30 Nov 2016

sastera digital

Melestarikan karya sastera melalui penerbitan digital
27 November 2016

 Perasmian persidangan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar dan Alumni US M, Profesor Datuk Dr. Adnan Hussein.

PENERBITAN digital dan dalam talian menjadi mekanisme penting dalam melestarikankarya sastera pada masa hadapan. Perkembangan Internet yang menjadikan dunia tanpa sempadan dan langit terbuka dengan penggunaan media sosial meluas turut memungkinkan berlaku permintaan yang tinggi dalam karya sastera secara atas talian.

Malah juga, penerbitan digital dan atas talian mendapat perhatian dan permintaan tinggi dalam kalangan khalayak, bukan sahaja untuk tujuan pemasaran maya tetapi juga pembinaan khalayak untuk menikmati karya sastera dan menjadikannya sebagai medan baharu dalam mewujudkan kumpulan khalayak dan peminatnya tersendiri.

Inilah antara fokus utama yang dibincangkan dalam Persidangan Kebangsaan Proses Kreatif Digital dan Pemasaran Dalam Talian yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini dianjurkanoleh Bahagian Kesusasteraan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM bersama-sama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM).

Penerbitan digital dikatakan mempunyai masa hadapan yang cerah untuk diterokai potensinya. Malah penerbitan sebegini, sama ada dalam bentuk buku elektronik mahu pun memanfaatkan Internet sepenuhnya dengan keupayaan multimedianya perlu dilihat sebagai pilihan yang berupaya mengubah masa hadapan.

Melihat kepada pengguna Internet dan media sosial yang begitu besar di seluruh dunia, maka para penulus, karyawan malah penerbit tempatan dikatakan perlu merebut peluang ini dengan sebaik mungkin. Pensyarah Bahagian Pemasaran Pusat Pengajian Pengurusan Shahidan Shafie berkata, dengan jumlah besar penggunaan telefon pintar dan media sosial hari ini, usaha perlu dibuat untuk memanfaatnya sebaik mungkin dalam apa jua bidang.

“Kita melihat bagaimana syarikat-syarikat multi-nasional dunia mencari jalan dan membangunkan potensi pemasarannya yang besar untuk menguasai pasaran termasuk dalam kalangan generasi Z,”katanya dalam pembentangannya bertajuk Pemasaran Digital dan Potensinya kepada Kesusasteraan.

Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Media Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya Dr. Siti Ezalella Mustafa berkata, penulis hari ini berkomunikasi terus dengan pembaca dan bakal pembaca karyanya melalui atas talian sekali gus memasarkan karyanya kepada mereka termasuk untuk mendapatkan pandangan dan undian malah juga bakal penyumbang untuk penerbitannya pada masa hadapan.

Potensi

“Ini menjadi sebagai pengaruh sosial dalam menyokong sesebuah projek penulisan yang bersumberkan khalayaknya,” katanya dalam pembentangan bertajuk Penglibatan Komuniti Pembaca Dalam Penghasilan Karya Dalam Era Digital.

Sementara itu Pengerusi Persidangan Kebangsaan Proses Kreatif Digital dan Pemasaran Dalam Talian, Profesor Datuk Dr. Sohaimi Abdul Aziz berpendapat, usaha ini penting dalam memahami makna sebenar karya digital kerana potensinya yang menggabungkan kepelbagaian media yang tidak boleh didapati melalui karya naskhah penerbitan bukan digital.

“Penerbitan seperti ini berupaya menerokai kepelbagaian media yang ada misalnya dengan memasukkan kesan bunyi, visual dan sebagainya untuk menarik minat khalayak memahami dan menghayati sesebuah karya,”kata Sohaimi.

Dalam pembentangannya yang bertajuk Proses Kreatif Keterlibatan dan Pemasaran Internet: Mencipta dan Memasar Novel Popular, beliau menekankan kepada pentingnya memahami perbezaan di antara pemasaran dan penjualan serta bagaimana penerbitan sebegini berupaya menghasilkan karya popular di samping menggembleng idea dari pelbagai pihak secara bersama bagi menerbitkan sesuatu karya.

“Proses kreatif yang digunakan sesuai dengan hakikat novel popular berorientasikan pembaca yang berada dalam lingkungan komersialisme. Maka proses kreatif keterlibatan dan pemasaran Internet merupakan dua proses dalam satu dalam perkembangan novel popular Melayu di era media digital,”kata Sohaimi. Yang turut diketengahkan ialah pengalaman beberapa orang penulis dalam memanfaatkan ruang maya untuk memasarkan karyanya dan mengumpul kumpulan peminat tegar dengan mengadakan pelbagai aktiviti menarik untuk mengajak mereka nenghayati dan mendapatkan hasil karyanya.

Malah terdapat juga usaha menerbitkan karya-karya berasaskan kehendak khalayak dari pengisian karya yang sesetengahnya diambil menjadi sebahagian bahan dalam karya penulis. Sebanyak 15 pembentangan dalam persidangan sehari ini oleh mereka yang terlibat secara langsung dalam penerbitan karya secara digital dan dalam talian yang berkongsi pengalaman dan kaedah yang dilakukan termasuk kajian-kajian tentang bagaimana penulis dan pengarang menghasilkan karya mereka mahu pun menubuhkan kelab peminat dalam melariskan jualan dan pemasaran hasil karya.

Tentu sahaja banyak persoalan yang boleh difikirkan daripada persidangan ini. Antaranya bagaiamana untuk menyeimbangkan di antara kualiti dan originaliti karya dengan keperluan memenuhi kehendak pasaran atau khalayak, keupayaan dunia Internet dan digital melahirkan karyawan besar dan dengan tujahannya tersendiri dan bagaimana para penerbit tempatan dapat bersaing dalam memenuhi keperluan dan permintaan pasaran yang ada.

Namun yang pasti, karya digital dan dalam talian adalah dunia penerbitan masa kini dan masa hadapan yang tidak dapat ditolak dalam melestarikan karya sastera pada masa hadapan.

utusanonline

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena