13 Dec 2016

dendang syair


Pertandingan Dendangan Syair

Oleh NAZA SANI


Persembahan salah seorang peserta pertandingan.

DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Pertandingan Dendangan Syair peringkat akhir pada 19 November 2016 yang lalu. Pertandingan ini berlangsung di Dewan Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM.

Pertandingan peringkat saringan telah diadakan di DBP pada 20 Oktober 2016. Pada peringkat itu, seramai 32 orang peserta telah mengambil bahagian. Hasil penilaian juri, seramai 16 orang peserta sahaja dipilih untuk bertanding pada peringkat akhir.

Khalayak yang menyaksikan pertandingan.

Sasaran pertandingan ini ialah pelajar-pelajar institut pengajian tinggi dan institut pendidikan guru (IPG) sekitar Lembah Klang yang berumur dalam lingkungan 18-25 tahun. Peserta diberi kebebasan untuk memilih teks syair yang disediakan oleh pihak penganjur mengikut minat sendiri. Syair tersebut pula boleh didendangkan dalam sembilan jenis irama syair, iaitu narasi, mayang, hiasan, perindu, dandan setia, batu belah, dodoi, siti zubaidah dan selendang delima.

Puan Padilah menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Pertandingan ini diadili oleh juri profesional, iaitu Puan Ameliana, seorang guru, Encik Roslan Madun, pelantun irama tradisional yang terkenal dan Puan Zaiton Hussin dari Bahagian Pengembangan Sastera Kanak-kanak DBP. Tiga aspek utama penilaian juri pertandingan ini adalah dari sudut irama yang meliputi patah lagu dan tempo, sudut suara, merangkumi intonasi dan sudut persembahan, termasuk gaya, teknik dan bahasa tubuh.

Yang turut hadir memeriahkan pertandingan ini ialah Puan Padilah Haji Ali, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, mahasiswa, para pensyarah pengiring dan anak-anak yatim Kampung Penyayang Bestari. Pertandingan ini dipengerusikan oleh Encik Azimin Daud dari DBP.

Barisan pemenang pertandingan.

Juara pertandingan disandang oleh Mod Azlan bin Jalili dari UKM. Peserta dari IPG Ilmu Khas, Marilyn Anne Michael Jelly menduduki tempat kedua, sementara Intan Faizah binti Jasmi dari Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Mara menduduki tempat ketiga. Hadiah disampaikan oleh Puan Padilah Haji Ali.

Usaha DBP mengadakan pertandingan sebegini merupakan langkah yang baik kerana dapat memartabatkan puisi Melayu tradisional agar kekal diwarisi generasi hari ini dan akan datang.

klikweb

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena