30 Nov 2016

ftm 2016


Nikah tergantung: Diangkat Teater Terbaik pada FTM 2016
Wawann Mohd•FOTO: JKKN
29 November 2016


FESTIVAL Teater Malaysia (FTM) 2016 melabuhkan tirainya dengan mengangkat naskhah Tergantung yang dipersembahkan oleh Kelab Penggiat Seni Teater Negeri Sembilan sebagai teater terbaik FTM 2016.

Tampil dengan naskhah yang cukup menarik, teater karya dan arahan Nor Idlah Abdul Halim ini mengetengahkan konflik kehidupan manusia selepas kematian. Selain Teater Terbaik, naskhah ini turut merangkul kategori Pelakon Lelaki Terbaik dan Teknik Terbaik.

Tempat kedua dimenangi naskhah Jalan Mati (Persatuan Seni Ceritera Selangor) manakala The Maids (Gabungan Seni Warisan Anak Pinang (Gasewap), Pulau Pinang dipilih tempat ketiga.

Dr Marlenny Deenerwan selaku ketua juri menjelaskan, kekuatan naskhah yang bertanding kali ini dinilai menerusi fungsi teater itu sendiri yang bertindak sebagai medium penyampaian, selain aspek arahan dan lakonan.

Katanya, setiap finalis yang bertanding juga perlu mematuhi segala peraturan yang telah digariskan oleh FTM2016 dan kegagalan berbuat demikian pastinya akan mempengaruhi markah yang diberikan pihak juri.

“Kali ini kami dapati ada beberapa kumpulan yang membuat persembahan dengan melebihi durasi yang telah ditetapkan iaitu antara 60 hingga 90 minit.

“Walaupun tampil dengan naskhah serta persembahan yang menarik, markah tetap akan dipotong kerana melanggar peraturan,” ujarnya.

Panel lain yang turut terlibat sebagai juri penilai FTM2016 ialah Datuk Jalaludin Hassan dan Adnan Hamzah.

Naskhah pelbagai genre

Secara keseluruhan, setiap finalis tampil dengan naskhah yang berkesan dan mempunyai kekuatan tersendiri dalam menarik khalayak untuk mendekati mesej yang cuba disampaikan melalui karya itu.

Mungkin sudah sampai masanya naskhah daripada kumpulan teater ini melangkah lebih jauh dan memperluaskan khalayaknya.

Bukan sekadar di pentas pertandingan semata-mata dengan khalayak terhad, sebaliknya mereka juga sebenarnya mampu bergiat aktif di pentas umum dengan jumlah penonton yang lebih besar melalui jualan tiket.

Menerusi FTM ini sendiri dapat dilihat betapa usaha dan kesungguhan mereka menampilkan naskhah berkualiti kerana tidak hanya terarah kepada satu genre sahaja sebaliknya lebih pelbagai dan memberi pilihan kepada penonton.

FTM dianjurkan secara dwi tahunan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) ini berlangsung meriah di Auditorium JKKN Kedah pada 20 hingga 26 November lalu dan buat pertama kalinya diadakan di luar Kuala Lumpur.

Pada acara sama, empat tokoh teater tanah air turut diraikan menerusi Anugerah Khas yang diberikan sebagai penghargaan mereka membangunkan industri teater.

Pelakon terkenal, Datuk Rahim Razali, Morad Ibrahim, Fauziah Nawi dan Shahili Abdan (Namron) menerima wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan.

Fauziah Nawi dan Namron turut membuat persembahan istimewa dengan menyampaikan monolog daripada naskhah teater mereka sebelum ini sebagai kenangan pada malam itu sekali gus menghiburkan tetamu.

'Tergantung rezeki kami'

Pengarah teater Tergantung, Nor Idlah Abdul Haim ketika ditemui menyifatkan percubaan mereka sangat berbaloi meskipun tidak meletakkan sebarang harapan untuk menang.

“Sebelum ini, kelab kami pernah beberapa kali mencuba nasib di FTM, tapi hanya berjaya di peringkat negeri sahaja.

Bagaimanapun, tahun lalu kami dinobatkan sebagai juara negeri sekali gus melayakkan naskhah ini berada dalam FTM2016, sebaris dengan teater hebat lain.

“Pada mulanya kami tidak meletakkan sebarang harapan untuk menang kerana semua finalis terpilih mempunyai keistimewaan tersendiri, apatah lagi ada di antara mereka yang bertanding di FTM sebelum ini," katanya.

Nor Idlah menambah, kemenangan yang menyebelahi kumpulannya adalah rezeki besar yang menggalakkan mereka untuk terus menghasilkan karya lebih baik selepas ini.

“Naskhah yang dipersembahkan kali ini agak berbeza di mana kami menampilkan konsep cerita kehidupan selepas kematian iaitu tidak berada di alam nyata dan pada penghujungnya kami memberi cadangan kepada penonton untuk melihat alam itu sama ada sebagai alam barzakh, koma atau apa sahaja yang mereka fikirkan.

"Besar harapan kami untuk terus memberikan yang terbaik dalam teater ini dan akan terus memartabatkan ia di peringkat lebih tinggi," katanya.

sinarharian 


 

 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena