bahasa bangsa


Bahasa dan Bangsa Melayu
Oleh SALIM MD. ZAIN

WALAUPUN sudah ada beberapa kajian dilakukan terhadap asal usul bangsa Melayu, kata sepakat para ahli belum dicapai. Setakat ini ada dua pandangan yang dikemukakan. Pandangan yang pertama menyatakan bahawa bangsa Melayu berasal dari utara (Asia Tengah) dan pandangan yang kedua menyatakan bahawa bangsa Melayu memang sudah sedia ada di Kepulauan Melayu atau Nusantara ini.

Peta Asia yang dilukis oleh Ptolemy, ilmuan dari Macedonia yang amat berminat dengan hasil-hasil bumi di sekitar Asia Tenggara.

W. Marsden dalam kajiannya mendapati bahawa bahasa Melayu dan bahasa Polinesia (bahasa yang digunakan di beberapa buah pulau yang terdapat di Lautan Pasifik) merupakan bahasa yang serumpun. J.R. Foster yang membuat kajian berdasarkan pembentukan kata pula berpendapat, terdapat persamaan pembentukan kata dalam bahasa Melayu dan bahasa Polinesia. Beliau berpendapat bahawa kedua-dua bahasa ini berasal daripada bahasa yang lebih tua yang dinamai Melayu Polinesia Purba.

Menerusi kajian berdasarkan beberapa perkataan yang digunakan sehari-hari, ahli filologi Belanda, J.H.C. Kern mendapati bahawa perkataan yang digunakan di Kepulauan Nusantara ini juga terdapat di Madagaskar, Filipina, Taiwan, dan beberapa buah pulau di Lautan Pasifik. Antara perkataan tersebut ialah padi, buluh, rotan, nyiur, pisang, pandan, dan ubi. Berdasarkan itu, Kern membuat kesimpulan bahawa bahasa Melayu ini berasal daripada satu induk yang ada di rantau Asia.

Manakala, dua orang sarjana Melayu, iaitu Slametmuljana dan Asmah Haji Omar juga menyokong pendapat di atas. Slametmuljana membuat kesimpulan bahawa bahasa Austronesia, termasuk bahasa Melayu, berasal dari Asia, sementara Asmah Haji Omar pula berpendapat bahawa perpindahan orang Melayu dari daratan Asia ke Nusantara ini berlaku secara berperingkat dan melalui laluan yang berbeza. Ada yang melalui daratan, iaitu Tanah Semenanjung, dan ada pula yang melalui Lautan Hindi dan Lautan China. Beliau menolak pendapat yang mengatakan bahawa pada mulanya asal bahasa mereka satu dan perbezaan yang berlaku kemudian adalah kerana faktor geografi dan komunikasi.

Sarjana Inggeris, J. Crawfurd yang membuat kajian perbandingan bahasa yang ada di Sumatera, Jawa, Kalimantan, dan kawasan Polinesia sebaliknya berpendapat bahawa bahasa yang tersebar di Nusantara ini berasal daripada bahasa di Pulau Jawa (bahasa Jawa) dan bahasa yang berasal dari Pulau Sumatera (bahasa Melayu). Bahasa Jawa dan bahasa Melayulah yang merupakan induk bagi bahasa serumpun yang terdapat di Nusantara ini. Beliau menambah hujahnya dengan bukti bahawa bangsa Melayu dan bangsa Jawa telah memiliki taraf kebudayaan yang tinggi dalam abad kesembilan belas. Taraf ini hanya dapat dicapai setelah mengalami perkembangan budaya beberapa abad lamanya.

Peta penyebaran bahasa Austronesia di dunia.

Sementara Gorys Keraf dalam bukunya Linguistik Bandingan Historis (1984) mengemukakan Teori Leksikostatistik dan Teori Migrasi bagi mengkaji asal usul bangsa dan bahasa Melayu. Beliau mengambil kesimpulan bahawa “…negeri asal (tanah air) nenek moyang bangsa Austronesia haruslah daerah Indonesia dan Filipina (termasuk daerah-daerah yang sekarang merupakan laut dan selat), yang dulunya merupakan kesatuan geografi”.

Kesamaan pembentukan kata antara bahasa Melayu dengan bahasa Polinesia yang dinyatakan oleh J.R. Foster dan kesamaan struktur bahasa Melayu dengan struktur bahasa Kampuchea memperlihatkan bahawa bahasa yang berada di Asia Selatan dan Asia Timur berbeza dengan bahasa yang berada di Asia Tengah. Jika kita lihat rajah kekeluargaan bahasa akan lebih nyata lagi bahawa bahasa di Asia Tengah berasal dari keluarga Sino-Tibet yang melahirkan bahasa Cina, Siam, Tibet, Miao, Yiu, dan Burma. Berdekatan dengannya agak ke selatan sedikit ialah keluarga Dravida, iaitu: Telugu, Tamil, Malayalam, dan lain-lain. Kedua-dua keluarga bahasa ini berbeza dengan bahasa di bahagian Timur, Tenggara, dan Selatan Asia, iaitu keluarga Austronesia yang menurunkan empat kelompok besar, iaitu Nusantara, Melanesia, Mikronesia, dan Polinesia.

Perbezaan pendapat para pengkaji tentang bahasa Melayu sehingga kini mengheret persoalan yang masih belum terjawab tentang bangsa Melayu. Jika benar bangsa Melayu berasal dari Alam Melayu, dari manakah asal mereka sebelumnya? Pendapat orang Minangkabau di Sumatera Barat yang mengatakan keturunan mereka ada hubung kait dengan pengikut Nabi Nuh a.s., iaitu bangsa Ark yang mendarat di muara Sungai Jambi dan Palembang semasa berlakunya banjir besar seperti yang diungkapkan oleh W. Marsden (1812) masih boleh dipertikaikan.

Berkemungkinan yang dimaksudkan ialah salasilah Nabi Nuh a.s., iaitu daripada tiga orang anaknya, iaitu Ham, Yafit, dan Sam. Dikatakan bahawa Ham berpindah ke Afrika yang keturunannya kemudian disebut Negro (berkulit hitam), Yafit pula berpindah ke Eropah yang kemudian dikenali sebagai bangsa kulit putih, dan Sam tinggal di Asia menurunkan bangsa kulit kuning langsat. Putera kepada Sam ialah Nabi Hud a.s. yang tinggal di negeri Ahqaf yang terletak di antara Yaman dan Oman. Mungkinkah keturunan Nabi Hud a.s. yang tinggal di tepi laut dan hidup sebagai pelaut yang bertanggungjawab menyebarkan baka keturunan bangsa Melayu ke Pulau Madagaskar di Lautan Hindi hingga ke Hawaii di Lautan Pasifik? Satu kajian lanjutan perlu dilakukan bagi merungkai persoalan ini.

klikwebdbp

Comments