awal saya beritahu saya minta RM18 juta. Jadi bila tak dapat, saya usaha mendapatkannya kerana ia menuntut jumlah sebegitu.

“Menipulah kalau saya tak layan kehendak skrip itu. Bodoh jika ada yang mengatakan RM18 juta tak termasuk promosi.

“Macam beli rumah, mana ada bajet untuk buat taman. Saya tidak fikirkan promosi semasa itu,” katanya.

Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-11 berkata, sudah tiba masanya pemikiran masyarakat diubah untuk menerima filem bajet berskala besar.

Katanya, walaupun pulangan Hanyut mungkin tidak seperti yang diharapkan namun ia akan terus meninggalkan legasi daripada generasi kepada generasi lain.

“Anda rasa saya pentingkan duit? Saya bukan bodoh. Saya sekolah lebih tinggi. Kalau saya berani buat RM18 juta mesti bersebab.

“22 tahun Kaki Bakar masih ditayangkan lagi. Minggu lepas di Australia, Jogho masih ditayangkan lagi.

“Kalau cerita bagus, hayatnya panjang. Bukan saja di sini, di tempat lain. Kita yang membanggakannya,” katanya.

kosmo

Comments